TSUNAMI MELAYU, WUJUD ATAU TIDAK?
APABILA Liew Chin Tong meramalkan pada 2015 yang tsunami Melayu akan berlaku pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, tidak ramai memandang serius cetusan idea tersebut.
Tsunami politik Melayu yang dimaksudkan pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu adalah peralihan undi orang Melayu kepada pembangkang kerana marah dan tidak tahan lagi dengan tekanan ekonomi serta sosial akibat kelemahan pentadbiran Najib Razak.
Bukan setakat tidak ambil peduli, malah ada yang mentertawakan ramalan tersebut. Pada 2015, ia dianggap tidak masuk akal kerana gabungan pembangkang pada masa itu Pakatan Rakyat (PR) baru sahaja berpecah selepas DAP dan PAS enggan bekerjasama lagi.
Mungkin mereka yang menolak idea itu tidak cuba memahami apa yang disampaikan ahli Parlimen Kluang tersebut. Dalam tulisannya bertajuk Domino Semenanjung pada Julai 2015, Chin Tong meletakkan asas peralihan undi Melayu di kawasan yang dikuasai Umno.
Beliau berhujah: “(Pada PRU13) Umno memenangi 88 kerusi di peringkat nasional, termasuk 14 kerusi dari Sabah dan satu dari Labuan, manakala 73 kerusi selebihnya datang dari Semenanjung Malaysia. Daripada 73 kerusi di Semenanjung, Umno dijangka menang sekurang-kurangnya 30 kerusi di kawasan kampung, yang sememangnya disediakan untuk Umno dengan campuran undi Felda, undi pos, dan kerahan jentera kerajaan.
“Daripada 39 kerusi marginal yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kurang daripada 10% dalam PRU yang lalu, 32 kerusi itu dimiliki Umno. Inilah gelanggang pertaruhan untuk PRU akan datang.”
Namun, memang tidak mudah untuk menerima hujahnya pada 2015. Apa tidaknya, tahun tersebut merupakan medan ujian getir untuk pembangkang.
Pada Februari, Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia menyebabkan PR kehilangan tokoh PAS yang mampu mengukuhkan perpaduan antara parti komponen.
Pada April, Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh selepas petisennya ditolak bersabit kes liwat sebelum itu. Pada Jun, Abdul Hadi Awang dan kumpulan ulama konservatif menguasai PAS dalam pemilihan parti. Muktamar PAS tersebut juga menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
Pada September, Mohamad Sabu dan rakan-rakan yang tewas dalam pemilihan PAS menubuhkan Amanah. Kemudian ia bergabung dengan DAP dan PKR untuk membentuk gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan (PH). Namun, ramai kurang yakin dengan gabungan itu kerana masih percaya undi Melayu berada di tangan PAS.
Sebelum 2015 berakhir, Najib selaku presiden Umno – sewaktu perhimpunan agung Umno pada Disember – mengajak PAS bersamanya bagi memperjuangkan Islam dan memperkukuhkan perpaduan Melayu.
Walaupun suasana muram untuk pembangkang berterusan pada 2016, ia turut mencatatkan beberapa peristiwa tidak dijangka. Umno memecat timbalan presidennya Muhyddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir manakala naib presiden Shafie Apdal pula digantung jawatan, dan kemudian keluar parti.
Yang terlebih dahulu keluar parti adalah Dr Mahathir Mohamad. Bukan setakat itu, beliau merupakan orang paling awal duduk sepentas bersama pimpinan PH untuk melancarkan kempen Deklarasi Rakyat yang menuntut perletakan jawatan Najib. Di pihak yang satu lagi, PAS dan Umno semakin intim.
Pada September 2016, dr Mahathir menubuhkan Bersatu. Pada ketika itu pun, masih tiada bayangan jelas tentang apa yang disebut sebagai tsunami Melayu.
Tetapi apa yang terbenak di dalam minda Liew akhirnya menampilkan wajah walaupun tidak sepenuhnya pada awal 2017. Di kala pimpinan PAS bermain mata dengan Umno dalam hal agama (tetapi masih mempertahankan skandal mega 1MDB yang melanda kepimpinan Najib), Dr Mahathir dengan gigih masuk ke pelusuk kampung untuk berkempen bagi Bersatu dan PH.
Sepanjang Ramadan dan Syawal ini, semua program dihadiri Dr Mahathir dibanjiri ribuan orang. Malah, program penerangan PH tentang skandal 1MDB kepada orang kampung yang selama ini didakwa golongan elit sebagai membuang masa turut mendapat sambutan.
Muhyiddin selaku presiden Bersatu menulis dalam rencananya “Tsunami Melayu akan ranapkan Umno” baru-baru ini yang: “Gelombang penolakan orang Melayu kepada Umno sedang berlaku. Ini kerana bagi kebanyakan orang Melayu, Umno yang dahulunya berjuang untuk membela nasib orang Melayu, kini telah berubah menjadi parti yang membela kepentingan seorang individu, iaitu presiden parti Umno.
“Ketika orang Melayu sedang dihimpit masalah bebanan hidup yang paling teruk dalam sejarah negara, pemimpin Umno lebih sibuk membela presiden mereka yang terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan daripada membela nasib orang Melayu.”
Kini, sesetengah orang yang pada mulanya mentertawakan idea tsunami Melayu kini tidak menghilai lagi. Mereka sedar tsunami politik 2008 mengejutkan BN yang hilang lima negeri dan majoriti dua pertiga Parlimen. Mereka tahu tsunami bandar 2013 menggagalkan usaha BN untuk kembali berkuasa mutlak seperti dahulu.
Pada masa yang sama, mereka mungkin senyum sinis apabila mendengar Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon dilaporkan media sebagai berkata tsunami Melayu hanyalah helah untuk menakutkan kaum Cina kerana “pembangkang bimbang semakin ramai orang Cina menyokong BN sekarang”.
Sudah pasti masih ada yang tidak yakin dengan kebangkitan tsunami Melayu ini. Ada yang berkata jumlah kehadiran ceramah tidak menjamin ia diterjemah dalam bentuk undi. Tetapi ada juga yang sedar segala projek mega serta janji hadiah kerajaan untuk rakyat juga bukan penentu undi.
Untuk kali pertama sejak reformasi 1998/99, undi Melayu bukan lagi jaminan penuh untuk BN mempertahankan semua kerusi mereka. Malah, Umno kini menjadi beban untuk PAS, khasnya apabila ahli dan penyokong parti agama itu gelisah melihat pimpinan mereka bersahabat dengan teraju kerajaan pusat yang terpalit dengan pelbagai skandal serta penyalahgunaan kuasa.
– http://ift.tt/2pAR1dR
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2uP9PsD
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment