Perbetulkan Niat Sejak Dari Awal, Dan Kesanggupan Untuk Memikul Tanggungjawab, Kunci Utama Yang Dipegang Lelaki Ini Dalam Mengurus Anak
Anak lelaki sudah dikenali dengan sifat mereka yang suka bermain, agak aktif, juga gemar akan aktiviti yang mencabar. Ia sudah sebati dengan diri mereka, jadi bila mana ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak lelaki, mereka sudah tahu, situasi seperti ini bakal mereka lalui dalam membesarkan anak lelaki ini.
Namun begitu, ada juga di mana anak lelaki mempunyai perwatakan yang lebih cenderung kepada anak gadis, di mana gemar untuk menolong ibu di dapur, atau lebih mendengar kata, dan mudah untuk mengikut arahan dari ibu bapa.
Tapi, walau apa pun perwatakan atau karakter anak lelaki anda, mereka seharusnya diberi perhatian yang ama dengan anak yang lain, tiada perbandingan antara satu sama lain, jadi bagi mereka yang mempunyai anak lelaki, boleh mengikut cara peguam hartanah ini, saudara Salkukhairi Abd Sukor dalam membesarkan anaknya, yang pertama sekali, harus perbetulkan niat anda. Mari kita ikuti perkongsian darinya, bagaimana kita boleh mempunyai niat yang sebetulnya.
BAGAIMANA SAYA URUS ANAK LELAKI RAMAI
Ada orang agak terkejut bila mereka tahu saya memiliki 6 orang hero (anak lelaki) dan seorang heroin (anak perempuan). Mereka tanya macam mana lah tuan handle anak lelaki ramai-ramai ya. Saya ada 2 orang hero ni pun dah semput, katanya.
Entahlah, pertamanya saya rasa persoalan begitu mungkin agak klise bagi masyarakat sekarang. Orang dulu-dulu hero sepuluh orang pun rileks saja. Dan alhamdulillah, bahkan semuanya menjadi anak-anak yang berjaya.
Disebabkan itu mulanya saya tak bercadangpun untuk menjawab persoalan begitu. Kerana ianya sangat subjektif. Dan ianya agak sukar untuk diterjemahkan dalam penulisan bahkan kata-kata. Lagipun apalah sangat istimewa nya memiliki 6 orang hero dan seorang heroin. Sedangkan di luar sana ramai lagi orang yang memiliki anak lelaki yang lebih ramai daripada saya.
Cuma bila saya fikir balik, mungkin ada baiknya juga kalau saya dapat kongsi kan sedikit pengalaman yang Allah bagi dalam mana saya mengendalikan anak anak lelaki yang ramai.
Bukan berniat untuk mengajar atau menunjuk-nunjuk apa yang dilakukan. Tetapi sekadar berkongsi pengalaman . Moga-moga jika ada kebaikan daripada perkongsian ini insya Allah sama-sama kita dapat ambil panduan dan manfaatnya di samping memuhasabah diri kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik, insya Allah.
1. Perbetulkan niat, persepsi dan matlamat kita memiliki anak.
a) Ada orang sejak dari awal lagi telah set di minda mereka yang memiliki anak yang ramai itu menyusahkan dan membebankan. Mereka terlalu memikirkan macam mana lah nanti aku nak handle kalau anak ramai- ramai . Dengan karenah dan perangai masing masing lah dan sebagainya. Itu belum campur dengan kos dan perbelanjaan harian untuk mereka seperti susu, lampin pakai buang, pakaian, pelajaran dan lain-lain. Rasanya kalau ikut lojik akal memang tak mampu dan rasa terbeban.
b) Mereka hanya tengok dari sudut logik luaran sahaja. Sedangkan jika mereka buka AlQuran, Allah telah janjikan setiap anak itu ada rezeki masing masing dan kita tidak perlu rasa takut anak-anak tak cukup makan pakai semua kerana yang menentukan rezeki mereka bukan kita. Sebaliknya Allah SWT lah yang telah tentukan semua untuk mereka. Kita hanya menjadi penyebab nya sahaja.
c) Alhamdulillah walaupun ada anak tujuh, rasanya tak pernah lagi anak saya tidak makan atau tak pakai baju sebab tiada pakaian walaupun sehari. Sebab semuanya bukan kita yang beri tetapi Allah yang beri. Kita hanya usaha dan uruskannya sahaja. Dan kita kena yakin sungguh-sungguh tentang perkara tersebut.
d) Lagi satu, ada orang awal-awal lagi selepas kahwin dah kata aku kalau boleh nak anak 2 orang je, cukuplah. Maknanya dari awal-awal lagi seolah olah mereka dah “arahkan” supaya Allah bagi mereka anak 2 orang sahaja. Jika begitu niat dan doa mereka, Allah makbulkan saja. Sebab itu yang mereka hendak. Tapi bila anak dah besar dan kedua-duanya masuk asrama misalnya, mulalah rasa menyesal. Kalaulah dulu aku ada anak ramai kan best. Tak delah rasa sunyi. Tapi semuanya dah terlambat. Dulu mereka jugak yang mintak nak 2 orang anak saja. Dan Allah telah makbulkannya. Sekarang mulalah menyesal.
e) Saya pernah diperli oleh seseorang bila beliau dapat tahu isteri saya mengandung lagi sedangkan anak sebelum ni baru umur setahun. Beliau kata you tak merancang ke?. Saya pun dengan selamba nya jawab. “Ya..memang kami merancang..tapi kami merancang nak anak ramai..so apa masalahnya?” Diam terus orang tu kena jawab dengan saya begitu.
f) Dan boleh dikatakan walaupun telah melahirkan 7 orang anak, proses kelahiran anak-anak kami sangat mudah. Tak pernah isteri saya masuk dalam labor room lebih daripada sejam.
g) Untuk anak lelaki kedua misalnya 10 minit masuk labor room, isteri saya terus bersalin. Alhamdulillah. Bahkan anak lelaki saya yang ke empat dilahirkan ketika saya berada di luar negara kerana ada urusan kerja.
Nak dijadikan cerita, ketika itu isteri saya dalam keadaan rasa sakit nak bersalin, jam lebih kurang dalam pukul 3 pagi dan waktu itu hujan sangat lebat.
Selepas kejutkan anak-anak, beliau bawak anak-anak masuk dalam kereta dan drive kereta sorang-sorang hantar 3 orang anak tu ke rumah pengasuh dan kemudian drive terus ke hospital. Kebetulan dapat parking betul-betul depan pintu hospital. Beliau bagi tahu saya, memang beliau pun macam tak percaya bagaimana beliau ada keyakinan yang cukup kuat untuk lakukan semua itu.
Sampai di hospital doktor dan nurse pun terkejut dan cepat-cepat bawak masuk labor room. Tak sampai 20 minit dalam labor room, alhamdulillah dah bersalin. Sorang-sorang tanpa ditemani suami disii. Memang Allah permudahkan urusan beliau. Itu antara sejarah yang tak mampu saya lupakan sampai bila bila. Bila rasa nak marah isteri, teringat kan kisah tu tak jadi nak marah isteri. Sebab besar sungguh pengorbanan yang beliau lalui.
h) Jadi pendek kata, kalau niat dan persepsi kita sejak dari awal lagi betul, insya Allah, Allah akan permudahkan urusan kita sejak awal lagi. Tetapi kalau niat dan persepsi kita untuk memiliki anak itu pun dah silap dan lari daripada niat sebenar sejak dari awal lagi, lepas tu tak yakin pulak kepada ketentuan Allah, pasti urusan kita akan menjadi sukar dan pelbagai halangan yang bakal kita hadapi.
i) Tapi walau apapun, ramai atau sedikit anak bukanlah isunya. Yang lebih penting sejauh mana kita sanggup ambil tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan kepada kita dengan sebaiknya.
j) Kita kena anggap setiap anak yang Allah kurniakan adalah rahmat dan peluang untuk kita kumpul pahala. Di samping berdoa supaya Allah permudahkan urusan kita dalam menguruskan “rezeki” yang Allah kurniakan itu dengan sebaik mungkin. Yakinlah, hanya Dia sahajalah yang menentukan susah atau mudahnya sesuatu perkara.
Jika ada kesempatan, dalam posting lain saya akan kongsi kan lagi tips-tips lain dalam menguruskan anak ramai sebagai panduan kita bersama, insya Allah.
Wassalam,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
– Siakap Keli
BACA: Buat Ibu Bapa Yang Pertama Kali Menerima Cahaya Mata, Ini Tips Jimat Dalam Penyediaan Kelengkapan Untuk Bayi
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment