Baling Bom Petrol, Tukang Paip Dipenjara
PETALING JAYA: Seorang tukang paip dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat kerana membaling botol berisi minyak petrol ke sebuah garaj kereta hingga terbakar, minggu lalu.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhi hukuman itu terhadap Leong Kwang On, 30, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Leong didapati melakukan khianat dengan membaling sebuah botol berisi minyak petrol dengan niat untuk membinasakan rumah milik Cheah Chee Meng, 46, hingga menyebabkan bahagian garaj kereta rumah lelaki itu terbakar.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mokhzani menegur tertuduh bahawa perbuatannya itu jika ia tidak disedari boleh membawa musibah.Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 November lalu.
Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan USJ 6/6, Subang Jaya, di sini, pada pukul 10.55 malam, 19 November mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor jenayah khianat menggunakan api merupakan jenayah serius.
"Selain itu, tertuduh juga mempunyai rekod lampau berhubung kes dadah," katanya.Bagaimanapun, Leong yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dengan perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk mencederakan sesiapa.
"Saya melakukan perbuatan tersebut atas dorongan kawan dan bertujuan untuk menakutkan mangsa sahaja,” kata lelaki itu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang berada di rumah bersama keluarganya sebelum terdengar bunyi kaca pecah di bahagian halaman rumah berserta api dan dia segera memadamkannya.
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa mendapati seorang lelaki telah membaling sebuah botol berisi minyak petrol ke arah garaj rumahnya dan melarikan diri menggunakan kereta.
Pihak polis mengesan kereta tertuduh namun tertuduh cuba melarikan diri dan diburu oleh pihak polis sebelum dia berjaya ditangkap dan menemui sebuah botol arak berisi minyak petrol, sumbu kain merah di muncung botol dan sebotol minyak petrol di bawah tempat duduk penumpang kenderaannya. - BERNAMA
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2hRNim9
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment