Berdoa persediaan mental juruterbang kawal situasi kecemasan - pakar
Pakar penerbangan berpendapat, tindakan juruterbang pesawat AirAsia X D7237 yang meminta penumpang berdoa ketika menghadapi situasi kecemasan baru-baru ini, bukanlah kesalahan malah ia sebahagian daripada praktis bagi menenangkan penumpang dan mengawal keadaan.
Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata tidak semua situasi dapat dilatih dalam simulator atau menggunakan kapal terbang yang nyata kerana setiap situasi adalah unik dan berdoa antara pilihan yang ada bagi mana-mana juruterbang.
"Dalam menghadapi situasi getir yang tidak pernah dilalui sewaktu latihan atau menggunakan simulator, kesediaan mental adalah perlu termasuk berdoa.
"Malah dari segi psikologi, berdoa memberikan kita persediaan mental tersebut. Dan dari segi agama, memang kita disarankan untuk bergantung pada Ilahi kerana apa-apa sahaja boleh berlaku di dalam apa-apa situasi," katanya kepada Bernama.
Mohd Harridon mengulas insiden pesawat Air Asia X D7237 yang berlepas dari Perth ke Kuala Lumpur 7 pagi Ahad lepas waktu tempatan, namun terpaksa berpatah balik ketika berada di ruang udara dekat perairan Carnarvon, Australia berikutan masalah teknikal.
Juruterbang itu dilapor meminta penumpang berdoa namun tindakannya itu dipertikai anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim yang seolah-olah tidak merestui perbuatan tersebut.Sementara itu, bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata tiada yang pelik dalam berdoa sewaktu penerbangan, malah banyak lagi syarikat penerbangan yang memainkan video doa musafir sebelum penerbangan termasuk British Airways untuk penerbangan khas Haji dan Umrah.
"Lazimnya yang sering mempersoalkan keperluan doa adalah daripada kalangan orang yang tidak beragama," katanya.
Berkaitan dengan masalah teknikal dihadapi pesawat tersebut, beliau menjelaskan, pesawat jenis Airbus A330 itu sememangnya boleh berlepas, terbang dan mendarat dengan hanya menggunakan sebelah enjin sekiranya bilah kipas enjin yang dipadamkan berada dalam keadaan terimbang.
"Dalam keadaan penerbangan AirAsia X D7 237, satu bilah kipas turbin telah patah dan menghentam satu oil pump serta merosakkan sistem hidraulik sebelum 'ditelan' oleh enjin. Apa lagi kerosakan yang dialami enjin tersebut tidak diketahui.
"Ketidakseimbangan bilah kipas ini mengakibatkan gegaran teruk kepada rangka pesawat dan tindakan seterusnya ialah untuk juruterbang mematikan enjin tersebut dan berpatah balik.
"Namun untuk dua jam seterusnya gegaran yang kurang sedikit kekuatannya masih berlaku kerana satu fenomena yang digelar 'efek kincir angin' yang mana bilah kipas tersebut diputarkan oleh angin akibat pesawat itu menujah ke hadapan," katanya.
Abdul Rahmat Omar berkata, bagaimanapun disebabkan ia tidak berputar secara seimbang, satu lagi fenomena yang dikenali sebagai 'dynamic spillage' membentuk kon udara di hadapan enjin tersebut berlawanan dengan udara yang ditolak ke belakang oleh tujahan tersebut.
Oleh itu katanya, keadaan ini boleh mengakibatkan kemungkinan 'mounting bolt fatigue' dan seterusnya tertanggalnya enjin tersebut yang mana ketidakseimbangan ini boleh berakhir dengan malapetaka besar.
"Juruterbang tersebut faham akan keadaan itu dan memberitahu penumpang bahawa keadaan di geladak penerbangan adalah terkawal namun sekiranya ada yang ingin mendoakan keselamatan, boleh berbuat sedemikian," katanya.
Seorang lagi pakar yang juga juruterbang tempatan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata juruterbang telah dilatih dan akan melakukan apa sahaja bagi memastikan penumpang bertenang dan terkawal dalam apa jua keadaan dan situasi.
Jelasnya, jika situasi sewaktu penerbangan tidak dikawal dengan baik, keadaan akan bertambah buruk sewaktu pendaratan mahupun ketika pemindahan kecemasan di lapangan terbang.
"Dalam kes seperti ini, mana-mana syarikat penerbangan ada operasi standard prosedur (SOP) yang perlu dipatuhi dan diikuti bagi mengawal kokpit, penumpang dan lain-lain lagi. Berdoa itu antara aturan untuk mengawal keadaan," tambahnya.
-- BERNAMA
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tkwawO
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment