Macam mana arahan eksekutif Trump boleh efek rakyat Malaysia?
Bila Donald Trump terpilih jadi presiden Amerika dalam pilihanraya US baru-baru ni, semua orang terkejut beruk. Beruk pun turut sama terkejut. Mana taknya, Trump memang terkenal dengan macam-macam ucapan yang rasis, seksis, dan anti-Muslim; tapi tetap jugak menang. PM Najib kita sendiri pun tak tunggu lama nak ucapkan tahniah.
Dan nampaknya Trump ni bukan sekadar sembang kencang je. Jumaat lepas, Trump melancarkan arahan eksekutif yang menggantung 7 negara Islam daripada datang ke Amerika, dan jugak melarang kesemua kemasukan pelarian dari Syria. Benda ni masih lagi cuma Arahan Eksekutif, maknanya masih boleh ditarik balik oleh kerajaan, tapi kemungkinan besar akan diluluskan.
Itu semua cerita kat negara-negara Timur Tengah, macam mana pulak dengan Malaysia? Setakat ni PM Najib dah kata yang hubungan Malaysia-Amerika akan terus kukuh.
Tapi kami di SOSCILI cuba tengok secara lebih mendalam tentang arahan eksekutif Trump yang lain, dan nampak gaya mungkin ada sebab kita kena risau, kerana…
Harga barangan elektronik kat Malaysia mungkin bertambah naik?
Korang mungkin biasa dengan nama-nama macam Intel, AMD, dan Dell. Banyak syarikat Amerika bukak kilang dorang kat Malaysia, daripada industri minyak sampailah ke IT. Of course bukan kat Malaysia je – Amerika banyak bukak kilang kat negara-negara luar macam China sebab kos pekerja yang sangat murah.
Tapi bila Trump jadi presiden, dia buat meeting dengan CEO syarikat-syarikat besar dan bagi warning bahawa syarikat yang ada kilang kat luar Amerika akan dikenakan cukai yang tinggi. Alasan Trump adalah kerana dia nak bagi peluang kerja kepada rakyat Amerika, bukan orang luar.
Jadi apa kesan buruk benda ni? Professor dari Wharton kata benda ni mungkin boleh menaikkan harga barang kat Amerika sendiri.
“Sesetengah survey mengatakan yang ada orang yang sanggup bayar lebih untuk produk yang dibuat di US. Tapi berapa banyak — 5%, 10%?” – Stephen J. Kobrin, professor di Wharton.
Apa kaitan pulak dengan kita? Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), US merupakan negara ketiga terbesar dalam jumlah import Malaysia. Dah tu kalau kat Amerika pun harga barang naik, bayangkan apa jadik bila kita import barangan dorang?
Bergantung kepada apa yang kita import daripada US, benda ni mungkin akan lebih bagi kesan kepada barang-barangan elektronik, tak lupa jugak beberapa produk makanan. So lepas ni tak payah la nak beli iPhone, hantar surat je la pada orang-orang tersayang…
Tapi kita bukan perlu risau pasal harga barang naik je, tapi prinsip “America First” daripada Trump ni boleh menyebabkan perkara yang lebih buruk, iaitu…
Pekerja kilang kat Malaysia boleh hilang kerja?
Macam yang kami cakap kat atas tadi, banyak syarikat dari US yang bukak kilang kat Malaysia. Menurut MIDA, syarikat-syarikat ni termasuklah Intel, Western Digital, Dell, dan banyak syarikat elektronik yang lain.
Jadi oleh kerana Trump nak tarik balik peluang pekerjaan balik ke Amerika, adakah Malaysia pun terkena tempias sekali? Oleh kerana kilang-kilang ni semua akan dikenakan cukai yang tinggi kalau dorang guna pekerja luar US, adakah dorang akan akhirnya tutup kilang kat Malaysia?
Benda macam ni masih lagi spekulasi, tapi tak terlalu awal untuk kita fikirkan, nak lagi bila melihat betapa besarnya eksport negara kita bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik. Menurut MIDA:
“Industri elektrik dan elektronik (E&E) adalah sektor terbesar dalam industri pembuatan Malaysia, memberi sumbangan yang besar dalam eksport (33.4%) dan juga peluang pekerjaan (23.7%) di negara kita pada tahun 2014.” – Dipetik dari MIDA.
Malah, USA juga merupakan negara ketiga terbesar daripada jumlah eksport kita.
Kalau tak dapat eksport ke US, nak jual barang kita kat mana? Jual kat bundle?
Cuba tengok negara nombor dua paling besar kat graf kat atas ni, iaitu China… dan inilah perkara seterusnya yang kami nak sembang…
Trump akan membuatkan kita sangat bergantung kepada China?
Sebelum ni Malaysia telah mengumumkan bahawa kita akan join perjanjian TPPA di mana kita dan juga 11 negara lain bersetuju untuk membuat perdagangan yang lebih terbuka antara satu sama lain, termasuklah USA.
TPPA ni memang mengundang kontroversi dan sangat kompleks untuk dibincangkan. Korang boleh baca analisis daripada FOCUS tentang kenapa Malaysia perlu tolak TPPA (siri 1, 2, 3, dan 4), dan artikel kat CILISOS tentang kenapa TPPA ni taklah seburuk disangka.
Tapi samada sokong ke tak, yang pasti kita boleh cakap yang TPPA merupakan sebahagian daripada usaha USA untuk menyaingi China dalam perdagangan di rantau Asia. Malah kat Malaysia sendiri korang boleh tengok macam mana US dan China merupakan dua negara besar dalam import/eksport kita:
So bila Trump menarik diri daripada TPPA, ada yang kata strategi ni akan menguntungkan China. Seorang netizen, Ayman Rashdan Wong ada ulas pasal benda dengan sangat jelas:
“Tanpa persaingan US, China boleh memaksimakan kuasa ekonominya. Perdagangan Malaysia dengan China kini menyamai 12% dari jumlah perdagangan Malaysia secara keseluruhan, perdagangan Malaysia dengan US pula menyamai 10%.
Bayangkan kalau perdagangan kita dengan US dikurangkan menjadi 2%, kemungkinan besar China akan mengambil alih 8% tersebut dan menambah syernya ke 20%, menjadikan ia semakin mendominasi ekonomi kita.” – dipetik daripada FB Ayman Rashdan Wong.
Dan walaupun sekarang kita dah tak join TPPA, sebenarnya kita masih terlibat dalam satu lagi perjanjian ekonomi lain yang dinamakan RCEP. RCEP tak melibatkan Amerika, sebaliknya ia ia ada satu player besar yang lain iaitu… China!
Uih TPPA la, RCEP la, macam nama highway pun ada. Ok sekarang kitorang pun tak nak pecah kepala cuba nak faham menatang jadah apa RCEP ni. Tapi kitorang nak tau, apa efeknya kepada Malaysia?
Ada pendapat yang mengatakan RCEP sebagai ‘senjata’ China untuk menguasai ekonomi di Asia. Tapi ada jugak pendapat lain yang kata ianya takdelah simple macam tu, sebab RCEP ni sebenarnya diketuai negara-negara ASEAN sendiri.
Kami ada tanya Ayman Rashdan Wong untuk bagi komen, dan ini pendapat dia:
“Walaupun ramai yang RCEP adalah dipandu oleh China (China-driven), namun sebenarnya ia adalah inisiatif ASEAN untuk consolidate perjanjian2 perdagangan ASEAN yang sedia ada dengan Australia, New Zealand, China, Korea Selatan, Jepun dan India.
Malah RCEP boleh dikatakan sebagai hasil buah fikiran Tun Dr. Mahathir yang telah berusaha untuk menubuhkan kerjasama ASEAN+3 (China, Korea Selatan, Jepun) pada 1997.” – Ayman Rashdan Wong, dalam interview dengan SOSCILI.
Fuhh boleh lega sikit. Hirup sirap bandung seteguk.
Kesan kepada Malaysia mungkin jauh lagi, tapi kita perlu berhati-hati
Setakat ni apa yang kami tuliskan dalam artikel ni masih bersifat spekulasi sebab masih awal untuk kita lihat kesan daripada kepimpinan Donald Trump kat USA. Tapi itu tak bermakna kita dah boleh rileks goyang kaki makan kacang.
Dulu SOSCILI ada menerangkan macam mana kedua-dua US dan China cuba nak ushar Malaysia. Bukan la nak kata Malaysia ni hot sampai orang terkejar-kejar, tapi kita hanyalah satu daripada negara-negara ASEAN yang boleh dipergunakan kuasa-kuasa besar untuk kepentingan dorang.
Contohnya, baru-baru ni China telah meningkatkan pelaburan kat Malaysia dengan projek Forest City kat Johor dan juga keretapi dari KL ke Singapore yang bernilai RM50 billion. Malah China pernah bail out 1MDB dengan jumlah 10 billion! Kalau memang tujuan tu ikhlas suci murni nak melabur takpe lah jugak, tapi ada yang berpendapat bahawa China sebenarnya nak melaksanakan strategi “one belt, one road” dengan membuatkan negara-negara lain berhutang kepada mereka.
Jadi harapnya pemimpin kita mestilah bijak dalam memastikan hubungan ni semua balance, bak kata Ayman Rashdan Wong:
“Ospyen yang ada pada Malaysia adalah memperluaskan capaian pasaran dan mempelbagaikan perdagangan supaya tidak terlalu bergantung kepada mana-mana negara demi mengurangkan vulnerability.” – Ayman Rashdan Wong, dalam interview dengan SOSCILI.
Atau mungkin kita tak perlu nak risau sangat sebenarnya, sebab Trump dan PM Najib kan kamceng.
(Artikel ini ditulis bersama dengan Adly.)
Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2jLdhgU
a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>
Post a Comment