11 cerita penyakit minda yang boleh jadi kepada sesiapa pun sebenarnya
Korang pernah dengar cerita tentang Chow Kit yang pernah dikosongkan tahun 1987? Time tu, Prebet bernama Adam lari sambil menembak seecara membuta-tuli yang menyebabkan tiga orang maut. Malah ada yang mengatakan yang kejadian amuk Prebet Adam ni adalah salah satu sebab Ops Lalang dilancarkan.
Tapi, ramai tak tahu yang Prebet Adam ni kena penjara pun, sebab dia disahkan ada penyakit mental dan dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. So, adakah senang orang nak lepas dari kena penjara? Cakap je ada sakit mental?
Bukan sesenang tu, sebab banyak simptom-simptom yang kena disahkan oleh doktor pakar. Lagi satu, kena lah ingat, tak semua pesakit minda ni yang akan bahayakan orang. Kebanyakannya cuma affect si pesakit je pun!
Jom baca 11 jenis penyakit minda dari pengalaman kebanyakan orang Malaysia sendiri, sekali dengan simptom-simptomnya.
1) Kedua-duanya penghidap autisme, tapi adiknya menjadi ‘abang’ kepada abangnya
Baru-baru ini, pelakon tempatan, Zarina Zainuddin berkongsi pengalaman dan susah-payahnya membesarkan bukan satu, tapi dua anak kembar yang dilahirkan dengan penyakit autisme. Nama anaknya adalah Azal dan Azil. Walaupun dua-dua orang autistik, namun ada beza antara abang dan adiknya ni. So maksudnya kat sini, semua penghidap autistik masing-masing mempunyai simptom yang tersendiri.
Azal ni berdikari orangnya. Boleh solat on time, boleh bangun awal pagi dan kejutkan ibu untuk ke lokasi shooting lagi. Sebab autistiknya kurang serius, dialah yang menjadi ‘abang’ kepada Azil, walaupun dia sebenarnya adik.
Bercakap tentang Azil pulak, dia tidak dapat pergi sekolah sebab terlalu hiperaktif berbanding Azal yang dapat menghabiskan persekolahan hingga ke umur 18 tahun. Seperti yang kita cakap tadi, setiap penghidap unik so lain lah cara jaga dan rawatannya. Azil jugak masih kena depend kepada ubat, terutamanya apabila dia rasa tidak terkawal, seperti memukul dan menumbuk mukanya sendiri hinggakan mukanya berdarah.
Ada satu hari ni, Azil tak nak makan ubat sebab dia rasa penat dan mengantuk. Jadi, Zarina dan Azal pun teman dia makan untuk pastikan Azil pun makan sekali. Time tu lah baru dorang sedar yang ubat itu boleh buat pemakan rasa lembik dan mengantuk sangat. So reaksi penghidap autisme yang pelbagai ni bukan maksudnya dari penyakitnya saja, tapi mungkin dari side effect ubatnya jugak sebenarnya.
Bukan jaga anak je susah, bila bawa keluar anak, lagi lah.
“Saya pernah dimarah pengunjung restoran kerana anak minum minuman orang lain, di meja orang lain. Ini bukan situasi ganjil buat saya, dimarah pelanggan kedai adalah perkara biasa. Maka adalah tanggungjawab saya merendah diri memohon maaf. Jauh di sudut hati, saya rasa hiba, kerana mereka tidak tahu inilah takdir dan nasib seorang anak autistik.” – Zarina Zainuddin, dipetik dari temubual bersama intrend.com.my.
Cuba bayangkan macam mana nak explain kepada orang yang mungkin tak pernah dengar pasal autisme pun? Sebab itulah pentingnya kita educate masyarakat kita sendiri.
Antara simptom-simptom autisme:
- Suka main sorang-sorang
- Kurang ekspresi muka dan tak nak bertentang mata
- Mengulangi perkataan sama tapi tak faham maksudnya
- Sukakan perkara yang rutin dan tidak nak terima perubahan
- Sensitif dengan rasa, bau dan bunyi
- Tidak boleh duduk diam
- Cepat marah dan agresif termasuk mencederakan diri sendiri
Dulu, Gangguan Asperger dan Autistik diiktiraf sebagai dua penyakit yang berbeza oleh APA. Namun, mengikut kamus terbaru DSM, penyakit autisme dan Asperger kini dikategorikan di bawah penyakit bernamaTony Attwood dan Simon Baron-Cohen yang menganggap ianya adalah dua penyakit yang berbeza. Boleh baca cerita lanjut di sini.
Yang sebenarnya, penyakit autisme boleh dikesan sebelum umur 2 tahun lagi, dan rawatannya macam-macam jenis sebab setiap penghidap autisme lain jenis. Ubat adalah untuk kawal sikap agresif, tabiat penghidap yang suka mengulang-ulang perbuatan, masalah fokus dan hiperaktif.
Bagi anak-anak Zarina pulak, kita doakanlah agar dipermudahkan perjalanan dorang, sebab penyakit ni perlu diuruskan seumur hidup…
2) Albert Einstein dikatakan menghidap Asperger?
Rasa macam pernah dengar, tapi di mana ya? Asperger’s Disorder ataupun Gangguan Asperger ni sebenarnya adalah masalah perkembangan sosial dan tingkah laku, problem yang sama dengan penyakit autistik pun ada juga problem sosial. Bezanya, penghidap Asperger boleh function pada tahap yang lebih tinggi dari penghidap autistik dan selalunya dikesan pada umur antara tujuh hingga sembilan tahun.
“Sindrom Asperger selalunya ada sedikit kaitan dengan ‘keturunan’ (traits) autisme terutama dari segi kemahiran sosial yang lemah. Mereka cenderung melakukan rutin yang sama setiap hari. Apa yang membezakannya dengan kanak-kanak autisme adalah keupayaan mereka bercakap sama seperti kanak-kanak normal.” – Pakar Runding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Subash Kumar Raj, dipetik dari laman web rasmi Persatuan Psikiatri Malaysia.
Sebab itulah, mengikut kajian Universiti Oxford dan Cambridge, genius macam Albert Einstein dan Isaac Newton pun dikatakan menghidap Asperger. Contohnya, Einstein sebenarnya suka duduk sorang-sorang dan suka mengulang ayat-ayat sampai umurnya 7 tahun. Isaac Newton pulak, obses giler dengan kerjanya sampai lupa makan. Dia pun ada sikap panas baran dengan kawan. Dah tu pulak, walaupun kelas kosong, dia tetap akan ajar kuliah dia jugak. Nampak tak masalah tingkah laku tu? Memang lain dari normal lah.
Secara ringkas, 3 ciri utama Asperger ni adalah minat yang obsesif, problem dalam rhubungan sosial dan masalah komunikasi. Antara simptom-simptom lain Asperger adalah:
- Sukar berinteraksi dengan golongan sebaya, seperti cakap terlalu laju atau terlalu perlahan
- Penyendiri
- Suka buat benda sama berulang kali seperti tengok air menitik
- Berperangai aneh pada pandangan orang lain seperti mengira jumlah kereta yang sedang bergerak ataupun tengok saluran cuaca di televisyen
- Ekspresi wajah keras dan macam tidak sensitif pada perasaan orang lain
- Susah faham joke atau mood orang lain
“Kanak-kanak yang berhadapan dengan sindrom asperger tiada masalah dari segi pertuturan tetapi bermasalah dari segi interaksi sosial dan tingkah laku. Misalnya kalau tinggal di pusat asuhan, dia tidak bergaul. Dia juga ‘cakap lepas’ kerana tidak tahu mengenai peraturan sosial.” – Dr Subash Kumar Raj, dipetik dari laman web rasmi Persatuan Psikiatri Malaysia.
Buat masa sekarang, rawatan yang diperlukan untuk seumur hidup seperti:
- Meningkatkan komunikasi dan kemahiran sosial, maksudnya penghidap diterangkan cara untuk bercakap dengan betul, nada, hubungan mata dan pemahaman jenaka.
- Terapi tingkah laku dan kognitif, maksudnya dorang diajar teknik kawal tingkah laku, minat obsesif dan kemarahan.
Kesudahan Einstein dan Newton tak payah nak cerita lah, dorang buktikan walaupun ada penyakit ni, masing-masing adalah genius yang mampu mengubah dunia..
3) Dulu dibuli sebab ada ADHD, tapi sekarang dah jadi model yang berjaya?
Nurul Karomi ataupun Nomi, nampak macam budak biasa. Namun, keadaan itu berubah apabila umurnya tiga tahun. Dia mula kurang fokus dan nampak macam nak perhatian lebih pulak.
“Di sekolah rendah, guru memberitahu, Nomi sangat susah dikawal. Dia akan duduk di atas riba cikgu, mencubit budak lain dan macam-macam lagi. Bapanya sering dipanggil ke sekolah.” – Norsiah Akbar, ibu Nomi, dipetik dari Utusan Online.
Keadaan ini bukan je susahkan guru dan rakan sekelas dia, tapi adik-beradik dia pun tak comfortable sebab Nomi ni dah lah tak pandai belajar, tapi susah nak sembang. Di sekolah menengah pulak, keadaan bertambah teruk. Dia kena buli, kena pukul, dan kena pulau satu kelas. Antara highlightnya, pintu tandas pun kena buka time dia di dalam, macam dalam movie Hollywood je!
Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) mempunyai tiga jenis, iaitu inattentive (kurang fokus), hyperactive (sangat aktif) dan jugak combination antara kedua-dua sekali. Antara simptom-simptomnya adalah:
Di Bawah Kategori ‘Inattentive’:
- Lalai dan senang hilang barang
- Pelupa walaupun dalam aktiviti rutin
- Susah ikut arahan seperti menghabiskan kerja rumah
- Tak boleh tumpu perhatian dalam pembacaan dan perbualan yang agak panjang
- Ada masalah mengatur tugasan dan aktiviti
- Masalah menepati masa
Di Bawah Kategori ‘Hyperactive’:
- Selalu gerakkan tangan atau kaki
- Tiba-tiba tinggalkan tempat duduk time dalam kelas atau pejabat
- Cakap tanpa henti
- Suka sampuk ketika orang lain berbual atau tengah sibuk
- Tak sabar tunggu giliran
Simptom-simptom di atas mungkin nampak normal. Yelah, banyak orang yang tak sabar kalau dalam barisan panjang. Tak tepati masa tu jangan cakaplah, sentiasa ‘on the way’ padahal masih atas katil. Tapi bezanya, keadaan mereka ni terlampau serius. Pada masa yang sama banyak simptom di atas berlaku sekaligus dan buat satu tempoh yang sangat panjang.
Diagnosis ADHD hanya boleh diberikan sekiranya simptom start sebelum umur 12 tahun lagi. Pada masa yang sama, simptom-simptom ini bukan datang dari penyakit lain tau. Untuk rawatan pulak, ubat yang sering diberikan adalah jenis ‘stimulant’ (perangsang) ataupun ‘antidepressant’ (ubat antimurung). Selain dari itu, kaunseling jugak diberikan kepada penghidap. Kepada ibu-bapa yang resah dengan keadaan anak-anak yang malas atau tak terurus, jangan cepat label dia orang pemalas. Mungkin dorang ada masalah-masalah ini. Jadi banyakkan membaca dan bawalah mereka kepada doktor kalau problem tak berubah-ubah.
Berbalik kepada cerita Nomi, hasil sokongan ibu bapa dan rawatan, setelah umurnya cecah 20 tahun, dia bertambah pulih dan mula yakin untuk berucap di khalayak ramai. Sekarang ni, dia dah ada life yang normal dan jadi seorang model.
4) Nyaris merosakkan majlis perkahwinan kawan baik kerana penyakit Tourette?
Kalau ditanya tentang pengalaman memalukan dalam hidup korang, rasa macam tak nak cerita pun ada. Yelah, kalau boleh benda yang malu-malu ni nak dibuang jauh-jauh. Tapi malangnya, bagi individu macam Ann Khoo, peristiwa memalukan ni akan sentiasa berlaku. Sebabnya, kelakuan yang mungkin dianggap tidak senonoh oleh orang, adalah sebahagian dari hidup penghidap Tourette’s Syndrome.
Ann sejak kecil lagi sentiasa sentuh diri di tempat yang tak sepatutnya. Dia jugak selalu buat ‘jerking movement,’ dalam kata lain, selalu tersentak. Walaupun mendapat diagnosis Tourette ketika umurnya 9 tahun, dia masih mengalami kesukaran seperti penambahan berat badan sebab kesan sampingan ubat. Antara peristiwa yang susah nak dilupa adalah time dia attend majlis kahwin best friendnya sendiri. Sewaktu dorang tengah melafazkan ikrar, tetiba Ann melontar ucapan yang kalau diterjemahkan bermaksud lebih kurang macam “sebenarnya aku tak cintakan kau pun.” Opkos lah tetamu yang datang terkejut habis, apatah lagi Ann yang memang malu abis.
Tapi seperti yang dikatakan Ann, vokal dan pergerakan tidak terkawal ni memang tak dapat dia bendung. Bolehlah korang tonton sendiri video penuh inspirasi Ann ketika berucap di acara TEDxKL.
Jadi, macam mana nak tahu apa sebenarnya Tourette’s Syndrome ni? Antara simptom-simptomnya adalah:
- Mempunyai dua atau lebih rangkaian pergerakan berulang yang tidak disengaja, di luar kendalian dan bersifat tiba-tiba (atau dikenali sebagai ‘motor tics’). Antara contoh gerakan adalah kerdipan mata, mengangguk kepala dan meloncat-loncat.
- Mempunyai sekurang-kurangnya satu rangkaian suara yang berulang yang juga tidak dapat dikawal dan tiba-tiba (atau dikenali sebagai ‘vocal tics’). Contohnya seperti mengulang perkataan sendiri atau orang lain, mencarut, berkata-kata lucah dan menelan kerongkong.
- Simptom-simptom ini berlarutan sekurang-kurangnya setahun dan sebelum penghidap mencecah umur 18 tahun
- Puncanya bukan dari ubat atau penyakit lain.
Meskipun penghidap tak boleh pulih 100%, rawatan yang diberikan termasuklah kaunselling dan ubat yang boleh kawal keseriusan simptom-simptom ini.
Walaupun pernah dipecat oleh boss dulu, sekarang ni, Ann boleh berbangga sebab berjawatan tinggi di salah satu startup antarabangsa terkenal. Cuba teka dalam bidang apa? Dia adalah pengurus senior dalam bidang… pemasaran! Tabik spring..
5) Perkahwinan dua kali gagal sebab OCD?
Talhah Daud pernah mandi selama 4 jam dan guna kertas pasir untuk hilangkan contengan di tangan. Sebabnya, dia rasa tak yakin yang dia sudah bersih. Time dia berjalan pulak, wajib pijak bahagian tengah jalan. Kalau ‘salah pijak,’ dia akan undur ke belakang dan sambung berjalan betul-betul di tengah garisan. Sebab perangai-perangai macam ni lah, kedua-dua bini Talhah minta bercerai.
Sama ada bekas isterinya familiar ataupun tak, Talhah sebenarnya mempunyai Obsessive Compulsive Disorder (OCD) ataupun Gangguan Obsesif Kompulsif, suatu gangguan yang menyebabkan penghidap melakukan perkara berulang kali hingga puas dan yakin (pada pendapatnya sendiri).
Terdapat tiga kategori OCD. ‘Washer’ cenderung untuk basuh berulang kali. ‘Checkers’ pula suka memeriksa kunci, suis dan sebagainya hingga dia betul-betul sure dah selamat. ‘Geometri’ pulak merujuk kepada orang yang cerewet kepada susunan barang dan kekemasan yang perlu mengikut standard dorang sendiri. Untuk simptom-simptom lanjut, boleh klik di sini.
Setelah mendapat rawatan ubat-ubatan dan terapi, Talhah boleh control penyakit dengan lebih baik dan kini menjadi seorang pakar motivasi.
6) Wanita yang ni jadi 5 orang berbeza dalam sehari
Sekitar tahun 1980an dan 1990an, Kim Noble, seorang pemandu van terbabas bila ‘watak keduanya’ bernama Julie ambil alih badan dan melanggar deretan kereta. Selain itu, dia juga terbabit dalam sindiket pelacuran. Sampai ke satu tahap, mukanya kena simbah asid dan rumahnya dibakar. Namun, sebab terlalu banyak personaliti dalam diri, dia tak dapat ingat insiden-insiden buruk ni.
Kim sebenarnya menghidap penyakit ‘dissociative identity disorder.’ Selain dari mempunyai perwatakan yang berbeza-beza, penghidap juga mungkin ada simptom-simptom ni:
- Berusaha keras untuk mengelakkan ditinggal atau disisih. Situasi ini mungkin betul-betul berlaku ataupun dalam khayalan saja.
- Dari sayang keluarga dan kawan-kawan, kemudiannya tiba-tiba boleh berubah perasaan menjadi benci atau marah
- Mempunyai perasaan seolah-olah diasingkan dari badan atau melihat badan sendiri dari pandangan pihak ketiga (‘out of body experience’).
Rawatan yang diberikan adalah berbentuk psikoterapi yang mengfokuskan kepada pengubahan asas kepercayaan yang salah, memberikan perhatian kepada kesedaran dan realiti serta mengubah cara penghidap melihat kepada diri sendiri.
Setelah mendapat rawatan, dia beransur pulih dan pernah muncul dalam rancangan temubual terkenal, Oprah Winfrey selain dari menulis bukunya sendiri.
7) Nahas pesawat MAS menyebabkan sesetengah krew dan ahli keluarga mangsa alami ‘Post Traumatic Stress Disorder.’
Ketika pesawat MH 370 hilang, Margaret sentiasa menunggu kepulangan suaminya, Philip yang juga penumpang dalam penerbangan itu. Suaranya mendatar saja ketika dalam perbualan. Waktu baru terima berita tu, dia hanya risau tetapi selepas mendengar pelbagai khabar angin, dia hilang harapan, terdesak dan tak dapat tidur.
Walaupun dia nak teruskan hidup macam biasa seperti makan dan bekerja, dia asyik ulang perbualan terakhir dengan Philip. Memang normal untuk menjadi stress time ada dalam situasi yang sedih, tapi dalam kes Margaret, kesedihan melampau yang tak beransur pulih ini digelar sebagai ‘Post Traumatic Stress Disorder’ (PTSD). PTSD jugak sering berlaku kepada askar veteran atau ibu yang baru keguguran, orang yang baru experience kesedihan mendadak dan melampau sampai tak dapat nak control diri dorang.
Untuk didiagnosis sebagai penghidap PTSD, penghidap perlu ada simptom-simptom di bawah empat kategori iaitu:
Pengalaman semula ataupun ‘Re-Experiencing’
- Flashback insiden
- Mimpi ngeri
- Fikiran menakutkan
Pengelakkan ataupun ‘Avoidance’
- Mengelak dari tempat, objek atau acara yang boleh ingatkan balik trauma
- Mengelak dari memikirkan atau merasai semula pengalaman itu
Aktiviti Semula ataupun ‘Reactivity’
- Susah tidur
- Sentiasa marah
- Tak dapat fokus
Masalah pemikiran dan mood
- Susah nak ingat balik tentang peristiwa tersebut
- Berfikiran negatif terhadap diri dan dunia luar
- Rasa bersalah
- Hilang minat terhadap aktiviti menyeronokkan
Oleh sebab setiap penghidap ada simptom berbeza, ubat yang diberikan pun khas untuk merawat simptom-simptom itu sendiri. Ubat yang selalu digunakan adalah ubat antimurung. Selain itu, kaunselling dalam bentuk psikoterapi pun diberikan selama 6 ke 12 minggu ataupun lebih lama, sekiranya perlu.
8) Walaupun dipecat kerana sakit Bipolar, bekas doktor ni bangkit untuk jadi ahli perniagaan berjaya
Ketika bekerja di Hospital Temerloh sebagai doktor pelatih, Dr Muhammad Farhan telah disahkan menghidap penyakit bipolar (type 2). Dia kata lesennya ditarik balik oleh Majlis Perubatan Malaysia ataupun ‘Malaysian Medical Council’ (MMC) walaupun tidak disabit apa-apa kesalahan. ‘Kesalahannya’ hanyalah mengalami kesedihan berpanjangan dan tak cukup tidur, berbanding dengan rakan sejawatnya yang hanya didenda walaupun ponteng, bergaduh dengan pihak atasan dan terpindah darah.
Kalau bab personal life pulak, kekasihnya terus tinggalkan dia lepas dapat tau dia ada Bipolar. Selain itu, kalau dia dedahkan status OKUnya, dia akan dilayan lain dari orang biasa.
“Saya terpaksa menyembunyikan status OKU saya supaya saya tidak dicemuh dan dipandang rendah. Sehingga sekarang apabila saya berkenalan dengan wanita, bila saya memberitahu saya seorang OKU, mesti dan pasti akan ditinggalkan tanpa sebarang berita.” – Dr Muhammad Farhan, dipetik dari akaun Facebook MyResponseTeam.
Itulah antara penderitaan penghidap bipolar type 1 dan type 2.
Antara simptom bagi pesakit bipolar sewaktu high/mania:
- Rasa gembira, ‘high’, atau ‘up’
- Banyak tenaga, rasa ‘melompat’
- Lebih aktif dari biasa
- Ada masalah nak tidur
- Cakap dengan cepat pasal banyak benda
- Rasa fikiran mereka berpusing dengan sangat pantas
- Rasa gelisah dan cepat marah
- Rasa mereka boleh buat banyak benda dalam satu masa
- Buat benda-benda berisiko, contohnya berbelanja besar atau melakukan seks secara melulu
Antara simptom pesakit bipolar sewaktu low/depression:
- Rasa sangat sedih, kosong, dan rasa takde harapan
- Tak banyak tenaga
- Tak berapa aktif berbanding biasa
- Ada masalah nak tidur, samada tidur sikit sangat atau banyak sangat
- Rasa tak boleh nak enjoy apa-apa pun
- Rasa risau dan kosong
- Ada masalah dalam memberikan perhatian
- Sering lupa
- Makan banyak sangat atau sikit sangat
- Rasa letih
- Fikirkan kematian atau bunuh diri
Beza kedua-dua jenis bipolar adalah, untuk type 2, bipolarnya tidak mempunyai fasa high yang panjang, manakala fasa depressionnya lebih panjang. Rawatannya adalah gabungan psikoterapi dan ubat. Bipolar adalah penyakit yang akan berlarutan seumur hidup.
Kini, setelah Dr Farhan mendapatkan rawatan, dia berjaya menjadi peniaga yang berjaya apabila membuka kedai akessori dan telefonnya sendiri bernama DR. fone.
9) Penulis buku yang alami kemurungan dan kesedihan yang berpanjangan sebelum menjadi femes
Ketika baru melahirkan anak, dia sangat miskin sampai di bawah bantuan kebajikan. Dia mula lah dapat kemurungan yang melampau. Sampai ke satu tahap, dia sedar ini bukan kesedihan biasa. Dia pun jumpa doktor biasa yang anggap isu dia bukan masalah langsung. Nasib baik lah dia dapat berjumpa dengan doktor lain yang mengesahkan dia ada penyakit kemurungannya ataupun lebih dikenali sebagai ‘depression.’ Penulis ini tidak lain dan tidak bukan, J.K. Rowling. Alah, yang tulis buku Harry Potter tuh.
Kemurungan tak sama dengan kesedihan biasa. Kalau orang sedih ditinggalkan kekasih, tak lama baiklah tu. Kalau fail exam pun, pergi tengok wayang happy lah balik, tak banyak pun, sikit-sikit. Tapi buat orang yang kemurungan, aktiviti yang mereka pernah enjoy, dah tak bermakna dah. Nak bangun dari katil pun jadi cabaran yang menggunung. Ini antara simptom-simpton lain kemurungan:
- Kesedihan dan kekosangan yang tak berkesudahan
- Perasaan tiada harapan, rasa bersalah dan tak bernilai
- Hilang minat terhadap mana-mana aktiviti dan hobi
- Bergerak dan bercakap dengan lebih perlahan berbanding dulu
- Kesukaran untuk fokus, membuat keputusan dan mudah lupa
- Kesukaran tidur atau terlebih tidur
- Berat badan berubah
- Ingin membunuh diri
- Sakit kepala, otot atau masalah penghadaman yang tidak pulih walaupun dengan rawatan
Rawatan melibatkan ubat antimurung dan psikioterapi. Ubat yang pertama tak semestinya akan memulihkan pesakit jadi mereka perlu sabar dan mencuba pelbagai ubat sehingga bertambah baik…
10) Mengamuk ketika berada dalam bas kerana penyakit schizophrenia
Ko a/l Jampong, 37, dapat rawatan sejak tahun 1989 kerana penyakit schizophrenia. Kesihatannya terkawal ketika dia berada di Sarawak namun apabila berpindah ke Semenanjung Malaysia, doktor yang merawatnya mengatakan yang dia mula mendengar suara luar dan mengikut arahan suara tuh. Pada 1 Februari 2000, dia mengamuk di atas bas dan mencederakan dua penumpang sebab merasa dirinya terancam oleh suara-suara dalam mindanya.
Ko mengalami penyakit schizophrenia, satu penyakit yang melibatkan dua gejala:
Gejala Positif
- Halusinasi iaitu berkhayal yang bukan-bukan. Contohnya rasa diikut orang atau dengar bunyi yang tak wujud
- Delusi iaitu kepercayaan peribadi yang salah dan berasaskan tanggapan yang silap
Gejala Negatif
- Kemurungan
- Pengasingan diri
- Pemikiran yang tidak teratur
- Kemerosotan akademik atau pretasi kerja
- Perubahan personaliti
Seperti penghidap bipolar, penghidap schizophrenia perlu mendapatkan rawatan seumur hidup untuk mengelak ‘relapse’ iaitu kemunculan kembali penyakit, seperti yang terjadi kepada Ko. Rawatan melibatkan ubat antipsikotik dan psikoterapi yang sebaiknya diberikan seawal mungkin untuk mengelakkan kerosakan lebih kepada otak.
“Keluarga tidak tahu perubahan tingkah laku yang dialami oleh pesakit adalah di sebabkan schizophrenia, malah yang biasa dilakukannya menghantar pesakit ini berubat dengan cara keagamaan kerana dipercayai telah disampuk jin, syaitan dan pelbagai makhluk halus. Pesakit lewat mendapat rawatan, cuma datang ke hospital apabila pesakit bertindak agresif menyebabkan sukar untuk pulih.” – Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil, Ketua Jabatan Perubatan Psikologikal Universiti Malaya, dipetik dari Utusan Online.
Berbalik kepada Ko, dia dibebaskan dari hukuman oleh mahkamah kerana doktor memberi testimoni yang Ko bukan dirinya yang sebenar ketika melakukan jenayah itu. Kalau korang pernah dengar kes penjenayah yang dibebaskan kerana masalah sakit mental, ada kemungkinan ia disebabkan penyakit schizophrenia. Jangan pulak ingat senang-senang penjenayah boleh lepas dari hukuman sebab akan ada diagnosis doktor yang akan sangat teliti sebelum melabelkan pesakit itu mengalami schizophrenia.
11) Turun setiap stesen LRT sebab bimbang tanpa henti
Mamat ni ulang alik kerja dari Ampang ke PJ. Itu memang cabaran kepada orang yang kerja dalam KL atau Selangor. Tapi cabaran kepada mamat ni lebih dari itu. Dia terpaksa berhenti di setiap stesen kerana menghidap penyakit kebimbangan umum ataupun ‘general anxiety.’ Kalau dia tak berhenti jugak, dia takut dengan bahaya yang mungkin jadi kepada dia.
Antara simptom-simptom yang dia terpaksa hadapi setiap hari adalah jantung berdegup kencang, berpeluh, sesak nafas, mulut kering, susah tidur, letih, hilang selera makan, kekejangan, mual dan cirit-birit.
SOSCILI ada menemuramah Dr Vizla Kumaresan, pakar psikologi klinikal dari Pusat Psikologi dan Kaunselling TheMindWorks.
Ini katanya tentang penyakit anxiety:
“Penghidap anxiety bimbang tentang segalanya dan bimbang tentang kebimbangan itu sendiri.” – Dr Vizla Kumaresan, dalam temubual bersama SOSCILI.
Selain dari kebimbangan umum, ada jugak ‘social anxiety disorder’ ataupun yang dikenali sebagai gangguan kebimbangan sosial yang mempunyai ciri-ciri seperti sukar berkomunikasi, rasa malu depan orang lain, takut dengan pandangan orang, mengelakkan diri dari tempat yang ada orang dan sentiasa berpeluh dan terketar-ketar ketika hendak bergaul.
Selain dari kaunselling, rawatan lain melibatkan kumpulan sokongan yang boleh membantu mereka menambah pengalaman dalam pergaulan dan keyakinan untuk berkomunikasi. Ada juga sesetengah kes yang melibatkan penggunaan ubat antimurung dan ubat anti kebimbangan.
Kenapa sesetengah penghidap diberikan diagnosis yang kurang tepat?
Ketika kami buat research, kami guna rujukan yang diterima oleh pakar-pakar di Malaysia dan di seluruh dunia selain menemuramah pakar bidang itu sendiri. Namun, ada sesetengah penyakit yang dipindah kepada kumpulan lain. Ada jugak penyakit yang bunyi macam sama tapi lepas dapat penerangan pakar, baru kami nampak perbezaannya. Dan yang lebih mengelirukan, sesetengah penghidap boleh menghadapi lebih dari satu penyakit pada waktu yang sama.
Jadi cuba bayangkan, bukan senang untuk doktor pakar untuk beri diagnosis dengan cepat dan tepat melainkan pesakit tu sendiri yang betul-betul explain habis semua pengalaman dan simptom yang jadi kat dorang. Mengulas lanjut, Dr Vizla ada penerangan yang logik untuk diagnosis yang kurang tepat.
“Ada kemungkinan penghidap memberi maklumat yang tidak cukup atau tidak tepat. Jadi memang susahlah untuk doktor pakar memberi diagnosis berdasarkan maklumat yang terhad. Lagi satu perkara, ada sesetengah pesakit yang nak pemulihan terlalu cepat. Mereka anggap penyakit ni macam sakit kepala, makan Panadol boleh terus baik. Realitinya, ia akan memakan masa sebelum boleh nampak peningkatan.” – Dr Vizla Kumaresan, dalam temubual dengan SOSCILI.
So maksud kat sini, kalau pesakit tengok ubat macam tak effektif dan terus henti macam tu saja, memang lah takkan baik sebab ubat ambik masa. Dari situ, dorang akan anggap doktor bagi diagnosis yang salah.
Macam mana kalau dorang sendiri tidak nak terima rawatan?
Dr Vizla kata untuk yang di bawah umur 18 tahun, anak yang disuspek mempunyai penyakit di atas hanya perlukan keizinan salah seorang dari bapa atau ibu untuk dia diberikan pemantauan dan rawatan. Kalau pesakit tu atas umur 18 tahun, kena ada danger kepada orang, baru doktor pakar boleh bagi instruction untuk masukkan dorang ke dalam wad. Dalam kes-kes lain, pesakit sendiri lah yang kena volunteer masuk….
Kalau kenal siapa-siapa yang ada simptom-simpton di atas, lawat je hospital swasta atau kerajaan yang kita bagi kat bawah ni. Tapi kena check kat link ni untuk tengok masa lawatan dan jugak sama ada dorang ok kalau korang masuk je (‘walk in’) atau kena ada surat rujukan (‘referral letter) dari klinik kerajaan / doktor perubatan umum.
Bahagian Utara
- Hospital Tuanku Fauziah, Kangar , Perlis: +604-973 8000
- Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah: +604-740 6233
- Hospital Pulau Pinang: +604-222 5333
- Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak: +605 533 23337
Bahagian Selatan
- Hospital Permai, Tampoi, Johor: +607 237 3333
Bahagian Timur
- Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang: +609 513 3333
- Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu: +609 681 3333
- Hospital Melaka: +606 289 2344
- Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan: +606 768 4000
Sabah
- Hospital Mesra Bukit Padang, Sabah: +6088 240 984
Sarawak
- Hospital Miri, Sarawak: +6085 42003
Kami di SOSCILI mendoakan yang terbaik buat korang. So jangan cuba rawat diri sendiri, bantuan kan ada. Kalau takut pegi sorang, bawa member yang korang selesa dan terus pergi dapatkan pandangan doktor pakar ok!
Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2juex4F
a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>
Post a Comment