Presiden FAM Perlu Bercita-cita Besar, Semangat Tinggi
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) menziarah bapa kepada legenda bola negara, Datuk Soh Chin Aun (kiri) Soh Tee Tong (kanan) di Jalan Kolam Air, Alor Gajah. – Foto Rasul Azli Samad
NILAI: Sesiapa saja yang bakal menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mempunyai cita-cita besar dan semangat tinggi untuk memajukan sukan bola sepak negara pada masa depan.
Pandangan itu dilontarkan oleh legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun, ketika mengulas mengenai pertandingan merebut jawatan itu pada 25 Mac ini yang membabitkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa.
“Sesiapa saja yang menang untuk jawatan presiden pada Kongres FAM nanti tidak penting. Sebaliknya, apa yang penting adalah segala yang akan dilakukan nanti adalah untuk bola sepak negara terutama bagi meningkatkan kembali imej.
“Kalau betul kita hendak baiki keadaan sukan ini di negara kita, lakukannya sehabis baik, secara jujur dan terus cuba. Jadi kalau kita gagal tidak siapa yang perlu dipersalahkan melainkan diri sendiri,” kata Chin Aun ketika ditemui pada Klinik Asas Bola Sepak Real Madrid di Epsom College in Malaysia (ECiM) di sini, hari ini.
Program itu turut dihadiri legenda bola sepak Brazil dan Real Madrid, Roberto Carlos.
Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan, menyifatkan pucuk pimpinan baharu selepas ini perlu memainkan peranan sejak di peringkat akar umbi bagi mencari bakat baharu.
“Apa yang kita mahukan dalam bola sepak antaranya adalah memberi balik kepada masyarakat. Ketua yang baik, pengurusan, jurulatih di peringkat negeri yang boleh membantu memberikan FAM wajah baharu.
“Jadi FAM perlu memulakan semuanya dari peringkat akar umbi iaitu di peringkat sekolah lagi. Tidak ada lagi kejohanan di peringkat sekolah dan kelab juga dilihat lemah.
“Jadi jika perkara ini dibiarkan berterusan maka bola sepak tidak akan sesekali berkembang,” katanya.
Velappan dalam pada itu menyifatkan FAM perlu melakukan perubahan 100 peratus termasuk di bahagian pengurusan bagi memberikan wajah baharu kepada badan induk sukan tanah air.
“Saya percaya jika kita mempunyai satu pasukan yang baik, kita mampu untuk membawa bola sepak di negara ini ke tahap lebih baik,” katanya yang menyifatkan mana-mana presiden baharu yang dipilih selepas ini perlu mengkaji secara mendalam mengenai struktur terbaru di FAM termasuk di peringkat kelab, negeri mahupun kebangsaan.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment