Kecewa Kastam gagal jawab isu GST
PETALING JAYA: Gabungan Bantah Cukai GST tidak puas hati apabila Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Kastam) gagal memberikan jawapan yang memuaskan mengenai GSTselepas 365 hari cukai itu diperkenalkan.
Jurucakap Gabungan Bantah Cukai GST, S. Arutchelvan berkata, daripada 15 soalan yang dikemukakan kepada Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan, Datuk Abd Gani Othman, tiada satu jawapan kukuh yang diberikan.
“Soalan yang kami ajukan bukannya susah, ia soalan yang mudah tetapi Pengarah Kastam tidak boleh jawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum.
Sebelum itu, gabungan berkenaan bertanyakan apakah jumlah sebenar cukai GST yang dikutip dari bulan April 2015 hingga Disember 2015 dan dari bulan Januari 2016 hingga Mac 2016.
“Saya hanya jaga Kuala Lumpur sahaja, bukan satu Malaysia. Ia tidak adil, orang yang berhak jawab perkara ini adalah orang atas lagi. Anda juga bertanyakan soalan yang salah. Kami akan hantar soalan itu kepada pihak kerajaan,” jawab Abd Gani.
Selain itu, Abd Gani juga menyatakan beliau tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan apabila gerakan berkenaan bertanyakan mengapakah kutipan GST tidak digunakan untuk subsidikan pengangkutan awam yang dilihat mengalami kenaikkan mendadak.
“Yang itu (soalan yang diajukan) luar kawalan kami. Saya tidak tahu macam mana hendak jawab,” ujarnya ringkas.
Demonstrasi yang dihadiri kira-kira 30 orang peserta itu bermula jam 10 pagi dan berlangsung selama satu jam setengah. Peserta bersurai apabila Abd Gani menerima memorandum setebal enam muka surat.
Manakala, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin turut mempersoalkan bagaimana Kastam gagal menjawab 15 soalan itu sedangkan jabatan itu berkempen pada awal GST dilaksanakan.
“Kastam yang cakap GST baik dan sebagainya, bila hari ini kita datang minta satu harga barang dan perkhidmatan yang turun, Kastam tidak boleh bagi,” katanya.
Demonstrasi hari ini berjalan aman selepas kejadian 23 Mac tahun lalu di mana 79 aktivis ditahan di pejabat Kastam Wilayah Persekutuan di Kelana Jaya.
from Free Malaysia Today http://ift.tt/25zOg9a
via IFTTT
Post a Comment