[Eksklusif] Tak Payah Beli Satu, 'Bundle' MC Lebih Senang!
Jika anda ingin menggunakan MC palsu, impaknya bukanlah sedikit. ( Gambar: Timesunion)
Di saat situasi yang penuh mencabar sekarang, mungkin ramai antara kita yang kerap sakit. Sakit kepala, migrain, demam dan banyak lagi punca yang menyebabkan kita tidak mampu untuk bekerja.
Namun, ada juga golongan yang menjadikan sakit ini sebagai alasan untuk ponteng ke pejabat. Jika terdesak, ada yang cuba berlakon depan doktor untuk mendapatkan sijil cuti sakit (MC).
Bagi sesetengah individu, pastinya jalan pintas adalah pilihan terbaik. Contoh yang terbaik adalah menggunakan MC Palsu.
Lihat saja berita dilaporkan media, ada saja tangkapan terhadap individu atau sindiket yang menjual MC palsu.
Malah, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan tiga peratus daripada penjawat awam memalsukan sijil cuti sakit.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) juga menganggarkan negara ini mengalami kerugian sehingga RM8 bilion setahun akibat sijil perubatan palsu.
Persoalannya, pernah anda terfikir untuk menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu? Jika ya, mungkin anda perlu tahu kesan dan impak terhadap anda sekiranya ‘kantoi’ oleh majikan.
Ikuti pendedahan Rojak Daily Skop! membongkar isu MC palsu yang masih lagi berleluasa dan paling menghairankan, ia mudah diperolehi.
HANYA DI MEDIA SOSIAL
Sekitar bulan lalu, seorang individu menghantar pesanan mesej menerusi Facebook menyatakan dia menjual MC Palsu daripada hospital kerajaan terpilih.
Menariknya. MC palsu ini tidak hanya dijual dalam jumlah yang sedikit sebaliknya turut dijual dalam bentuk ‘bundle’.
Satu buku dijual pada harga RM200 dan anda akan mendapat sebanyak 50 helai keseluruhannya. Jika anda membeli sehelai MC, harga dijual adalah RM20 sahaja. Lebih murah jika beli satu buku sebab boleh guna untuk 50 hari!
Menariknya terdapat promosi bagi pembelian dua buku MC palsu yang dijual dengan harga RM300 saja. Anda pun boleh jimat sehingga RM100! Wah, dah macam 'shopping online'.
Apa yang lebih mengejutkan, mesej terbabit turut menyenaraikan hospital yang boleh anda pilih mengikut kawasan yang anda diami. Anda mungkin tidak percaya kerana terdapat lapan hospital yang disenaraikan.
Boleh percaya ke? Jangan bimbang kerana MC yang dijual didakwa mempunyai pengesahan hospital termasuk nama doktor, jawatan dan nombor siri.
Ini antara hospital berkenaan:
- Hospital Selayang
- Hospital Klang
- Hospital Kuala Lumpur (HKL)
- Hospital Johor Bahru
- Hospital Sungai Buloh
- Hospital Kajang
- Hospital Serdang
- Hospital Ipoh
MAKLUM BALAS HKL
Bagi mengenal pasti maklumat disertakan individu ini, Rojak Daily Skop! mendapatkan penjelasan daripada HKL.
Menurut jurucakap Unit Perhubungan Awam HKL, ia bukan pertama kali hospital terbabit menerima kes berkenaan. Malah, HKL juga turut melakukan penyamaran bagi menjejaki penjual MC palsu ini.
Menurut jurucakap terbabit, ketulenan MC hanya boleh disahkan menerusi nombor siri pada surat tersebut! MC pula hanya diberikan kepada pesakit mengikut justifikasi doktor yang merawat.
“Jika didapati palsu, Pegawai Perubatan yang terbabit (dengan merujuk kepada cop nama Pegawai Perubatan di sijil berkenaan) akan membuat laporan polis mengenai perkara ini,” katanya.
DIKENAKAN TINDAKAN
Itu respon HKL, bagaimana pula tindakan yang diambil kepada pekerja yang menggunakan MC Palsu?
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sijil cuti sakit yang boleh diterima pakai hanyalah yang dikeluarkan oleh dua individu ini.
Pengamal perubatan berdaftar dan pengamal pergigian berdaftar selaras dengan Seksyen 27, Akta Perubatan 1971 [Akta 50] dan Seksyen 26, Akta Pergigian 1971 [Akta 51].
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan tatatertib seperti dibuang kerja juga boleh diambil sekiranya pekerja menggunakan MC palsu.
KKM menyarankan majikan, ketua jabatan atau orang perseorangan yang mengesyaki sijil cuti sakit yang dikemukakan diragui kesahihannya, agar membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Sekiranya dilaporkan kepada pihak polis apakah yang akan berlaku?
TUJUH TAHUN PENJARA!
Pada tahu lalu tiga kakitangan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dihadapkan ke Mahkamah Seremban atas pertuduhan menggunakan sijil sakit palsu sejak dua tahun lalu iaitu pada tahun 2014 dan 2015.
Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan apabila secara curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda!
Jadi, selepas melihat impak dan hukuman yang boleh berlaku terhadap anda, adakah masih mahu menggunakan MC palsu? Tepuk dada tanya diri sendiri!
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2jWWYQD
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment