Jalin Lebih Banyak Kerjasama Dengan Universiti Antarabangsa - Idris
PUTRAJAYA: Universiti tempatan digalak menjalin lebih banyak kerjasama dengan universiti antarabangsa untuk penawaran program latihan dan pendidikan transnasional.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ia bagi menzahirkan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
Jalinan kerjasama dan kolaborasi strategik antara kedua-dua entiti itu, katanya, diyakini mampu menjadikan Malaysia hab pendidikan bukan saja di rantau ini, malah diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Bercakap pada sidang media selepas sesi ramah mesra dengan pelajar antarabangsa di Heriot-Watt University, di sini hari ini, beliau berkata, universiti tempatan boleh menjalin kerjasama dengan Heriot-Watt University.
Katanya, kerjasama berkenaan boleh dalam bentuk menempatkan pelajar universiti tempatan di universiti antarabangsa berkenaan selama tempoh tertentu.
"Heriot-Watt University baru-baru ini diiktiraf Times and Sunday Times Good University Guide 2018 sebagai universiti antarabangsa terbaik. Ini mungkin permulaan baik ke arah lebih banyak jalinan kerjasama dengan universiti tempatan.
"Saya sudah bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Provos Heriot-Watt Universiti Malaysia, Prof Mushtak Al Atabi berhubung perkara ini dan beliau positif mengenainya serta sedia berbincang lebih lanjut," katanya.
Buat permulaan, katanya, mungkin boleh dimulakan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai universiti tempatan pertama menjalin kerjasama dengan Heriot-Watt University.
"Sebagai contoh kita boleh tempatkan pelajar universiti tempatan untuk belajar di universiti ini dalam tempoh setahun bagi mendapat pendedahan lebih banyak mengenai suasana belajar di universiti antarabangsa.
"Selain itu ia juga boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.
Heriot-Watt University yang berpangkalan di United Kingdom mempunyai lebih 30,000 pelajar yang kini menuntut di lima kampusnya termasuk dua kampus antarabangsa, masing-masing di Dubai dan Malaysia.
Sementara itu, Idris berkata, setiap tahun kira-kira 70,000 permohonan visa pelajar antarabangsa diuruskan Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS).
"Ketika ini, pengeluaran visa pelajar asing sudah dipermudah dan dipercepatkan. Dari sebulan (proses visa) sebelum ini dipendekkan kepada 14 hari, malah sejak Januari lalu hanya enam hari untuk kelulusan Jabatan Imigresen.
"Kira-kira 134,000 pelajar antarabangsa kini sedang belajar di universiti awam (UA) dan swasta seluruh negara tahun ini," katanya.
EMGS, syarikat milik penuh Kementerian Pendidikan Tinggi adalah pusat sehenti bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal pelajar antarabangsa termasuk pemprosesan permohonan pas pelajar.
Proses saringan permohonan untuk pas pelajar dilakukan EMGS dengan kerjasama Jabatan Imigresen, masing-masing bagi saringan akademik dan saringan keselamatan. - BHOnline
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2Af5vW5
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment