Hi! Welcome Back and Stay Tune! Kupasan menarik: Mahathir dengan Anwar di mana bezanya - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Kupasan menarik: Mahathir dengan Anwar di mana bezanya

Beza Mahathir dengan Anwar
Lim Hong Siang   -   Hari ini, 2:40 pm

Operasi Lalang nampaknya masih menghantui Mahathir Mohamad, sungguhpun ulang tahun ke-30-nya telah berlalu. Bekas tahanan menuntut “mohon maaf” daripada perdana menteri merangkap menteri dalam negeri ketika itu; sementara generasi muda menuntut komitmen daripada pengerusi Pakatan Harapan agar Operasi Lalang tidak berulang.

Kedua-duanya dikecewakan, malah alasan yang diberikan Mahathir, mengeruhkan lagi situasi. Beliau mendakwa bahawa penangkapan dan penahanan 106 orang itu dilakukan atas nasihat polis, malah mempersoalkan mengapa dirinya disasarkan sedangkan lebih ramai tahanan ditangkap di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sepanjang zaman pemerintahan PM sebelumnya. Untuk mempertahankan tindakan silamnya, Mahathir berkata beliau akan mengambil keputusan yang sama, seandainya keadaan yang sama berulang.
Kenyataan ini dikemukakan dalam sesi dialog bersama anak muda di Petaling Jaya pada 21 November 2017. Jelas, Mahathir mungkin berwibawa di kalangan penjawat awam, atau berpengaruh di kawasan kampung Melayu, tetapi jalan raya dan kawasan bandar bukan gelanggangnya. Mahathir masih tidak fasih dengan bahasa golongan aktivis, malah egonya kekal singgah di tingkat 86 Menara Berkembar Petronas, sungguhpun pejabat itu telah pun diambil alih Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi).

Mengapa Anwar dimaafkan?

Padahal ia menjawab sendiri persoalan mengapa Anwar Ibrahim lebih mudah dimaafkan, berbanding Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim, bergelumang dalam Umno-BN untuk 16 tahun, sebelum dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri pada 2 September 1998. Maklumlah, mustahil seseorang itu suci dari segala dosa jikalau mampu menempah tempat kedua di tangga kuasa, lebih-lebih lagi terpaksa bertarung dalam Umno yang tidak kurang bahayanya dari lubang ular.

Namun Anwar Ibrahim dimaafkan, diterima semula oleh pembangkang dan masyarakat sivil. Sungguhpun ada suara-suara yang meragui kelayakan Anwar untuk memimpin gerakan Reformasi pada peringkat awal, tetapi rata-rata bersetuju untuk menerima, malah ada yang mendesak Anwar untuk memimpin pembangkang selepas beliau dibebaskan.

Antara faktor Anwar lebih mudah diterima berbanding Mahathir:

Pertama, Anwar telah menjalani hukuman penjara, setelah dibelasah sehingga lebam matanya. Sama ada masyarakat umum percaya atau tidak tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar, hakikatnya Anwar meringkuk di sebalik tirai besi untuk enam tahun. Kesengsaraan ini sekali gus menebus segala dosa yang dilakukannya ketika berada dalam kerajaan sepanjang 16 tahun, jika ada. Sebaliknya, ramai yang bersimpati dengan malapetaka yang menimpa Anwar dan keluarganya, kerana hukuman itu nampaknya jauh lebih berat berbanding “dosanya”.
Kedua, Anwar bukan orang nombor satu dalam kerajaan. Ini bukan bermakna Anwar tidak perlu memikul tanggungjawab ke atas segala penyelewengan ataupun keputusan kerajaan, kerana Malaysia mengamalkan sistem tanggungjawab kolektif kabinet. Namun, mereka yang memahami realiti politik tempatan, akan sedar bahawa perdana menterilah yang paling berkuasa untuk memberi kata dua dalam kebanyakan situasi. Lebih-lebih lagi corak kepimpinan Mahathir yang memperlihatkan kediktatoran, disokong dengan rekod bagaimana timbalannya dipancung, maka beban tanggungjawab orang kedua diringankan.

Ketiga, Anwar berdamai dengan pembangkang dan masyarakat sivil selepas disingkirkan dari kerajaan. Sungguhpun tidak memohon maaf secara terbuka dan terkhusus untuk peristiwa tertentu, tetapi Anwar mengambil satu sikap sedia memohon maaf jikalau dibuktikan bersalah. Anwar mengaku kesilapannya ketika berdialog bersama badan bukan kerajaan (NGO), ditambah dengan seruan untuk maju ke depan agar kesilapan silam boleh diperbetulkan.

Keempat, Anwar memberi komitmennya untuk membawa perubahan sistem, bukan sekadar menukar pemimpin mahupun parti pemerintah. Hujah dan pendirian Anwar agak konsisten selepas dibebaskan dari penjara pada 2 September 2004, dengan menekankan pendemokrasian, perjuangan menentang rasuah, kroni dan nepotisme, melawan politik perkauman dan agama sempit, menegakkan keadilan dan kebebasan. Idea-idea sebegini mampu menggarap imaginasi anak muda, dan golongan yang mendahagakan perubahan.

Keempat-empat faktor ini saling berkaitan. Apabila Anwar dibebaskan dari penjara, beliau merasakan dirinya lebih bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat. Malah Anwar membuktikan komitmennya untuk perjuangan ini – seorang datuk berusia 68 tahun tidak melarikan diri ke luar negeri ketika berdepan dengan pemenjaraan kali kedua pada tahun 2015.

Jikalau dibandingkan Mahathir dengan Anwar dalam empat aspek di atas, maka kita akan faham mengapa Mahathir menerima layanan yang berbeza berbanding Anwar. Tiada hukuman yang pernah ditanggung Mahathir untuk menebus dosanya; Mahathir bekas orang nombor satu dalam kerajaan; Mahathir tidak mengakui kesilapannya; malah Mahathir tidak mempunyai idea yang segar untuk Malaysia pada masa depan, apatah lagi komitmen untuk perubahan sistem.

Beban Mahathir

Saya bukan bermaksud Mahathir harus dipenjarakan pada usia 92 tahun untuk menembus dosa silamnya. Malah saya menghormati hak dan pendiriannya untuk membela dirinya. Cuma, seandainya HARAPAN ingin menonjolkan Mahathir sebagai ikon untuk meraih sokongan pengundi Malaysia dalam PRU14, maka rekod pemerintahan dahulu dan sikap Mahathir sekarang dijangka menjadi beban kepada pembangkang, khususnya ketika berdepan dengan anak muda dan aktivis.

HARAPAN perlu sedar, mustahil kerajaan Najib-Umno-BN ditumbangkan dengan hanya satu skandal bergelar 1MDB. Untuk kebanyakan orang, skandal 1MDB tidak lain daripada skandal PKFZ yang lebih besar angkanya. Hakikatnya, ramai rakyat tidak mengerti konsep “bilion”, kerana “bilion” tidak pernah wujud dalam kehidupan harian mereka yang berpusu-pusu ke stesen minyak pada petang setiap Rabu, malah mereka mungkin tidak terbilang berapa sifar yang ada dalam angka 2.6 bilion.
Apa yang diketahui, 1MDB adalah satu lagi projek untuk menyamun wang rakyat. Namun demikian, bukankah itu juga berlaku pada zaman pemerintahan Mahathir, malah pembangkang veteran seperti Lim Kit Siang pernah memetik buku Malaysian Maverick oleh Barry Wain untuk menyenaraikan skandal-skandal pada zaman pemerintahan Mahathir?

Maka tidak hairan jikalau pembangkang semakin terikat tangannya sejak kebelakangan ini, sungguhpun berdepan dengan rejim Umno-BN yang paling lemah dalam sejarahnya. Apabila dikritik 1MDB, dijawab BMF dan FOREX; apabila dikritik Mohamed Apandi Ali, dibalas nama Salleh Abbas; apabila disebut nama Riza Aziz, dijawab dengan nama Mirzan Mahathir; apabila dikritik pencabulan demokrasi dan kebebasan media, dibalas pula dengan Operasi Lalang.

Kritikan-kritikan ini pada asalnya panah pembangkang yang dilepaskan kepada pemerintah, kini disimpan kerana takut terkena susuk Mahathir yang menerajui di barisan hadapan pembangkang. Keengganan Mahathir memohon maaf menyebabkan beban-beban ini terus mengheret langkah pembangkang. Memadailah seandainya persepsi “dua kali lima” dipahat di kalangan pengundi yang menolak Umno-BN, ia cukup untuk melunturkan semangat untuk memenangkan HARAPAN di Putrajaya.

Jikalau dikupas lagi, cabaran yang lebih menguji hubungan antara Mahathir dengan HARAPAN adalah, sanggupkah mereka menamatkan Mahathirisme? Isu ini cuba dielakkan dengan janji-janji populis seperti mansuhkan GST, yang dipersetujui bersama. Namun, lapisan masyarakat yang lebih tinggi kesedaran politiknya, menuntut agar pembangkang mengemukakan dasar yang menyeluruh, perancangan yang rapi untuk masa depan Malaysia.
Misalnya, Mahathir pernah menyatakan bahawa Proton 2.0 akan dicipta seandainya HARAPAN memerintah, sedangkan untuk beberapa tahun kebelakangan, sistem pengangkutan awam menjadi tumpuan masyarakat, kerana menyedari bahawa penghasilan dan pembelian kereta peribadi bukan jawapan kepada masa depan Malaysia. Jadi, apakah parti komponen HARAPAN yang lain bersetuju dengan Mahathir?

Ringkasnya, apakah Mahathirisme akan ditamatkan jikalau HARAPAN menawan Putrajaya? Persoalan ini penting di kalangan pendukung demokrasi kerana mustahil Malaysia baru dilahirkan, seandainya Mahathirisme tidak dibunuh. Lebih baik Mahathir menamatkan Mahathirisme dengan tangannya sendiri, atau ditamatkan hayat politiknya oleh Najib menggunakan Mahathirisme.

* LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?


✍ Sumber Pautan : ☕ mountdweller88

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2A8AVuq

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.