Hi! Welcome Back and Stay Tune! Metafora Realiti Kehidupan ‘Kamar Seksa’ - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Metafora Realiti Kehidupan ‘Kamar Seksa’

SEPERKARA yang membuatkan penulis kagum dengan syarikat produksi Genius Parade Sdn. Bhd. (Genius Parade) apabila mereka tidak pernah lelah menghasilkan filem untuk terus menyemarakkan dunia perfileman tempatan.

Berdasarkan kepada sedikit penyelidikan yang penulis lakukan, Genius Parade telah menghasilkan lebih kurang 16 buah filem tempatan yang bukan hanya merangkumi filem berbahasa Melayu tetapi juga Tamil dan Mandarin.

Pastinya angka itu boleh dikira sebagai sesuatu yang membanggakan untuk syarikat hijau seperti Genius Parade yang mula mencuri perhatian umum menerusi filem pertama terbitan mereka berjudul Pensil (2008).

Pun begitu, di sebalik angka tersebut, satu hakikat yang perlu ditelan oleh Genius Parade biarpun perit dan pahit apabila tiada satu pun filem terbitan mereka mencecah kutipan pecah panggung.

Lebih menyedihkan, hampir semua filem terbitan mereka bukan dari kelompok filem yang dapat dibanggakan dari segi kualiti, cerita, lakon layar mahupun nilai penerbitan itu sendiri.

Bukan sengaja menghukum dan bersikap prejudis tetapi itu adalah realiti yang harus diterima berdasarkan pengalaman penulis menonton sendiri beberapa buah filem terbitan mereka di salah sebuah saluran di stesen televisyen.

Sehubungan itu, apabila Genius Parade kembali dengan buah tangan baharu berjudul Karma Seksa yang mula ditayangkan minggu lalu, mahu atau tidak, penulis tidak mampu untuk menolak pandangan skeptikal.
Namun, penulis mengambil sikap terbuka dengan menonton Kamar Seksa di pawagam tanpa sebarang prasangka buruk.

Lebih-lebih lagi ia ditunjangi oleh dua aktres yang pernah diiktiraf dengan gelaran terbaik iaitu Sazzy Falak dan Noorkhiriah.

Secara ringkas, Kamar Seksa melihat dua cerita daripada sudut pandang berbeza tentang kehidupan wanita berlainan status di sebuah pangsapuri.

Cerita pertama mengisahkan kehidupan seorang wanita bernama Kitty (Sazzy) yang menjalani kehidupan songsang sebagai lesbian dan mempunyai teman wanita yang dilakonkan oleh Ieda Moin.

Dalam masa yang sama, kehadiran pembantu rumah dari Indonesia, Mona (Aiyuni Hashim) telah meringankan masalah Kitty yang sebelum itu berhadapan dengan situasi menyulitkan apabila pembantunya lari dari rumah.

Sementara itu, di sebuah rumah lain di pangsapuri yang sama (penulis andaikan begitu berdasarkan visual dan syot yang ditonjolkan), seorang suri rumah bernama Nur (Noorkhiriah) digambarkan hidup berendam air mata dengan keadaan suami yang tidak bertanggungjawab terhadap dirinya dan anak mereka, Bika berumur tujuh bulan.

Pada awalnya apabila penulis membaca sinopsis, penulis menjangkakan filem ini ada hubung kait dengan dua cerita yang ditampilkan tetapi rupa-rupanya tidak kerana setiap cerita adalah berbeza termasuk pengakhirannya (maaf, penulis tidak akan menceritakan dengan mendalam).
Penulis boleh memberikan kredit untuk M. Suurya selaku pengarah dan penulis lakon layar yang cuba menceritakan permasalahan yang pada hemat penulis adalah satu realiti yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu moden hari ini.

Bagi penulis, apa yang cuba ditonjolkan itu adalah tindakan berani kerana barangkali untuk M. Suurya, menjadi tanggungjawabnya untuk memaparkan realiti masyarakat Melayu ketika ini yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh masyarakat sekeliling.

Cuma, masalah tentang Kamar Seksa ini adalah bagaimana ia memaparkan imej negatif wanita Melayu untuk kedua-dua ceritanya.

Sudah pasti, secara terang-terangan, paparan kehidupan lesbian dalam filem ini memang cukup jelas dan menggambarkan keterbukaan Lembaga Penapisan Filem (LPF) seolah-olah mereka tidak mempunyai masalah tersebut serta ‘merestuinya’.

Penulis tidak menolak kemungkinan bahawa paparan watak Kitty dan teman wanitanya wujud dalam komuniti lesbian daripada aspek sikap, sifat dan juga kehidupan.

Akan tetapi, mengapakah pemaparan itu digambarkan secara negatif dan tidak menggunakan peluang yang ada itu untuk ke arah yang lebih positif? Malah, kelompongan ceritanya sahaja boleh dipersoalkan.

Sebagai contoh, Kitty menyatakan dia adalah seorang pekerja bebas (freelancer) yang tidak jelas pekerjaan sebenarnya tetapi mampu pula untuk mendapatkan seorang pembantu rumah berkhidmat di rumah pangsanya yang sekangkang kera itu.

Dari sudut lain pula, personaliti Kitty menerusi bahasa tubuhnya digambarkan sebagai seorang yang sentiasa dahagakan seks menerusi babak-babak bersama kekasihnya dan juga apabila Mona tiba di rumahnya pada hari pertama.

Malah, tindakan Kitty yang secara tiba-tiba mendera Mona juga tidak jelas puncanya. Apakah disebabkan Mona tidak mahu memuaskan nafsunya sehingga Kitty bertindak demikian atau sebaliknya?

Melihatkan kepada judulnya juga, alangkah baiknya jika M. Suurya menggunakan peluang yang ada untuk bercerita dari sudut pandang berbeza. Mengapa tidak cuba mengangkat watak Mona dengan cara memanipulasinya semaksimum mungkin untuk menjadikan Kamar Seksa menjadi karya di luar kotak pemikiran.

Bagi penulis, penghasilan cerita dengan memaparkan kehidupan lesbian dan kisah penderaan pembantu rumah asing adalah sesuatu yang tidak mempunyai hubungan jitu dan kukuh. Dalam erti kata lain, ia sangat mudah, murahan dan dangkal.

Sementara itu, penulis melihat kisah Nur dan rumah tangganya itu juga tidak ada apa yang menarik untuk diketengahkan dalam Kamar Seksa dan adalah lebih wajar jika hanya memfokuskan kepada kisah pertama sahaja.

Masalah rumah tangga Nur itu sudah klise dan sangat biasa dipaparkan dalam kisah sedemikian rupa dalam drama televisyen tempatan biarpun penulis faham apakah yang cuba hendak disampaikan oleh M. Suurya terutama pada babak akhir.

Apakah dengan pemaparan watak seorang isteri yang lemah dan sentiasa tunduk pada suami biarpun didera secara emosi dan fizikal menggambarkan wanita Melayu sebenar dalam zaman hari ini?
Sampai bila hendak meraih simpati penonton dengan watak lemah sedemikian rupa? Inilah paparan negatif yang penulis maksudkan biarpun ada sisi positifnya terutama melibatkan hubungan antara manusia dan Allah.

Akan tetapi, bukankah manusia itu sendiri harus mencari ruang dan peluang untuk berubah dan kemudiannya bertawakal? Di sinilah terletaknya kelemahan watak dan cerita tentang Nur dan rumah tangganya.

Pengkarya tempatan seharusnya sudah mampu untuk merobah senario itu dengan meletakkan kedudukan wanita secara positif agar dapat menyuntik semangat kaum wanita supaya dilayan dengan adil dan saksama.

Dari sudut pandang berbeza, Kamar Seksa itu sebenarnya adalah satu metafora bagi mereka yang hidup di rumah pangsa yang umum ketahui akan kedudukan sebenar dalam realiti terutama membabitkan mereka daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

The post Metafora Realiti Kehidupan ‘Kamar Seksa’ appeared first on Berita Viral.

Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2pY8YQo

✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral


(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.