Jeriji Gagal Dibuka Punca Utama Kematian Dalam Kebakaran – Bomba
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kes kematian dalam insiden kebakaran rumah kediaman adalah disebabkan mangsa terperangkap di dalam rumah akibat gagal keluar sebelum dilemaskan asap kerana jeriji yang gagal dibuka.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kebanyakan kes kebakaran hanya disedari ketika api sudah marak, menyebabkan penghuni mempunyai masa yang amat singkat untuk bertindak.
“Jadi kita tidak dapat buat apa-apa, kalau ada pemadam api pun tak sempat untuk padam sebab api sudah besar,” kata Wan Mohd Nor.
Namun, katanya JBPM belum bercadang mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji mudah buka di setiap kediaman sebagai langkah proaktif mengelakkan kematian akibat kebakaran, sebaliknya memilih untuk memberi penekanan kepada mendidik masyarakat tentang langkah berjaga-jaga sebagai cara terbaik.
“Kita yakin sekiranya kita ambil tindakan lebih agresif dari segi kempen menggunakan saluran yang betul, sambutan daripada orang ramai akan lebih baik. Jadi cara terbaik seperti yang berlaku di negara-negara lain juga melalui public education.
“Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan, sekiranya langkah kita ini tidak berkesan, memang ada dicadangkan dalam ahli mesyuarat bahawa kita perlu lihat peraturan standard dan undang-undang berkaitan untuk ditambah baik pada masa akan datang,” katanya selepas Mesyuarat Rekabentuk dan Pemasangan Jeriji dari Aspek Kemudahan Keselamatan Kebakaran di sini hari ini.
Jelasnya, undang-undang di negara ini juga tidak memberi kuasa untuk pihak bomba menjalankan penguatkuasaan, dalam hal ini untuk membolehkan bomba menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah.
“Jadi kita kena kira juga kalau kita ada undang-undang dari segi penguatkuasaan, adakah kita mampu untuk pergi rumah ke rumah, periksa sama ada ada dipasang jeriji mudah buka atau tidak,” jelasnya.
Seperti dimaklumkan beliau, syor JBPM untuk setiap kediaman memasang jeriji yang mudah dibuka dari dalam ketika kecemasan khususnya kebakaran sudah lama dibuat, tetapi nampaknya semakin dilupakan dan tiba masa untuk menegaskannya semula.
Hasil mesyuarat tersebut, pemaju perumahan akan dinasihatkan supaya setiap rumah yang dibina perlu dilengkapi jeriji yang mudah dibuka waktu kecemasan, dan menempatkannya di tempat yang strategik.
“Selalu kita pasang jeriji untuk keselamatan rumah daripada ancaman luar, tetapi kita sering lupa tentang keselamatan kita sebagai penghuni.
“Kita juga akan minta supaya ketika penyerahan kunci kepada pemilik kediaman, perlu disertakan bersama panduan pemasangan gril mengikut piawaian kita.”
Pada masa sama, penghuni juga disaran agar memasang alat penggera pengesan asap sebagai langkah mengesan kebakaran lebih awal.
“Sekiranya pengesan asap dipasang, sebarang kebakaran dapat dikesan ketika ia masih kecil. Jadi kita boleh bertindak sama ada untuk keluar dengan selamat ataupun menggunakan alat pemadam api untuk memadam kebakaran,” katanya.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2m0JBPL✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment