Wisma Putra gagal runding bebaskan dua nelayan
KUALA LUMPUR: Nelayan Semenanjung Malaysia kecewa dengan Wisma Putra kerana masih gagal menyelesaikan tuntutan pembebasan dua nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini.
Wisma Putra juga didesak berunding dengan pemerintah Indonesia untuk memulangkan kembali tiga bot yang disita bulan lalu dan dua lagi bot yang disita, awal bulan ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Lee Aik Leong, berkata pihaknya sukar untuk menerima tindakan pihak berkuasa Indonesia menahan nelayan tempatan dan menyita bot mereka, sedangkan mereka menangkap ikan di perairan negara.
Dakwanya, pihak berkuasa Indonesia menceroboh masuk ke perairan negara dan menunda bot nelayan tempatan berkenaan ke perairan republik itu, sebelum menahan nelayan dan menyita bot terbabit.
“Sudah dua kali pihak Indonesia berbuat demikian, yang mana pertama kali pada 3 Mac lalu dan yang terbaru pada 10 April lalu.
“Kejadian berulang ini sukar diterima, menjadikan lima bot sudah disita mereka. Difahamkan semua bot dan dua nelayan itu kini ditahan di Batam, Indonesia,” katanya.
Aik Leong berkata, pihaknya sudah beberapa kali cuba mendapatkan maklum balas Wisma Putra berhubung perkara berkenaan, namun tiada respon.
Katanya, Kedutaan Besar Republik Indonesia juga enggan memberi maklum balas terhadap tuntutan untuk membebaskan nelayan dan memulangkan bot yang disita itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengetuai perhimpunan aman mendesak perkara itu diselesaikan di Kedutaan Besar Republik Indonesia, di sini, hari ini.
Kira-kira 500 nelayan dari Sekinchan, Pulau Ketam, Pantai Remis, Hutan Melintang dan Pontian menyertai perhimpunan aman berkenaan. Perhimpunan itu turut disertai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.
Perhimpunan berkenaan bermula tepat pada jam 2.45 petang hari ini dan berlangsung selama satu jam sebelum Jamal memasuki perkarangan kedutaan negara jiran itu bagi menyerahkan memorandum bantahan.
Perhimpunan berkenaan adalah yang kali kedua dibuat nelayan tempatan selepas kali pertama diadakan pada 13 Mac lalu atas tuntutan yang sama.
Difahamkan, anak lelaki kepada salah seorang nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia itu kini dibela oleh Jamal sebagai anak angkat pada bulan lalu.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1VcYSHL
Post a Comment