2 ekor pari gergasi 305 kg serang nelayan Bintulu, akhirnya berjaya ditumpas
By Annuar Kapok
BINTULU: Seorang nelayan di Kampung Kuala Nyalau dekat sini berjaya ‘menawan’ dua ekor ikan pari gergasi hari ini.
Ikan pari gergasi berkenaan berjaya ditangkap setelah ia terperangkap di dalam pukat yang dipasang nelayan terbabit .
Ikan pari yang berat setiap seekornya mencecah 160 kilogram dan 145 kilogram itu terlebih dahulu terpaksa ditunda sahaja ke tebing kerana tidak dapat dinaikkan ke dalam bot lantaran terlalu berat.
Mazlan bin Morsidi,45, memberitahu dia terpaksa menunda sahaja ikan pari berkenaan ke pangkalan dan hanya dapat dinaikkan ke darat dengan menggunakan jentera pengorek (jengkaut).
Menurut Mazlan, ini adalah kali pertama dia memperoleh ikan pari sebesar itu setelah sekian lama menjadi nelayan.
“Ikan pari itu sangat besar dan berat. Sengat di ekornya juga amat berbahaya jika kita tersilap langkah. Jadi saya mengambil pendekatan menunda ikan itu terlebih dahulu dan membiarkannya menjadi semakin lemah.
“Saya cuba mengangkat ke bot tetapi ia terlalu berat. Apabila tiba di tebing saya terpaksa meminta bantuan pemilik jengkaut untuk mengangkat ikan itu ke daratan,” ujarnya.
Jelas Mazlan lagi, penduduk di situ juga baharu pertama kali melihat ikan pari sebesar itu.
Ikan pari berkenaan dibeli peraih ikan dari Bintulu dengan harga RM6 sekilogram.
Bapa mentua Mazlan, Gapar Haji Kunchang,67 , memberitahu Sarawak Voice, tumpasnya ikan pari gergasi mungkin petanda baik untuk calon yang bertanding di kawasan DUN N.70 Samalaju.
Gapar yang mengaitkan ikan pari dengan PRN Ke-11 berkata, calon yang bakal menang ialah calon yang tahu bagaimana melemahkan musuh sebelum menumpaskan lawannya.
“Sebagaimana ikan pari jika diangkat terus semasa masih hidup ia sangat bahaya. Sengatnya amat berbisa. Tetapi jika ditunda terlebih dahulu dan dibiarkan lemah ia tidak lagi berbahaya,” ujarnya berkias. – Sarawakvoice.com
Sumber : http://sarawakvoice.com/
Post a Comment