Nazri ‘Janji’ Tolong Dr M Jatuhkan PM Jika Ikut Undang-Undang
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berjanji akan memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat segala yang diperlukan untuk menjatuhkan perdana menteri mengikut undang-undang.
“Saya beri jaminan bagi pihak perdana menteri Malaysia, apa juga permintaan Mahathir yang legit, ikut undang-undang nak menjatuhkan PM, kita (kerajaan) akan beri. Parti kita dah beri. Nak apa lagi?,
“Esok kalau Mahathir nak buat demonstrasi jalanan, tolong beritahu saya. Saya akan meyakinkan pihak polis untuk beri peluang kepadanya berdemonstrasi, walaupun masa dia jadi PM dulu, dia tak pernah pun bagi kita buat sedemikian,” sindir Mohamed Nazri, memetik laporan portal BNBBC.
Baru-baru ini, Mahathir menjadi anggota terawal mendaftar sebagai anggota seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ditubuhkan oleh beliau bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN pada pilihan raya umum ke-14.
Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 September dilapor sudah meluluskan permohonan BERSATU yang ditubuhkan selepas beberapa tokoh pemimpin Umno dan anggota parti itu tidak sependapat dengan cara Najib menangani pelbagai isu semasa dalam negara, termasuk 1MDB.
Pada masa yang sama, Mohamed Nazri berkata, tandatangan 1.4 juta yang didakwa diperolehi kempen Selamatkan Malaysia sebenarnya tidak membawa sebarang makna.
Ini bermakna tindakan Mahathir berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk menyerahkan deklarasi tersebut hanyalah sia-sia.
“Jelas menampakkan dendam kesumat yang begitu mendalam sekali terhadap perdana menteri kita sehinggakan dia sanggup melakukan satu perkara yang sebenarnya tidak boleh buat apa-apa pun.
“Tapi saya fahamlah, Yang di-Pertuan Agong mungkin kenal Dr Mahathir lama, mungkin cuma ajak minum teh.
“Siapa Mahathir nak memendekkan kuasa yang rakyat beri menerusi pilihan raya kepada Datuk Najib untuk jadi perdana menteri?” soalnya.
Pada minggu lalu, Mahathir mengadap Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam untuk menyerahkan memorandum ‘Selamatkan Malaysia’.
Salah seorang orang kanannya, Datuk Khairuddin Abu Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah.
“Ia adalah satu pertemuan empat mata antara kedua-duanya. Mahathir tiba kira-kira pukul 4.30 petang dan mesyuarat itu berlangsung kira-kira satu jam lima belas minit,” kata Khairuddin.
Deklarasi itu merupakan usaha oleh bekas pemimpin Umno, pembangkang dan NGO untuk menggesa pembaharuan institusi dan menyingkirkan Najib daripada jawatan perdana menteri.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2cBkek0
Post a Comment