Hi! Welcome Back and Stay Tune! PANDU UJI: Toyota Fortuner Miliki Imej SUV, Berkongsi Sifat Trak Pikap – Praktikal Untuk Pengangkutan Harian - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

PANDU UJI: Toyota Fortuner Miliki Imej SUV, Berkongsi Sifat Trak Pikap – Praktikal Untuk Pengangkutan Harian

Ketika UMW Toyota melancarkan model baharu Hilux pada Mei tahun lalu, SUV Fortuner 2016 turut ‘diselitkan’ untuk diperkenalkan di pasaran tempatan. Biarpun ia tidaklah ‘sepanas’ Hilux generasi kelapan, namun Fortuner generasi kedua ini tetap dinanti-nantikan oleh mereka yang gemarkan SUV berkapasiti tujuh-tempat duduk.

Di Malaysia, SUV tujuh-tempat duduk tidaklah sepopular SUV lima-tempat duduk yang memiliki permintaan yang lebih tinggi di Malaysia. Ini kerana jika inginkan kapasiti tempat duduk lebih dari lima, rata-rata rakyat Malaysia lebih senang memilih MPV, berbanding SUV tujuh-tempat duduk. Selain soal harga, keterbukaan kebanyakan antara kita mengenai SUV tujuh-tempat duduk masih kurang.

Selain memiliki sifat lasak, yakni juga sesuai untuk dilenjan secara agresif termasuk di laluan off-road, SUV ini juga praktikal sebagai kenderaan seharian termasuk bagi kegunaan seisi keluarga.

Kalau sebut sahaja SUV tujuh-tempat duduk, ada beberapa pilihan buat masa ini termasuklah Hyundai Santa Fe dan Mitsubishi Outlander. Namun bagi Fortuner yang dibina mengikut asas yang sama dengan trak pikap Hilux, pesaing terdekatnya ialah Mitsubishi Pajero Sport (asas yang sama dengan Triton), Isuzu MUX (D-Max) dan Ford Everest (Ranger).

Melihat akan pesaingnya, pastinya bukan satu langkah yang tepat jika Fortuner mengambil sikap ‘mudah’ untuk bersaing dengan model-model tersebut. Masing-masing tetap memiliki kehebatan dan kekurangan yang tersendiri.

Bagi pasaran Malaysia, Fortuner 2016 didatangkan dengan dua varian berbeza iaitu varian asas VRZ 2.4L diesel dan varian tertinggi SRZ 2.7L petrol. Penulis berpeluang mendampingi Fortuner SRZ 2.7L petrol ini buat beberapa hari bagi menggali setiap sudut kelebihan dan kekurangannya.

Seperti mana Hilux serba baharu, Fortuner 2016 ini juga dibina dengan kerangka ladder frame FIRM (Frame with Intergrated Rigidity Mechanism). Cuma berbeza dengan dimensinya iaitu 4,795 mm (535 mm lebih pendek dari Hilux), tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,745 mm (340 mm lebih pendek dari Hilux), tetapi lebarnya sama dengan Hilux; 1,855 mm.

Bagi memberikan sedikit perbezaan daripada sudut pengendalian antara SUV ini dan pikap Hilux ialah padanan suspensi belakangnya. Jika Hilux tampil dengan spring dedaun, Fortuner pula menggunakan konfigurasi spring gegelung 4-Link dengan rod kawalan lateral dan penstabil.

Malahan suspensi ini juga ditala dengan lebih selesa berbanding Fortuner generasi terdahulu dengan mengurangkan pergerakan bumping badan kereta ini seminimum yang mungkin.

Dengan platform yang digunakan ini, ternyata pengendalian Fortuner ini lebih selasa. Jika memandu model terdahulu, olengan badannya memang mudah terasa, bahkan kesan beralun ketika berada di dalam SUV ini mudah mengundang pening. Namun ternyata Fortuner baharu ini mampu menyingkirkan rasa itu, walau pun tidak sepenuhnya kerana karakter aslinya yang sedemikian.

Dengan enjin berkuasa 2.7 liter 4-silinder DOHC, naturally-aspirated Dual VVT-i, kuasa yang dimiliki boleh dirasakan sederhana. Dengan hamburan output sehingga 164 hp pada 5,200 rpm dan tork 245 Nm pada 4,000 rpm bersama transmisi automatic (ECT) enam-kelajuan, kadangkala terasa agak ‘malu-malu kucing’. Dalam hati berkata, kalau ia janaan enjin diesel, pastinya lonjakan kuasanya lebih padu dengan kapasiti enjin sebegini.

Faktor kadar berat kerangkanya, membuatkan adakalanya ia memerlukan kerahan tenaga yang berlebihan terutamanya ketika hendak memotong kenderaan lain atau pun melalui jalan berbukit. Sekiranya mahu ‘bermain-main’ dengan anjakan kuasa yang lebih memuaskan, varian 2.7L ini turut disertakan mod pemanduan manual dengan kawalan pedal penukar gear di belakang roda stereng.

Ia juga menawarkan ciri ‘throttle blip’ ala kotak gear kereta sport ketika menurunkan gear secara manual, untuk memastikan tiada ‘renjatan’ penurunan gear dirasakan.

Malahan ia turut disediakan dengan Suis Mod Pemanduan yang membolehkan pemandu memilih mod ECO bagi penggunaan bahan api yang lebih efisien atau pun POWER sekiranya mahu lonjakan kuasa yang lebih pantas.

Tetapi memiliki SUV bersifat lasak sebegini, soal prestasi bukanlah perlu diutamakan. Apa yang penting, ia memiliki ruang dalaman yang luas, besar dan sistem pacuan 4×4 memberikan keizinan untuk ia dilenjan tanpa batasan.

Jika pemilik Fortuner ini tidak begitu ‘ambil berat dan rasa sayang’, cuba-cubalah lenjan SUV ini di laluan off-road. Walau pun ia tidaklah selasak kembarnya, Hilux, namun Fortuner juga tidak menghampakan bila dilenjan di laluan off-road yang bersifat ringan atau sederhana.

Setakat hendak meredah air termasuk banjir, mungkin tiada masalah tetapi jangan lupa periksa dahulu kedalaman air tersebut. Ini kerana Fortuner 2016 ini memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) yang sama dengan Hilux iaitu 279 mm. Bagi jejari pusingannya pula, ia mencapai 5.8 m.

Selain itu, Fortuner ini juga ditampilkan dengan Auto Disconnecting Differential (ADD) yang membenarkan penukaran pacuan dari 2WD ke 4×4 sewaktu kenderaan sedang bergerak di bawah kelajuan 100 km/j. Malah bagi memudahkan pengendalian di dalam mod 4×4, ia juga ditampilkan dengan Electronic Transfer Dial dengan rotary dial, untuk 4H, 2L atau 2H.

Lain-lain elemen bantuan pemanduan Fortuner yang turut ditampilkan termasuklah Rear Differential Lock dan Active Traction Control (A-TRC), yang sangat membantu terutamanya jika ia dilenjan secara lasak.

Memerhati gaya yang diperaga oleh Fortuner ini, ia tampil dengan imej yang lebih menarik pada pandangan luarannya. Bagi varian 2.7L SRZ ini, ia dilengkapi dengan lampu hadapan projektor Bi-LED dan lampu nyalaan siang LED. Sistem lampu kedua-dua varian dilengkapi dengan fungsi Follow Me Home.

Selain itu, ia juga ditampilkan dengan cermin sisi berkuasa elektrik berserta lampu isyarat membelok LED dan lampu puddle. Manakala di belakangnya pula, lampu LED disertakan.

Untuk memberikan impak sebuah SUV mewah, pintu tailgate belakang Fortuner dilengkapkan dengan sistem bukaan berkuasa, membolehkan ianya dibuka/ditutup secara automatik sama ada dengan menekan suis pada pintu tersebut ataupun menggunakan butang pada alat kawalan jauh.

Profil sisi SUV ini menyaksikan varian SRZ ini dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 18-inci dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

Menjengah bahagian dalaman Fortuner tampil dengan rekaan yang lebih premium. Secara standard, ia dilengkapi dengan unit pemain CD dan MP3 2-DIN dengan sambungan AUX, USB dan Bluetooth.

Namun untungnya varian SRZ kerana ia turut dilengkapi ciri-ciri lebih premium meliputi Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci, unit infotaimen pemain DVD dengan skrin sesentuh 8-inci dan sambungan telefon pintar, WiFi, pelayar internet, sistem navigasi, AUX, USB, kad SD, Bluetooth dan HDMI.

Selain itu, turut disertakan dengan enam pembesar suara dan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Roda stereng empat-jejari pelbagai fungsi turut didatang standard untuk semua varian namun hanya SRZ dibalut dengan kulit.

Upholstery SRZ juga menerima balutan kulit berwarna perang gelap pada kesemua tempat duduk tuil gear, penutup kotak konsol tengah dan panel pintu. Ciri-ciri tambahan lain SRZ untuk bahagian dalam juga termasuk penghawa dingin automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, kemasan perak dan krom pada pemegang pintu, tuil gear, tuil brek tangan dan suis kawalan penghawa dingin.

Seperti mana yang disebut pada peranggan awal, ruang kabinnya yang luas memberikan bonus tambahan sekiranya memiliki SUV bersaiz besar ini. Malah ruang kaki dan ruang kepala bagi tempat duduk barisan kedua dan ketiga SUV berkapasiti tujuh-tempat duduk ini juga boleh dikatakan agak selesa.

Tempat duduk pemandunya mempunyai larasan kuasa dengan lapan-cara, manakala larasan manual dengan empat-cara bagi tempat duduk penumpang hadapan. Bagi tempat duduk barisan kedua, ia boleh dilipat secara 60:40 dengan hanya sentuhan pada ‘One touch tumble’. Manakala barisan ketiga juga boleh dilipat secara 50:50, dengan tuil ‘One-touch Easy Space Up’.

Bagi aspek keselamatan, varian tertinggi Fortuner ini dilengkapi dengan tujuh-unit beg udara, membolehkan SUV ini menerima penarafan lima-bintang dalam ujian penilaian keselamatan ASEAN ANCAP.

Selain itu, ia juga menampilkan ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC). Cagak isofix pada bahagian tempat duduk belakang adalah standard untuk semua varian.

Fortuner 2016 ini ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Attitute Black, Avant Garde Bronze Metallic, Super White II, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Gray Metallic.

Dengan harga atas jalan RM183,800 (termasuk insurans), Fortuner 2.7 SRZ 4×4 ini, seakan berposisi di pertengahan antara model pesaingnya iaitu Mitsubishi Pajero Sport (RM180k), Isuzu MUX (RM173k-RM177k) dan Ford Everest (RM199k bagi 2.2L Trend 2WD-RM259k bagi 3.2L Titanium AWD). Daripada segi prestasi, mungkin Fortuner tidaklah secemerlang Everest waima bagi varian enjin 2.2 liter apatah lagi 3.2 liter yang lebih berkuasa.

Namun jika dibandingkan dengan MUX, Fortuner lebih selesa dipandu. Manakala bagi Pajero Sport bersama enjin 2.5L, terjahan kuasa Fortuner lebih cemerlang tetapi pengendalian yang ditampilkan oleh SUV buatan Mitsubishi ini lebih menyeronokkan. Pilihan anda bagaimana pula?





Sumber : Siakapkeli

P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.