Hi! Welcome Back and Stay Tune! Gaya Kompak, Sporty - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Gaya Kompak, Sporty


Enjin kereta ini pernah memenangi anugerah Enjin Tahunan Antarabangsa (International Engine of the Year) bagi tahun 2015 dan 2016. 

Sekali lagi pada 21 Jun 2017, kereta ini menerima anugerah sama di Stuttgart, Jerman apabila juri antarabangsa dalam kalangan wartawan permotoran memilih enjin tiga silinder petrol PureTech turbo cas 1.2 Liter (L) sebagai Enjin Tahunan Antarabangsa 2017 dalam kategori 1L hingga 1.4L. 

Begitulah hebatnya model terbaru Peugeot 208 Puretech ini kerana ia bukan sahaja tampil sebagai kenderaan kompak dengan gaya baru tetapi turut dipadankan teknologi baru yang menawarkan penjimatan minyak serta prestasi enjin mengagumkan.

Apa yang membezakan Peugeot baru ini daripada yang sebelumnya ialah enjin Puretech direka bagi kecekapan prestasi yang menjimatkan bagi bahan bakar iaitu 4.2 liter bagi setiap 100km dan menjana 205Nm tork pada 1,500rpm bersama transmisi automatik enam kelajuan.

Menurut katalog yang dibekalkan kepada penulis, teknologi Puretech ini mampu memberikan penjimatan petrol kepada pemandu sehingga perjalanan sejauh 1,190 kilometer untuk satu isian penuh 50 liter.

Malah ia mampu menawarkan penjimatan perbelanjaan petrol tahunan secara purata sebanyak RM600 berbanding model lain bagi segmen yang sama, namun bergantung pada bentuk pemanduan. 

Sebenarnya, jarang sebuah kenderaan yang memiliki enjin bersaiz kecil iaitu 1.2L dipadankan dengan teknologi auto, mula dan henti (Auto Start Stop) yang mana enjin akan berhenti secara automatik dan hidup semula selepas pedal brek dilepaskan.

Namun teknologi inilah yang banyak membantu menyumbang penjimatan kepada penggunaan bahan api. Jika dibuat pengiraan kasar, dengan tangki penuh 50 liter, model hatchback ini secara teorinya mampu bergerak sejauh 1,190km atau dari Pulau Pinang ke Singapura tanpa perlu mengisi minyak. 

Bagaimanapun, penulis tidak berkesempatan memandu uji pada jarak berkenaan disebabkan kekangan masa dan komitmen kerja tetapi percaya jarak itu mampu dicapai jika seseorang itu memandu secara berhemah serta pada kelajuan yang rendah.

Melihat pada aspek luarannya, beberapa penambahbaikan telah diberikan meliputi bahagian hadapan lampu utama dengan rekaan grafik yang berlainan serta gril yang lebih lebar dan kemasan krom lebih tebal.

Selain itu, bahagian bampar yang lebih kemas turut diserikan dengan kehadiran lampu kabus baru manakala pada bahagian belakang pula kelihatan lampu LED dengan grafik cakaran dalam ciri 3D dan rim aloi 16 inci dwitona yang dibalut tayar Michelin Energy Saver.

Melangkah ke ruang dalamannya, kereta ini memiliki susun atur kabin yang kemas mengetengahkan konsep Peugeot i-Cockpit, yang mana kemasan bercorak gentian karbon pada papan pemuka dan reka bentuk tempat duduk baru yang lebih selesa. Susun atur ini direka secara inovatif sekali gus diakui sebagai ruang dalaman tercantik ‘Most beautiful interior’ di Festival Kereta Tahunan Antarabangsa.

Tidak ketinggalan ciri lain termasuk sistem audio Arkhamys 3D dengan enam pembesar suara, sambungan digital sepenuhnya bersama USB dan Bluetooth serta kawalan suhu dwizon digital menerusi skrin sentuh pelbagai fungsi bersaiz 7 inci.

Meskipun kelihatan kecil, 208 mempunyai ruang yang cukup untuk memuatkan sehingga lima penumpang, termasuk pemandu. Memiliki kapasiti 311 liter, ruang but 208 juga antara yang terbesar dalam kategori hatchback segmen B.

Tidak dinafikan dengan enjin berkuasa kecil, bunyi ngauman enjin dapat dirasakan setiap kali pedal minyak ditekan untuk mengerahkan enjin ini bergerak pada kelajuan tinggi. Prestasi transmisi automatik enam kelajuan juga bertindak balas dengan cekap malah teknologi Quickshift membuatkan penukaran gear begitu cepat dan lancar.

Malah, pengurangan geseran komponen dalaman membuatkan setiap penukaran gear yang dilakukan hampir tidak terasa. Dengan enjin yang kompak dan lebih ringan, model 208 ini turut mengutamakan aspek keselamatan dengan dipadankan beberapa ciri baru.

Model Puretech ini menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP bagi tahap keselamatan maksimum buat pemandu dan penumpang dengan enam beg udara dengan program kestabilan elektronik ‘ESP’ dengan sistem brek anti kunci (ABS). Ia juga dilengkapi sistem pengagihan brek elektronik (EBD), bantuan kecemasan (EBA), ‘anti skid regulation’ (ASR), dan kawalan kestabilan dinamik (DSC).

Ciri-ciri keselamatan lain termasuk kekuatan keluli badan kereta, bantuan mula mendaki, tiga set ISOFIX di bahagian belakang untuk kerusi kanak-kanak, stereng kuasa elektrik dan fungsi lampu serta penggelap cermin automatik.

Selain itu, Nasim Sdn Bhd turut memperkenalkan waranti lima tahun ‘Peace of Mind’ untuk model tertentu yang dilancarkan dari tahun 2017, bermula dengan Peugeot 208 PureTech dan Peugeot 2008 SUV PureTech. Semua model Peugeot datang dengan waranti lima tahun atau 120,000km, yang mana terdahulu.

Pakej terbaharu ini juga merangkumi bantuan kerosakan 24 jam secara percuma selama tiga tahun, akses eksklusif ‘Peugeot Lounge’ di lapangan terbang Subang dan keahlian istimewa Peugeot. 

Peugeot 208 Puretech ditawarkan dengan harga atas jalan termasuk insurans sebanyak RM89,888 dengan enam pilihan warna Digital White, Virtual Blue, Nera Black, Atomic Orange, Rouge Red dan Perak Aluminium.

INFO PEUGEOT 208 PURETECH 

• Enjin: 1,199cc tiga silinder, turbo DOHC
• Transmisi: Automatik 6 kelajuan
• Kuasa maksimum: 112PS @ 5,500rpm
• Tork maksimum: 205Nm @ 1,500rpm
• Ciri keselamatan: Enam beg udara, ABS, EBD, EBA, ASR, DSC dan ESP
• Harga: RM89,888

✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2gPjgSy

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.