Hi! Welcome Back and Stay Tune! Teruja Rekaan Tambat Hati Anak Saudara - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Teruja Rekaan Tambat Hati Anak Saudara

PEKAN – Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan rasa teruja apabila Tenun Pahang Diraja rekaannya menjadi pilihan puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, untuk dipakai pada hari bersejarah baginda.

Tunku Azizah bertitah kesudian Tunku Tun Aminah mengenakan dua pasang baju kurung diperbuat daripada Tenun Pahang Diraja bagi majlis persandingan dan adat bersiram, menjadi lebih istimewa berikutan ikatan persaudaraan mereka.

Baginda mengakui tidak menyangka Tunku Tun Aminah memilih hasil tenunan banduan Penjara Penor di Kuantan dekat sini sebagai pilihan kerana baginda hanya berhasrat memberi kain itu sebagai hadiah perkahwinan.

“Apabila Mina (Tunku Tun Aminah) bercerita hendak berkahwin pada Ogos, saya kata nanti saya bagi kain tenun… saya tak sangka kain itu, yang saya sendiri reka, dipakai Tunku Tun Aminah untuk bersanding dan bersiram.

“Bagi saya, ini adalah satu pengiktirafan dan penghormatan kepada kami yang terlibat dengan Tenun Pahang Diraja. Saya tak sangka kain tenun ini akan dipakai oleh anak saudara saya sendiri,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah demikian semasa berucap merasmikan Projek Kraf Kampungku Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Kompleks Budaya Pulau Keladi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Yean Yoke Heng.

Tunku Tun Aminah, 31, melangsungkan perkahwinan dengan jejaka Belanda, Dennis Muhammad Abdullah, 28, pada 14 Ogos lepas di Istana Bukit Serene, Johor Bahru dengan persalinan yang dipakai baginda mendapat pujian kalangan netizen.

Selain itu, Tunku Azizah juga bertitah akan melancarkan Yayasan Tenun Pahang Diraja pada 13 Nov depan bagi memulihara dan memastikan keunikan serta keistimewaan kain tenun itu.

“Kelangsungan Tenun Pahang Diraja memerlukan kerjasama daripada semua pihak,” kata baginda yang turut menyuarakan rasa terkilan kerana terlewat menghidupkan industri kain tenun itu.

Baginda bertitah pada 2003, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (semasa itu Tengku Mahkota Pahang) pernah memintanya untuk menghidupkan industri tenun Pahang ketika membuat lawatan ke daerah ini.

Mengimbas kembali kenangan itu, Tunku Azizah bertitah hanya pada 2004 baginda kembali memikirkan cadangan itu semasa sedang memilih pakaian bagi menghadiri pelancaran buku masakan tulisan baginda, dan komuniti yang terlibat mencadangkan baginda memakai Tenun Pahang Diraja.

“Saya kata boleh dan mahu ke Pekan untuk pilih sendiri warna dan corak… apabila saya lihat, saya benar-benar jatuh cinta dengan corak tenun…saya sedih sangat kenapa selama ini saya tidak cuba untuk menghidupkan tenun Pahang,” titah baginda.

Lantaran peristiwa itu, baginda menjemput penenun di daerah ini ke Istana Abdul Aziz di Kuantan untuk berbincang kerana bimbang kraftangan itu lenyap pada masa akan datang jika tiada tindakan dilakukan.

Baginda turut meminta pertolongan Tan Sri Dr Rais Yatim (yang ketika itu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayan) dan Datuk Seri Najib Tun Razak (yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk sama-sama memajukan industri itu.

“Saya katakan yang Pahang tidak ada apa-apa. Kita tiada songket atau batik. Tapi kita ada tenun yang sudah bertapak di Pahang sejak 300 tahun dahulu dan kalau kita tidak jaga, ia akan pupus.

“Saya katakan yang ini (Pekan) adalah kawasan Najib dan Pulau Keladi adalah tempat kelahiran Tun Abdul Razak Hussein, jadi, di mana lagi untuk kita hidupkan tenun Pahang kalau bukan di sini,” kata baginda.

Pulau Keladi akhirnya dijadikan sebagai Kompleks Budaya dengan Tenun Pahang Diraja menjadi satu daripada produk utamanya.

Berhubung penggunaan nama Tengku Ampuan Besar Meriam pada Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja, Tunku Azizah bertitah empunya badan ialah seorang daripada nenda saudaranya yang banyak memartabatkan kain tenun.

“Tengku Ampuan Besar Meriam juga banyak menghantar kain tenun kepada adindanya untuk dibawa semasa berangkat ke luar negara bagi dijadikan pakaian sendiri atau cenderahati,” titah baginda. – BERNAMA

Loading...



✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2vUlcNx

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.