Penganjur #Bantah DLP mungkin didakwa
KUALA LUMPUR : Empat Penganjur Demonstrasi Bantah Dual Language Programme (#Bantah DLP) pada 26 Mac lalu berkemungkinan akan didakwa kerana menganjurkan perhimpunan haram.
Ia susulan empat individu itu dipanggil bagi membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Mereka ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof Shaharir Md Zain; Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Datuk Zainal Borhan; Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Faizal Abd Aziz dan Setiausaha Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Rozan Azen Mat Rasip.
Peguam mereka, Mohd Ashraf Othman berkata siasatan sekitar tiga jam hari ini dilakukan mengikut Seksyen 4(2)(b) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan kesemua memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.
“Kami menunggu polis sama ada untuk panggil lagi atau tidak. Jika dipanggil saya percaya siasatan sudah selesai atau tidak perlu lagi dipanggil melainkan untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Pada 26 Mac lalu, hampir 100 peserta menyertai demonstrasi di hadapan stesen LRT Masjid Jamek mengutuk tindakan Kerajaan Persekutuan mewujudkan program dwi-bahasa (DLP) atau Pengajaran dan Pembelasaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan mendakwa ia hanya merenggangkan masyarakat di samping bersifat perkauman.
Sementara itu, Rozan Azen berkata, dia hairan dengan siasatan polis kerana demonstrasi itu berlangsung aman.
Demonstrasi #Bantah DLP akan diadakan kali kedua, anjuran Kongres Rakyat dan PAS pada 19 April.
Mukah Pages sharing automated post from Free Malaysia Today http://ift.tt/25Ar8Yf
Post a Comment