Ara fokus genre balada
Rezeki setiap individu berbeza-beza. Ada yang baru bertapak terus popular, ada juga yang berusaha keras hingga berjaya atau akhirnya mengalah.
Penyanyi Ara Johari, 20, yang bakatnya diasah menerusi pertandingan realiti Akademi Fantasia 2016 (AF2016) akui perlu bekerja keras untuk menempatkan diri dalam industri.
Ara yang dikenali melalui lagu Warkah Untukku tetap bersyukur kerana masih punya ruang untuk berkarya. Dia tidak terlalu kecewa apabila melihat momentum kariernya bergerak perlahan.
Katanya, sejak menyertai AF2016 lagi, dia antara pelajar yang menduduki carta tercorot tetapi meluahkan rasa syukur kerana kerjayanya terus berjalan lancar.
“Kalau lihat graf kerjaya, memang apa yang saya lalui tidak sama seperti penyanyi lain yang hanya dengan satu lagu, populariti terus naik mendadak.
“Saya bercakap begini bukan untuk mempertikaikan rezeki. Jauh sekali mencemburui dan berkecil hati dengan industri.
“Sejak dari AF pun nama saya memang selalu berada tiga paling bawah. Apabila berdiri sendiri di luar pertandingan, saya hanya boleh berusaha dan bersyukur kerana penyokong masih setia dari dulu hingga sekarang.
“Saya juga bersyukur kerana menerima tawaran memeriahkan majlis bukan hanya di sekitar Semenanjung, tetapi juga Sabah dan Sarawak,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai ratusan ribu pengikut laman sosial, Ara gembira lagu Warkah Untukku sering diputarkan di radio.
Jika dinilai secara kasar, Ara akui sebenarnya ramai yang meminati lagu hasil sentuhan magis Hang Nadim. Dengan lagu itu juga, Ara layak beraksi di pentas Muzik-Muzik.
Mungkin setakat ini tidak ada kepastian dia akan ke arena yang lebih gah tetapi pencapaian itu sudah cukup menggembirakan hatinya.
Berhati-hati mengatur bicara, Ara bimbang andai apa saja yang diluahkan akan disalahertikan. Namun, dia mengakui, Anugerah Juara Lagu (AJL) adalah satu daripada sasarannya.
“Saya tidak mahu terlalu yakin tetapi sasaran saya adalah AJL. Kalau lagu Warkah Untukku tidak masuk ke peringkat akhir, perjuangan itu tidak akan hanya terhenti di situ.
“Apabila saya dimaklumkan lagu itu disenaraikan dalam Muzik Muzik pun saya sudah gembira dan banyak bersyukur. Saya bekerja keras untuk memperbaiki vokal dan gaya persembahan demi karier,” katanya.
Untuk single kedua, Ara masih memilih lagu ciptaan Hang Nadim. Dia yakin komposer yang juga penyanyi itu tahu kekuatannya sebagai penghibur.
Mengekalkan rentak sama, Ara bagaimanapun terbuka untuk menerima lagu daripada komposer lain dan tidak hanya terbatas dengan lagu genre balada.
Katanya, mengemudi kerjaya harus ada perancangan teliti, tidak semberono dan akhirnya memakan diri sendiri.
“Saya perlu tahu dan yakin dengan kehendak sendiri dalam menentukan hala tuju sebagai anak seni. Saya masih memilih lagu Hang Nadim untuk dijadikan single kedua kerana yakin dengan kepakarannya dan dia tahu ‘range’ vokal saya.
“Walaupun lagu pertama mendapat kecaman, lama-kelamaan ia dapat diterima. Saya akan menjadikan genre balada sebagai fokus utama tetapi sesekali akan menyanyikan lagu rancak untuk memberi kelainan.
“Sama seperti Stacy yang fokus pada genre rancak tetapi masih berjaya membuat pendengar meremang bulu roma apabila menyampaikan lagu balada.
“Walaupun lagu kedua masih menggunakan khidmat Hang Nadim, tidak bermakna saya tutup mata pada komposer lain. Saya sebenarnya menanti peluang menyanyikan lagu ciptaan Hael Hussaini,” katanya.
Apapun, Ara akui selepas diperdengarkan demo lagu Hang Nadim, hatinya terus terpaut. Dia yakin lagu kedua itu juga bakal hit dan diterima baik sama seperti single terdahulu.
Ara akui tetap timbul kebimbangan andai single kedua tidak mampu menandingi yang pertama. Penyanyi berasal dari Negeri Sembilan itu tidak mahu dikenali hanya dengan Warkah Untukku.
“Memang saya risau kalau dilabel penyanyi bersandar satu lagu popular atau ‘one-hit wonder’. Itulah sebabnya saya sangat berhati-hati dengan pemilihan lagu serta kualiti.
“Saya tidak mahu ketinggalan trend lagu masa kini tetapi pada waktu sama tetap dengan identiti sendiri,” katanya.
Status artis ubah diri
Jika selama ini Ara dilihat selesa dengan imej kemeja T, seluar jean dan kasut sniker, dia kini semakin bijak bergaya. Ketika sesi fotografi, dia semakin selesa bergaya di hadapan kanta kamera walaupun mulanya kekok.
Kalau dulu boleh berselipar ke pusat beli-belah, sekarang dia harus menjaga ketrampilan diri ketika berada di khalayak ramai.
Ara akui, status selebriti mengongkong dirinya tetapi dalam cara yang positif. Katanya, kalau dulu dia pernah ke pusat beli-belah hanya berselipar kerana tidak ada yang melihat.
“Tapi sekarang lain serba-serbi kena jaga. Saya tidak boleh selekeh dan perlu sentiasa nampak kemas. Dalam mana-mana majlis, saya harus memikirkan pakaian dan kasut yang sesuai. Tidak ada lagi ‘asal boleh’ dalam penampilan harian. Semua harus dijaga rapi.
“Walaupun rasa seolah-olah tidak lagi boleh memakai ikut suka hati seperti dulu, saya akur dan ia sebenarnya perubahan baik. Saya rasa dalam apa jua pekerjaan pun, semuanya akan melalui proses ini,” katanya.
Mengakui dirinya panas baran, Ara mudah melenting apabila kepenatan. Pantang ada yang tidak kena di hatinya, dia akan melepaskan amarahnya.
Bagaimanapun sejak bergelar penyanyi, sikapnya banyak berubah. Dalam apa jua keadaan, dia belajar untuk bersabar dan menangani situasi itu dengan berhemah. Dia akan tetap senyum dan memberikan layanan baik.
“Saya risau jika tiba-tiba buat muka apabila peminat datang untuk bergambar. Tetapi, saya belajar untuk menjaga hati mereka dan memenuhi permintaan. Tanpa peminat, siapalah saya. Merekalah yang banyak memberi sokongan.
“Peminat juga yang banyak meminta stesen radio putarkan lagu saya. Sebab itu saya tidak boleh fikirkan letih saya saja. Mereka juga penat menunggu berjam-jam semata-mata mahu mencuri peluang untuk bergambar bersama,” katanya.
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2uSMsPf
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!






Post a Comment