Benarkah graduan tak terkesan dengan kos sara hidup? – Nik Nazmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta supaya menjelaskan kenyataannya bahawa rakyat Malaysia berpendidikan tinggi kurang terkesan dengan kos sara hidup sebagaimana yang dinyatakannya di Parlimen.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kenyataan Najib itu tidak mencerminkan realiti sebenar berkenaan kesusahan anak muda Malaysia yang merupakan lepasan universiti dan graduan pada masa ini untuk menyara diri serta mendapatkan gaji tetap.
“Dengan masalah kewangan para graduan Malaysia terutamanya untuk membayar semula pinjaman pendidikan, serta peningkatan kos pengangkutan dan perumahan jelas membuktikan bahawa orang yang berkelulusan tinggi tidak semestinya dijamin hidup senang.
“Pada masa yang sama, keputusan kerajaan untuk membuat potongan besar ke atas bajet pendidikan negara serta mengurangkan jumlah penerima biasiswa pendidikan tinggi tidak bertepatan dengan aspirasi Perdana Menteri untuk mempertingkatkan bilangan rakyat berkelulusan tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Nik Nazmi menggesa Najib supaya menjelaskan maksud sebenar kenyataannya itu dengan membawa bersama tindakan-tindakan kerajaan yang dilihat bercanggah dengan kenyataan tersebut.
“Jelas di sini bahawa Malaysia sebenarnya memerlukan reformasi pendidikan dan ekonomi yang lebih holistik untuk memastikan kita tidak sahaja menghasilkan modal insan yang cemerlang, tetapi, pada masa yang sama para pekerja kita diberi pendapatan yang adil,” ujarnya.
from Free Malaysia Today http://ift.tt/1VdKb5G
via IFTTT
Post a Comment