Pelajar perubatan gadai impian kerana tidak cukup wang
PETALING JAYA: Enam bulan berhempas-pulas mencari jalan untuk membayar baki pengajian sebanyak RM85,000, penuntut perubatan di sebuah universiti di Indonesia akhirnya bertemu jalan keluar selepas dibantu sebuah surat khabar Tamil tempatan.
Parthiban Sathia Seelan, 27 terpaksa melupakan hasratnya untuk menjadi doktor dan mengorbankan lima setengah tahun pengajiannya sekiranya dia tidak melangsaikan yuran pengajian yang tertunggak itu dalam jangka masa tujuh hari lagi.
Bagaimanapun, usahanya hampir menemui penyelesaian apabila dia dijanji dibantu oleh akhbar harian Tamil yang masih baharu di Malaysia, Thina Thanti yang mahu menghebahkan masalahnya supaya didengari masyarakat dan pihak politik.
“Selama enam bulan saya telah menemui beberapa orang termasuk ahli politik dan menulis surat kepada Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam, namun tidak mendapat sebarang respon. Sehingga pada satu masa saya fikir tidak lagi boleh menjadi beban kepada keluarga dan memilih untuk bekerja secara separuh masa di sebuah pusat panggilan menggunakan kelayakan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),” katanya.
Anak kepada pemandu lori dan penjual bunga ini mahu menjadi doktor sejak kecil lagi dan selepas diterima masuk ke Universiti Sumatera Utara, Indonesia dia percaya impiannya bakal tercapai.
Segalanya hampir rebah apabila dia menghadapi kesukaran kewangan pada tahun terakhir pengajian dan ekoran itu berhadapan risiko tidak boleh menerima sijil penuh pengajian.
“Selama saya belajar, saya usahakan pelbagai pinjaman, bantuan kewangan dan sebagainya. Setiap tahun saya akan memohon dana. Tetapi pada tahun terakhir saya gagal peroleh bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya yang akui jumlah keseluruhan pengajian sepanjang lima setengah tahun ialah RM240,000.
Apapun, Parthiban kini menarik sedikit nafas lega selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai termasuk ahli politik dan individu berpengaruh yang sedia membantunya dengan menderma wang.
“Setakat ini (pagi Isnin) sejumlah RM16,000 hingga RM17,000 telah dikumpul. Saya mendapat tahu ramai yang sedang menderma dan saya sangat terharu dengan bantuan ini. Saya kembali yakin boleh menjadi doktor,” katanya kepada FMT.
Parthiban boleh menuntut semua sijil selepas membuat bayaran penuh (RM85,000) dan kemudian mendaftar di Malaysia untuk penempatan doktor pelatih.
Sementara itu, Parthiban juga mendedahkan ramai pelajar sepertinya yang menghadapi masalah yang sama apabila tersekat bantuan kewangan di separuh jalan.
“Saya juga bantu junior saya mendapatkan dana atau pinjaman sepanjang mereka belajar. Tetapi ramai yang hadapi masalah pengajian tergendala seperti saya apabila gagal dapat bantuan kewangan dan keluarga juga tidak dapat tanggung.
“Oleh kerana kami dari keluarga susah tetapi bercita-cita tinggi, kami terpaksa bersedia dengan risiko seperti ini. Bukan semua yang bernasib baik,” katanya.
Sebarang sumbangan kepada Parthiban boleh dibuat terus ke akaun CIMB miliknya, Parthiban Sathia Seelan, nombor akaun, 7024392629 atau dengan menghubungi terus di talian 010-264 2157.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/23RLOsQ
Post a Comment