Hi! Welcome Back and Stay Tune! Bagaimana Travel Sambil Jalankan Misi Kerja Amal Beri Kepuasan Berbeza Kepada Gadis Ini - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Bagaimana Travel Sambil Jalankan Misi Kerja Amal Beri Kepuasan Berbeza Kepada Gadis Ini

Bagi sebahagian daripada kita, travel adalah masa untuk lari seketika daripada kehidupan seharian. Namun bagi mereka yang travel di tempoh masa yang lama, ia boleh jadi cara hidup mereka. Bagaimana pula jika travel adalah masa untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik disamping melihat kehidupan dari sisi yang berbeza?

Inilah yang telah dilalui dan dilakukan oleh Cik Siti Nurulhawa M. Dahiran. Graduan Master in Sc (Computer Science), UTM dan kini bekerja sebagai Senior Software Engineer di sebuah syarikat di Johor Bharu. Hawa menjadikan kembara sebagai cara untuk beliau berbakti kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Jpeg

Ikuti temubual saya bersama Cik Siti Nurulhawa yang merupakan salah seorang sukarelawan yang bergiat aktif dalam kerja-kerja amal melalui NGO yang beliau sertai, iaitu Our Touch.

Vocket: Sejak bila mula terlibat dengan Our Touch dan bagaimana Hawa bermula?

Hawa: Saya mula terlibat dengan Our Touch pertama kali pada Disember 2013 iaitu untuk program ke Battambang, Kemboja. Sebenarnya dah lebih setahun sebelum itu saya berdoa setiap hari. Saya berazam mahu aktif dalam kerja sukarela.

Saya mohon pada Allah lorongkan saya pada jalan yang terbaik. Bila saya baca iklan program ke Kemboja di Facebook, saya rasa ada satu tolakan yang sangat kuat supaya saya sertai. Padahal waktu itu saya sudah ada rancangan sendiri ke Kemboja beberapa bulan selepas program itu.

Vocket: Apakah faktor yang mendorong atau menarik Hawa untuk sertai Our Touch berbanding NGO lain?

Hawa: Faktor pertama yang menarik minat saya kerana Our Touch ada elemen kembara. Faktor kedua kerana Our Touch di pelopori oleh golongan muda. Hal ini menjadikan Our Touch dinamik dan segar dengan idea-idea baru, tidak rigid dan tidak terlalu berprotokol.

Vocket: Apakah peranan Hawa di dalam Our Touch?

Hawa: Saya adalah Naib Presiden dan juga koordinator Our Touch Johor. Selain itu saya juga bertanggungjawab membangunkan laman web Our Touch.

Vocket: Boleh kongsikan apakah itu our touch dan apakah misi kemanusiaan atau kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh Our Touch?

Hawa: Our Touch adalah jenama bagi Persatuan Sentuhan Kembara Malaysia. Jadi kami sebenarnya sebuah kelab. Our Touch mahu menjadi medium bagi anak muda bergiat dalam lapangan sukarelawan dan kami menggunakan aktiviti kembara sebagai tarikan.

Sambil membuat kerja-kerja amal, kami juga menyelitkan aktiviti-aktiviti pelancongan biasa. Ini adalah bonus. Namun, jika sukarelawan mahu lebih dari yang kami sediakan, mereka boleh melakukannya sendiri atau berpakat dengan rakan sukarelawan lain sebelum atau selepas program selesai.

Walaupun kami lebih suka mejauhi formaliti tetapi kami sangat serius dalam bekerja. Mengurus program dan sukarelawan tidak mudah. Ia melibatkan banyak pihak dah hal-hal kritikal seperti logistik. Oleh itu, sukarelawan mesti sedia melaporkan diri pada masa yang ditetapkan.

Dalam program kami, kami akan buka peluang pada sukarelawan mencadang dan melakukan aktiviti. Contohnya ketika di Yayasan Peduli Anak, Lombok, setiap kumpulan menyusun sendiri projek dan aktiviti bersama anak-anak di sana. Ini bertujuan supaya sukarelawan lebih terlibat dan seterusnya menjadikan program itu lebih bermakna untuk mereka.

Dari segi aktiviti, kami menumpukan kepada kerja-kerja khidmat masyarakat. Bukan saja di luar negara bahkan di Malaysia sendiri. Kami telah menjelajah hampir ke semua negeri dan menjejak pedalaman Sarawak juga pulau terjauh di Johor.

Kerja-kerja kami tidak terhad pada satu jenis sahaja. Kami pernah menganjurkan sukarelawan zoo, menanam pokok paya bakau, membaik pulih asrama anak yatim, sukarelawan banjir, kerja asas seperti gotong-royong, bantuan asnaf, pasar percuma dan sebagainya.

Selain itu kami juga mahu mengambil lebih peranan dalam memperkasa pendidikan. Oleh itu pada 2016, kami telah mengagihkan 1300 beg sekolah dan alat tulis ke seluruh pelusuk negara dan membawa 200 lagi ke Kemboja.

Dengan sokongan para dermawan, Our Touch juga menyampaikan kira-kira 500 pakaian seragam sekolah. Our Touch juga telah menganjurkan projek perintis Kem Jati Diri di Sekolah Kebangsaan Sri Sampurna Rengit.

Modul yang kami rangka ini mendapat reaksi positif dari pihak sekolah dan ibu-bapa. Kami berharap dapat meneruskan program seperti ini di sekolah-sekolah pedalaman di seluruh negara.

Dari inisiatif ahli Our Touch yang datang dari latar belakang perubatan dan kesihatan pula, kini satu unit khas iaitu WeCare telah di tubuhkan. Unit ini akan fokus kepada khidmat kesihatan.

Bermula dengan khidmat optometris dan program cermin mata percuma, kini WeCare telah berjaya membentuk pasukan khidmat kesihatan yang lengkap.

Baru-baru ini, pasukan WeCare memberi khidmat pemeriksaan kesihatan termasuk gigi dan mata kepada kira-kira 200 orang penduduk Long Bedian. Long Bedian adalah sebuah kampung pedalaman di Miri yang mana untuk sampai ke sana dari Miri, masa sehari diperlukan dengan mengenderai kenderaan pacuan 4 roda dan feri.

Vocket: Apakah halangan dan cabaran yang pernah dilalui sewaktu di awal menyertai Our Touch?

Hawa: Tiada banyak cabaran. Untuk menjadi sukarelawan Our Touch seseorang individu perlu tahan lasak sebab Our Touch tak menjanjikan keselesaan dari segi tempat tinggal dan pilihan makanan. Tetapi kerana saya dah biasa mengembara gaya poket nipis maka bagi saya hal itu biasa saja.

Vocket: Di negara manakah setakat ini hawa telah pergi mengembara sambil membawa misi our touch dan apakah kerja-kerja yang dilakukan di negara tersebut. Boleh berikan secara ringkas?

Hawa: Bersama Our Touch, saya telah ke Kemboja sebanyak 3 kali iaitu pada 2013 dan dua kali pada 2016. Untuk misi 2016 saya menjadi ketua program, jadi secara peribadi pengalamannya sangat berbeza.

Our Touch menaja pembinaan sebuah perpustakaan desa dan tadika. Selama di sana sukarelawan melakukan banyak aktiviti bersama pelajar seperti eksperimen sains, seni, tunjuk cara kebersihan diri dan gotong royong keceriaan kelas.

Menurut maklum balas jawatankuasa sekolah tersebut, aktiviti berkenaan bukan saja menarik bagi pelajar tetapi juga telah memberi banyak idea baru kepada guru-guru. Mereka kurang pendedahan kerana tidak maju dalam teknologi maklumat.

Untuk makluman, sekolah tersebut adalah sekolah agama rakyat. Hingga kini, mereka masih berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dari kerajaan Kemboja.

Pada 2015, saya menyertai misi bantuan pelarian Syria dan Palestine di Jordan. Our Touch berkerjasama dengan NGO tempatan iaitu Tasbeera. Oleh kerana pelbagai kekangan terutama berkaitan isu keselamatan dan sebagainya, aktiviti yang dilakukan terhad kepada lawatan dan penyampaian barang sumbangan.

Namun, pengalaman menyaksikan sendiri kehidupan pelarian mengajar saya banyak hal. Kami melawat sebuah kem pelarian di Jerash, beberapa sekolah di Irbid, pusat pembangunan wanita dan juga melawat sebuah kampung di sempadan Jordan-Syria yang menerima beribu pelarian tinggal di sana.

Di setiap tempat yang kami singgahi, kami diberi penerangan berkaitan konflik, masalah yang dihadapi mereka dan usaha pelbagai pihak di sana untuk membantu meringankan krisis kemanusiaan.

Our Touch telah mengedarkan 300 beg sekolah untuk pelajar tahun satu di 52 buah sekolah dan kelengkapan musim sejuk kepada 100 keluarga. Selepas pulang dari Jordan kami meneruskan kempen untuk menyara 10 orang anak yatim selama setahun dan melunaskan yuran pengajian lima orang pelajar universiti.

Our Touch berkolaborasi dengan Yayasan Peduli Anak, Lombok sejak awal penubuhan iaitu pada 2012 dan akhirnya pada 2016 saya berpeluang ke sana.

Seminggu tinggal di YPA, saya membantu guru di dalam kelas, menterjemah laporan, mengajar kelas tambahan Bahasa Inggeris dan paling manis ialah menjadi tempat bermanja kepada adik-adik yang tinggal di sana.

Kebanyakan penghuni YPA adalah bekas anak-anak jalanan. Sesetengahnya langsung tidak mempunyai keluarga. Memang ketara yang mereka dahagakan kasih sayang dan perhatian.

Pada hujung minggu, kami pergi berkelah di jeram berdekatan YPA. Saya mula memahami banyak isu di sana terutamanya masalah perkahwinan bawah umur. Untuk makluman, YPA dibina oleh seorang warga Belanda yang asalnya datang ke Lombok untuk bercuti. Beliau menjual perniagaannya di Belanda dan berpindah ke Lombok.

Baca: 5 Persediaan Yang Anda Perlu Ada Sebelum Sertai Misi Kemanusiaan

Vocket: Apakah perubahan diri yang dirasai selepas menyertai misi our touch. Mungkin dari segi pandangan hidup, misi dan visi hidup Hawa?

Hawa: Ya, tentu sekali. Pertamanya tentang kembara. Dengan Our Touch saya mendapat yang jauh berbeza. Sebelumnya saya melawat ke negara lain untuk kepuasan diri sendiri, untuk mendapat pengalaman dan meluaskan pandangan.

Kembara adalah hobi saya dan ia berlaku tanpa tekanan. Apabila saya menjadi sukarelawan, hal itu berubah. Ini kerana saya telah berazam memberi komitmen. Saya pergi untuk bekerja bukan berseronok.

Walaupun begitu, keseronokan itu tetap ada tapi mungkin dalam bentuk berbeza. Mungkin bukan setakat seronok, tapi saya merasakan bahagia. Terutamanya apabila melihat senyum anak-anak yang disantuni dan doa dari orang-orang tua.

Keduanya, dalam hidup ini, kita ada banyak kehendak. Kadang-kala kita terbanding hidup kita dengan orang lain. Orang lain bergaji tinggi, orang lain mampu itu ini, orang lain bahagia berkeluarga dan macam-macam lagi.

Ketika di Battambang saya berkenalan dengan Rahimah. Dia pernah bersekolah pondok di Kelantan tetapi pulang semula ke Kemboja kerana neneknya sakit.

Oleh kerana hidup mereka susah dia tak dapat meneruskan pendidikan. Dia meluahkan pada saya betapa dia suka belajar tapi apakan daya nasib tak menyebelahinya.

Dia dikahwinkan pada usia muda. Umurnya waktu itu baru 17 tahun, sudah mengendong seorang bayi. Sedangkan saya pula selalu cemburu pada kawan-kawan sebaya yang mula sibuk membesarkan anak-anak.

Jika saya membandingkan hidup saya dan penduduk kampung Norea Mui, sedarlah saya yang hidup saya sangat baik. Allah telah memberi saya banyak kesenangan, saya jadi malu untuk mengeluh tentang hidup saya.

Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, telah lama saya bercita-cita mahu terlibat secara serius dalam kerja amal. Kalau Our Touch diibarat sebagai kenderaan, ia telah memberi saya arah dan tujuan. Mudah-mudahan saya dapat bersama Our Touch selagi hayat dikandung badan.

Vocket: Apakah pengalaman yang tak dapat Hawa lupakan sepanjang sertai misi Our Touch? Kita mulakan dengan pengalaman manis.

Hawa: Dinaik taraf ke kelas perniagaan dalam perjalanan Mumbai-Amman dengan Kuwait Airlines gara-gara terlebih berat bagasi. Bagasi yang berat tu adalah 100 pasang jersi JDT tajaan yang kami bawa dari Johor untuk anak-anak Syria. Lebihan berat 12kg sepatutnya dicaj RM600 tapi berlaku sebaliknya. Kisah ini ada saya kongsikan di blog peribadi saya di Kembara Poket Nipis.

Wajar ceria anak-anak Syria selepas menerima baju JDT daripada Our Touch.

Pengalaman ngeri atau cemas

Terperangkap dalam trafik ketika ribut salji di Jordan. Pada mulanya semua sukarelawan teruja kerana salji turun. Pemandu bas yang membawa kami minta kami banyak istigfar dan selawat. Semua kenderaan waktu itu tidak dapat bergerak betul, pasti melencong kerana jalan sangat licin.

Sebuah lori hampir saja menghentam bas kami pada sisi kiri kerana hilang kawalan. Saya yang duduk di sisi tingkap hanya terpegun bila melihat badan lori tersebut menyenget ke arah bas kami.

Kami terperangkap beberapa jam sebelum akhirnya sampai ke hotel. Salji lebat sepanjang malam hingga ke pagi. Keesokan harinya seluruh bandar Amman bercuti kecemasan. Kedai, sekolah dan pejabat ditutup. Program kami pada hari itu juga dibatalkan.

Pengalaman lucu

Ketika saya dan Azliana mengemas kelas selepas aktiviti projek sains bersama pelajar di Sekolah Al Haromain Battambang, hujan turun sangat lebat padahal ketika itu musim kemarau. Kami terperangkap di dalam kelas.

Jadi, kami pun duduk berbual sambil menuggu hujan reda. Kemudian beberapa orang pelajar perempuan tahun lima masuk bertemu saya.

“Kakak, mandi air! Mandi air!” kata salah seorang yang pandai sedikit bercakap bahasa Melayu. Saya tak faham apa yang mereka maksudkan. Mereka mengajak saya keluar.

Saya menolak kerana hujan sangat lebat diluar. Tak semena-mena mereka memaut lengan saya dan menggiring saya. 2 orang disebelah kanan dan 2 orang disebelah kiri. Saya bingung tetapi hanya menurut.

Sampai saja di muka pintu, saya lihat Cikgu Sounay, sukarelawan-sukarelawan lelaki dan pelajar-pelajar bergerak dalam gerombolan dari hujung koridor ke arah kami. Mereka bersorak-sorai, menari-nari dan saling mengejar dalam hujan.

Semuanya basah kuyup. Oh.. mereka berpesta hujan rupanya. Saya hanya ketawa melihat gelagat kanak-kanak yang mengejar Liang dan Loong (Liang dan Loong adalah sukarelawan) yang menjulang batang Go-Pro masing-masing.

Tiba-tiba muncul seorang budak lelaki dengan baldi berisi air keruh meluru kearah saya. Ah! Bahaya! baru saya faham kenapa saya digiring. Saya meronta dan cuba melepaskan diri tapi sudah terlambat.

Mereka semakin kuat bersorak diapi-apikan Hafiz dan Salami (keduanya adalah sukarelawan). Azliana yang berada dibelakang saya sempat lari kedalam kelas. Saya tewas! Basah dari tudung hingga kasut. Mereka bersorak meraikan seorang lagi mangsa.

Azliana ketawa paling kuat, terbahak-bahak hingga tak boleh berdiri melihat saya yang bingung dan basah. Waktu itulah seorang lagi datang dengan bekas air dan Azliana pun turut basah juga akhirnya.

Berpindahlah ketawanya kepada saya. Hahaha. Rupanya memang itu aktiviti mereka bila hujan. Berlari berkeliling sekolah dan berpesta songkran kecil.

Pengalaman yang menyentuh hati

Ketika mengikut program Our Touch di Kemboja pertama kali pada 2013, salah satu aktiviti ialah menziarahi fakir miskin di sana dan menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas.

Kebanyakan asnaf yang kami ziarahi adalah ibu tua yang tinggal sebatang kara. Salah seorang ibu yang kami ziarahi buta matanya. Beliau tinggal seorang diri, menumpang di belakang rumah orang. Tempat tinggal beliau hanyalah sebuah pangkin berukuran 1.5m x 1.5m tanpa dinding.

Selepas menyampaikan sumbangan, saya salam dan cium tangannya. Dia meraba-raba tangan saya lalu menjalar ke bahu hingga ke muka saya, kemudian dia menekup kedua rahang saya dan mencium seluruh wajah saya bertalu-talu seolah-olah saya ni anaknya yang dia sangat rindui. Berjurai air mata saya waktu itu. Semua yang berada di situ pun sama menangis. Ibu buta ini adalah Polpot survivor.

Vocket: Jika tak keberatan boleh kongsikan impian Hawa terhadap Our Touch

Hawa: Mudah-mudahan satu hari kami mampu menubuhkan sebuah yayasan yang dapat menyokong Our Touch dari segi sumber daya dan kewangan. Doa saya semoga Our Touch akan kekal relevan selagi dunia memerlukan.

Vocket: Bagaimana pula impian Hawa di masa depan secara peribadi

Hawa: Bak kata Andrea Hirata lewat watak Arai dalam novel Sang Pemimpi, “Tanpa mimpi orang seperti kita akan mati”. Justeru saya punya banyak mimpi. Ada yang sedang saya usahakan, ada yang masih saya peramkan.

Apakah impian-impian itu? Saya lebih senang berkongsi dengan orang-orang terapat kerana ada sensasi untuk mengumumkan “Inilah impian saya sekian lama” bila ia menjadi kenyataan. Jika saya umumkan kepada semua, sensasi itu akan hilang.

Vocket: Boleh berikan sedikit pesanan kepada pembaca Vocket yang mungkin berminat untuk travel sambil beramal seperti yang telah Hawa lakukan.

Hawa: Beberapa tahun kebelakangan ini, mengembara kian menjadi trend dan gaya hidup. Saya menjangkakan, pada tahun 2017 ini, colunteering dan kerja-kerja sukarelawan juga akan menjadi trend.

Anda boleh lakukan sendiri atau mengikuti mana-mana organisasi. Ini adalah salah satu cara melihat kehidupan masyarakat tempatan yang jauh dari pesona iklan-iklan pelancongan.

Anda mungkin bercuti dari realiti hidup anda. Sebaliknya anda masuk ke realiti kehidupan orang lain. Pesan saya sentiasalah merendah diri dan jangan pernah merasa puas hati kerana sedikit bantuan yang diberi.

Ingatlah, kita ini hanya posmen yang Allah hantarkan, dan kita tidak melakukannya dengan percuma kerana balasan dari Allah itu pasti. Lakukan pekerjaan ini dengan sepenuh hati. Anda bertuah kerana terpilih. Saya doakan sesiapa saja yang melakukannya akan menemui apa yang mereka cari.

Berkenaan kerja amal anjuran Our Touch

Sebenarnya, kerja-kerja kami bermula lama sebelum sesuatu program. Sebagai penganjur, kami juga perlu mengumpulkan dana. Mungkin saya boleh katakan 80% dari kerja-kerja program adalah pengumpulan dana.

Walaupun peserta membayar sendiri kos perjalanan mereka, tetapi dana yang diperlukan untuk aktiviti dan sumbangan tidaklah kecil. Tiada dana, tiadalah program.

Selain kempen derma, kami turut menganjurkan pelbagai acara amal. Dari aktiviti outdoor seperti hiking dan white water rafting hinggalah ke kelas membuat roti dan kek. Kami juga berniaga dari baju dan buku terpakai.

Usaha keras para sukarelawan yang aktif bersama Our Touch sangat penting pada kelangsungan program-program Our Touch. Mereka bukan setakat mengorbankan wang ringgit dan harta benda, tetapi juga masa dan tenaga.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para dermawan dan sukarelawan yang sentiasa menyokong Our Touch. Saya juga mahu merakamkan penghargaan istimewa untuk ahli jawatankuasa Our Touch yang sentiasa bekerja keras menghidupkan Our Touch. Saya sayang kamu semua.

Pelajar Alharomain Islamic School dengan beg sekolah Our Touch

Buat Hawa, terima kasih atas perkongsian di Vocket. Saya percaya misi sebegini akan sentiasa mendapat sokongan daripada golongan muda di negara ini. Kita sebenarnya tidak pernah ketandusan mereka yang berjiwa murni.

Jika anda ingin turut serta dan ikuti misi kerja amal yang akan dianjurkan oleh Our Touch, boleh hubungi Facebook Page Our Touch atau kunjungi website www.ourtouch.org.my.

Baca lagi: Bagaimana Trip Travel Pemuda Ini Bertukar Menjadi Bantuan Buat Warga Miskin Bosnia

Let's block ads! (Why?)





Sumber : VOCKET

P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.