Ulasan: Gravity Rush 2 (PS4)
Dalam banyak-banyak permainan yang diumumkan untuk konsol-konsol Sony, salah satu permainan yang unik adalah siri Gravity Rush. Permainan ini membolehkan pengguna memanipulasi graviti bagi melakukan pelbagai perkara serta aksi, dan memberikan pengalaman yang lain berbanding permainan yang mempunyai aksi terbang yang lain. Awal Januari 2017 pihak Sony telah mengumumkan sambungan untuk siri ini yang bertajuk Gravity Rush 2 yang dibangunkan untuk PlayStation 4.
Konsep Permainan
Dalam permainan ini, istilah ‘terbang’ sebenarnya kurang tepat kerana pemain memanipulasi graviti dan lebih tepatnya watak yang dikendalikan pemain akan ‘jatuh’ kearah graviti yang difokuskan. Jika Superman perlu fokus kuasanya untuk terbang, atau kapal terbang perlu bergerak laju sebelum mencapai tahap aerodinamik untuk terbang, lain gayanya untuk Kat, watak yang dikendalikan pemain yang turut digelar sebagai Puteri Graviti.
Bagi mengawal Kat, pemain perlu menekan butang R1 bagi mengapung untuk seketika, kemudian menggunakan tombol analog R bagi mengalihkan pandangan pusat graviti ke langit, dan menekan butang R1 sekali lagi untuk menjadikan langit tersebut sebagai pusat graviti. Kat akan ‘jatuh’ kearah pusat graviti tersebut, sekaligus menjadikan beliau ‘terbang’. Bukan sekadar itu, pemain juga boleh menjadikan pusat graviti pada mana-mana sahaja permukaan, seperti di dinding, dibawah pulau, atau dibawah bumbung bangunan.
Pemain bukannya terbang, sebaliknya jatuh kearah pusat graviti yang telah pemain tentukan.
Dibawah konsep ini, pergerakan Kat semestinya tidak sama dengan adiwira-adiwira lain yang terbang kerana puteri ini memanipulasi graviti. Kat juga boleh mengapungkan objek-objek lain, dan membaling objek tersebut ke pusat graviti atau musuh. Penggunaan tombol analog R disini adalah penting bagi memusatkan graviti untuk arah ‘jatuhan’ dan juga dalam menyerang musuh. Bagi menyerang musuh, pemain perlu mensasarkan tombol analog kearah musuh dan menekan butang petak bagi melancarkan Gravity Kick.
Namun perlu diingatkan kuasa Kat dalam menukar pusat graviti adalah terhad, dimana kuasa Kat akan kehabisan dengan penggunaan berterusan dan terdapat sela masa beberapa saat sebelum kuasa Kat kembali penuh. Seperti contoh jika Kat berterusan berjalan pada dinding atau sedang ‘terbang’ kuasa tersebut akan habis dan lalu Kat jatuh mengikut arah graviti asal. Sewaktu Kat kehabisan kuasa, Kat juga tidak boleh menyerang musuh namun ini hanyalah untuk seketika waktu. Kuasa dan nyawa Kat juga boleh dicaj menerusi objek-objek tertentu yang berbeza warnanya, seperti kristal hijau untuk nyawa, bintang hijau untuk kuasa graviti.
Sepanjang permainan ini, tahap nyawa dan tahap kekuasaan graviti Kat bergantung kepada misi-misi yang telah dilaksanakan. Terdapat banyak misi-misi sampingan yang perlu dihabiskan pemain bagi membolehkan Kat mempunyai nyawa dan kuota kuasa graviti yang banyak sebelum berlawan dengan bos-bos pada akhir misi.
Tiga Gravity Style Pada Gravity Rush 2
Untuk Gravity Rush 2, beberapa Gravity Style baru telah diperkenalkan sekaligus memberikan variasi terhadap aksi dan juga kuasa yang boleh dilakukan. Pada Normal Style, ia adalah kuasa asal Kat dalam memanipulasi graviti, sama seperti Gravity Rush yang pertama. Serangan tendangan yang normal berasaskan arah graviti dan juga balingan objek yang juga normal. Namun dalam Gravity Rush 2, pengguna boleh menghasilkan tendangan sehingga sebelas kali berturut-turut sementara menambah bilangan objek yang boleh ‘dipegang’ dalam lingkungan kuasa graviti.
Perbezaan antara tiga Gravity Style ditunjukkan menerusi kewujudan aksesori pada anggota badan Kat dan juga pada suara yang dikeluarkan menerusi pembesar suara DualShock 4. Pada Normal Style, tidak terdapat sebarang aksesori, akan tetapi pada Lunar Style akan terdapat aksesori berwarna biru cair pada pergelangan tangan, pergelangan kaki dan bahu Kat. Pada Jupiter Style, aksesorinya kelihatan tebal dan ‘berat’ serta berwarna oren.
Apabila pemain menukar kepada Lunar Style, ia membuatkan badan Kat lebih ‘ringan’ dan membolehkan Kat melompat lebih jauh. Pada stail sebegini, Kat tidak perlu mengapungkan diri dan menggunakan kuasa graviti sebaliknya boleh melompat dengan jauh dari pulau/bandar ke bandar terapung yang lain. Dengan membuatkan badan Kat lebih ‘ringan’, pemain juga boleh menjejak objek-objek yang mempunyai jirim yang tidak padat, seperti pelepah daun dan juga air.
Pada Lunar Style, tendangan Gravity Kick akan berubah menjadi Wormhole Kick, membolehkan Kat terus ke hadapan musuh untuk menendangnya. Dengan serangan sebegini, pemain juga boleh mengelakkan sebarang serangan yang menghala kearah Kat, memandangkan Kat akan bergerak dengan sangat laju, terus kehadapan musuh.
Jika anda peminat siri animasi Bleach, ia seumpama anda menggunakan teknik Shinigami yang digelar ‘Shunpo’. Jika anda bukan peminat anime, maka kesan pergerakan filem Jumper adalah menghampiri kesan Wormhole Kick. Ia sangat mengujakan. Saya sendiri lebih kerap menggunakan Lunar Style kerana serangan sebegini. Balingan objek pada Lunar Style pula akan menghentam musuh berkali-kali untuk seketika.
Bagi Jupiter Style, ia menjadikan pergerakan Kat lebih berat dan serangannya lebih bertenaga. Dengan stail ini, pergerakannya juga menjadi sedikit perlahan, dan Kat tidak boleh melompat dengan lebih tinggi. Memandangkan Kat menjadi lebih berat, pemain juga boleh menghancurkan objek-objek seperti kotak, meja, pasar malam, semudah berjalan kearahnya.
Gaya serangannya juga berubah, dan setiap tendangan gravitinya mempunyai kesan terhadap persekitaran (splash damage). Dengan cara ini, pemain juga mudah untuk mendapatkan gem, menyerang satu musuh dan turut mencederakan musuh berhampirannya. Balingan objek pada Jupiter Style seolah-olah menghasilkan Bola Jiwa dalam Dragonball, dan lebih kuat namun untuk satu musuh sahaja.
Sokongan Atas Talian
Selain dari tiga stail graviti yang diperkenalkan, Gravity Rush 2 turut memperkenalkan pelbagai perkara baru yang turut memanfaatkan fungsi dan kebolehan PlayStation 4. Ia turut dibangunkan dengan sokongan atas talian, dan pemain bukan sekadar dapat mencabar antara satu sama lain, bahkan menyertai aktiviti-aktiviti tertentu yang boleh membantu pemain menaiktaraf kebolehan Kat.
Setiap cabaran kini mempunyai perbandingan dan lebih jelas dipaparkan berbanding pada versi terdahulu. Pemain boleh melihat siapa yang mencabar dan juga aksi mereka dalam cabaran tersebut. Selain dari cabaran-cabaran yang biasanya berunsurkan Time Attack atau perlumbaan, terdapat juga cabaran yang baru diperkenalkan iaitu Treasure Hunt.
Menerusi Treasure Hunt, pemain akan menerima gambar lokasi harta karun dari pemain lain seluruh dunia. Pemain perlulah mencari harta karun berdasarkan gambar yang diterima. Apabila pemain menjumpai harta karun tersebut, pemain perlu merakam gambar, dan menghantarkannya kepada pemain lain untuk mencarinya. Apabila pemain menjumpai harta karun, dan menghantarkannya, kedua-dua tugas ini akan diberikan Dusty Coins yang turut boleh digunakan untuk mendapatkan barangan tertentu, seperti hiasan di bilik Kat atau baju-baju tertentu yang boleh digunakan si Puteri Graviti ini.
Satu lagi sokongan atas talian adalah pemain boleh ‘melihat’ pemain lain sekiranya pemain lain mengongsikan gambar Selfie yang dirakam mereka didalam permainan. Aktiviti ini juga memberikan Dusty Coins kepada pemain. Pemain juga boleh menjumpai mayat pemain lain sewaktu menjalankan aktiviti Mining, malah boleh mengutip Talisman yang telah dilombong didalam aktiviti Mining tersebut.
Talisman
Talisman boleh diterjemahkan sebagai ‘tangkal’, dimana dengan menggunakan Talisman tertentu, Kat boleh menaikkan kebolehannya. Talisman boleh diperoleh menerusi aktiviti Mining yang juga baru diperkenalkan dalam permainan ini.
Terdapat tiga Talisman yang boleh digunakan pemain pada satu masa dengan maksimum 9 ciri-ciri dalam membantu kebolehan Kat. Bentuk Talisman juga mewakili Gravity Style, dan sesetengah ciri-ciri kebolehan tertakluk sama ada Kat sedang dalam stail yang tertentu. Berdasarkan ciri dibawah, saya telah memilih Talisman yang mampu mengecas kuasa graviti Kat sepantas mungkin, jarak serangan Wormhole Kick yang jauh, dan juga penjimatan penggunaan kuasa graviti.
Talisman juga boleh digabungkan, dihancurkan untuk menghasilkan Talisman yang baru atau dinaiktaraf. Boleh dikatakan fungsi Talisman adalah sama dengan fungsi ‘Crafting/Socket/Gem’ yang popular pada permainan RPG seperti Diablo ataupun Ragnarok. Bezanya terdapat pada nama dan warna, dan Socketing/Gem pada Diablo adalah lebih mudah difahami. Seperti contoh batu Emerald pada senjata akan menaikkan kadar kritikal serangan tersebut berhasil, dan pada Talisman di Gravity Rush 2, hanya sesetengah Talisman yang mempunyai nama, dan Talisman yang biasa tidak mempunyai nama, dibezakan menerusi warna.
Mining
Mining pula merupakan aktiviti yang boleh disertai pemain dalam mencari lebih banyak Talisman dan juga Gem. Memandangkan pemain perlu mengumpulkan lebih banyak Gem untuk menaiktaraf kebolehan Kat, aktiviti Mining ini adalah sangat sesuai. Saya sendiri kerap menghabiskan masa untuk pergi melombong mencari gem dan Talisman yang sesuai. Didalam aktiviti Mining, terdapat Delvool Trench Mine yang boleh diakses apabila terdapatnya Gravity Storm.
Delvool Trench Mine merupakan tahap dimana pemain boleh melombong Talisman namun perlu melaksanakan tugas tertentu bagi melombong dengan lebih dalam. Tugas-tugas seperti ‘rakam gambar 5 musuh berlainan’, ‘kalahkan 5 musuh menerusi satu serangan’,’bunuh semua musuh menggunakan stail graviti yang berbeza’ boleh dikatakan satu aktiviti yang menarik dan sangat mencabar. Pemain yang mati di mana-mana tahap dalam Delvool Trench Mine perlu bermula dari tahap pertama, dan Talisman yang diperoleh akan tertinggal, dan boleh diperoleh oleh pemain lain.
Rumusan
Saya mengambil masa hampir 24 jam untuk menghabiskan keseluruhan jalan cerita permainan ini, dan telah mengabaikan beberapa misi-misi remeh (side mission). Perlu diingatkan misi-misi remeh juga dapat membantu pemain dalam menambah nyawa dan kuasa Kat. Dunia Gravity Rush 2 adalah jauh lebih luas dari siri pertama, namun dari segi bilangan misi untuk jalan cerita utama permaian, saya merasakan ia agak sedikit untuk dunia yang sebesar ini. Mungkin ia juga kerana saya cuba untuk menghabiskan permainan secepat yang mungkin, jadi saya merasakan ia tidak ‘banyak’.
Kebanyakan misi juga kadangkala bersifat diulang-ulang, dan pemain boleh menjadi cepat bosan. Misi seperti menangkap gambar, mengikut musuh secara senyap, menyelinap sambil membawa watak lain, dan sebagainya seolah tiada variasi misi lain yang dapat dipersembahkan. Namun dari segi pertempuran dengan makhluk jahat, bos-bos pada tahap tertentu, boleh diberi pujian kerana memberikan sepenuh kebebasan kepada pemain dalam melaksanakan tahap tersebut. Jika anda pernah bermain Zone of The Enders, pengalaman sama anda akan merasa sewaktu dikeroyok musuh-musuh disekeliling.
Sewaktu pertempuran, salah satu perkara yang kadangkala menjadi masalah adalah kamera. Kawalan kamera adalah menggunakan tombol analog R akan tetapi apabila pergerakan menjadi terlalu kompleks, saya dapat merasakan kameranya tidak dapat ‘mengikuti’ pergerakan yang saya lakukan. Jika diletakkan markah untuk kamera, saya masih akan memberikan 7/10 kerana ia memberikan keterujaan yang tinggi.
Didalam Gravity Rush 2, terdapat juga mod sudut pandang pertama (First Person View) yang lebih elok berbanding siri pertama, kerana pemain boleh ‘terbang/jatuh’, serta berlawan dengan musuh dalam pemandangan yang lebih baik. Namun ia juga ada kekurangannya, dimana pemain tidak dapat melihat sebarang anggota badan pada sudut pandang sebegini. Apabila pemain tidak dapat melihat tangan ataupun kaki, pemain tidak dapat mengetahui corak serangan Kat.
Dari segi jalan cerita, penceritaan Gravity Rush 2 adalah sangat mendalam walaupun ia tidak menggunakan sebarang animasi, sebaliknya lebih bergantung kepada stail komik. Dialog watak-watak utama yang dipersembahkan menggunakan bahasa rekaan hanyalah beberapa ucapan, namun ia tidak sedikitpun mengurangi kualiti seni yang dibawakan oleh permainan ini. Ia juga sarat dengan cerita yang agak serius, termasuklah jurang perbezaan diantara golongan kaya dan miskin.
Boleh disimpulkan yang mana permainan Gravity Rush adalah lain dari yang lain, dan satu perkara yang saya sukai secara peribadi adalah pengalaman ‘kebebasan pergerakan’ yang ditawarkan permainan ini. Ada sebabnya permainan ini direka diatas pulau terapung yang membolehkan pemain ‘jatuh’ sehingga ke bawah pulau dan melihat dasarnya. Malah pergerakan keseluruhan seolah-olah sedang berada didalam ‘anime‘.
Dunia terbuka permainan ini mungkin tidak setara dengan permainan kelas AAA Grand Theft Auto V, atau Metal Gear Solid V, namun dari segi pergerakannya, dan dengan rekaan dunia yang penuh cantik serta aksi pertempuran yang mencabar, mampu membuatkan saya untuk berkata ‘diam dan ambillah duitku’ sekiranya terdapat sambungan Gravity Rush ini. Malah tidak mustahil sekiranya sambungan permainan ini akan mendapat dorongan seumpama tajuk-tajuk berkelas AAA.
Pro
- Pengalaman ‘terbang’ yang sangat menarik
- Corak permainan yang mudah difahami
- Tahap Delvool Trench Mine memberikan nilai untuk bermain-semula (replayability)
Kontra
- Sudut pandang pertama yang tidak memberikan apa-apa kebaikan sewaktu pertempuran.
- Misi yang kadangkala dilihat berulang.
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2lcH5Vs
Post a Comment