Tiada Soalan Dikemukakan Persatuan Hokkien
Pas mendakwa tiada sebarang soalan dikemukakan Persekutuan Persatuan Hokkien ketika sesi pertemuan berhubung pindaan RUU 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 2016, semalam.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sewajarnya pihak persatuan itu mengambil kesempatan sepenuhnya untuk mengemukakan pandangan serta berdialog bagi memahami kedudukan sebenar isu Pindaan Akta 355.
“Namun malangnya, mereka tidak membuka ruang dialog dan tiada sebarang pertanyaan diajukan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedangkan Presiden Pas memberi penerangan dengan bahasa yang sangat mudah dan terus kepada subjek perbincangan secara jelas,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien, Tan Sri Khoo Chai Kaa dilaporkan mengakui tidak memahami ucapan Abdul Hadi pada sesi penerangan itu dan akan meneruskan kempen sejuta tandatangan bagi membantah pindaan tersebut seperti yang dirancang sebelum ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Hadi bersemuka dengan Persatuan Hokkien Malaysia]
Namun menurut Nasrudin, Pas tidak akan pernah penat untuk terus membuka ruang bagi sesi dialog serta penerangan kepada persatuan itu sehingga mereka benar-benar memahami isu pindaan Akta 355 itu.
“Pas senantiasa bersedia dan bersikap terbuka untuk terus memberi penerangan dan berdialog dengan semua pihak. Jika Persekutuan Persatuan Hokkien merasakan tidak cukup dan tidak faham dengan sekali pertemuan dan penerangan, maka kami tidak keberatan untuk terus memberi kefahaman kepada mereka mengenai Islam amnya dan pindaan Akta 355 ini khasnya.
“Selagi tidak faham maka marilah berbincang dan berdialog. Janganlah bertindak dan membuat penentangan terhadap Islam mahupun pindaan Akta 355 tanpa memahami apakah kedudukannya yang sebenar kerana ia merendahkan moral dan peribadi,” katanya.
Bacaan kedua bagi RUU Persendirian itu dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas Abdul Hadi berjaya membawanya untuk bacaan pertama, Mei lalu.
Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syar’ie.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2cBgLyJ
Post a Comment