'Encik, Bersyukurlah Awak Dikurniakan Anak-anak Yang Normal'
Kanak-kanak autisme adalah kanak-kanak yang istimewa. Sudah banyak informasi mengenai autisme didedahkan di media sosial, namun masih ada jua yang tidak berminat untuk mengambil tahu, malah ada yang enggan memahaminya.
Semalam, seorang kanak-kanak autisme hampir saja diserang oleh seorang lelaki dewasa ketika bermain di premis hiburan kanak-kanak kerana didakwa telah menumbuk dua anak lelaki itu. Sedangkan perkara itu tidak berlaku dan dinafikan oleh ibu kepada anak autisme berkenaan.
Gambar hiasan | Foto NurulFaris Photobsess |
Semalam sekitar jam 12 tengah hari, saya mendaftar masuk anak-anak untuk bermain di Kidzoona Aeon Klebang, Ipoh. Saya sentiasa memerhatikan Daaris bermain sementara suami menjaga dua orang lagi anak yang lain.
Lebih kurang jam 1.15 ke 1.30 petang, saya memerhatikan dari dekat Daaris bermain slide. Saya nampak Daaris memotong barisan semasa bermain. Selepas turun dari slide, ada dua kanak-kanak lelaki sekitar usia Daaris (9-10 tahun) bersama adik lelakinya sekitar usia 6 tahun ada berhampiran.
Budak-budak itu, masing-masing memeluk kerusi bulat kecil untuk bermain. Terus Daaris datang menghampiri dua orang budak itu, menepis dan menjatuhkan kerusi bulat untuk bergurau. Terus dua orang budak itu berlari keluar dari kawasan slide.
Saya terus menegur perbuatan Daaris dengan memegang tangan Daaris. Saya lebih menekankan soal memotong barisan berbanding berebut kerusi bulat sebab ia nampak lebih kepada gurauan kanak-kanak.
Daaris meronta-ronta bila saya memegang tangan dia dan berlari untuk terus bermain.
Tiba-tiba saya disergah dari belakang. Bila toleh, seorang lelaki dewasa sekitar usia 40’an memarahi saya dengan lantang.
“Kenapa anak awak tumbuk anak saya hah?!” dua kali dia menyergah saya.
“Anak saya yang mana satu, encik?” soal saya dan dia terus menunjuk ke arah Daaris yang sedang bermain slide.
Saya berasa hairan kerana apa yang berlaku di depan mata saya ialah Daaris menepuk dan menepis kerusi bulat. Mungkin sedikit kasar tetapi tidaklah menumbuk, tak ubah seperti gurauan budak-budak. Saya cuba menerangkan situasi yang terjadi kepada lelaki berkenaan.
“Anak saya mengadu pada saya yang anak awak itu telah menumbuk mereka. Awak tak jaga anak ke?!” bentak lelaki itu.
Tiba-tiba darah saya menyirap, terasa panas saja di telinga, muka dan terus ke hati.
“Dari tadi saya berdiri di sini tengok anak saya bermain. Saya tak nampak pun dia tumbuk anak-anak awak,” kata saya menepis dakwaan lelaki itu.
“Saya nampak dari jauh. Dua kali dia tumbuk anak-anak saya,” lelaki itu masih tidak berpuas hati dan terus memarahi saya.
Dalam hati saya, ‘dua kali’? Hairan dan pelik.
“Saya yang dekat pun tak nampak, encik yang jauh boleh pula nampak? Maaflah encik, anak saya itu Autisme. Dia tak tahu apa-apa,” kata saya.
“Awak tak jaga anak awak ke?!” dia ulang kembali ayat itu.
“Eh, anak saya autisme. Encik tahu tak apa itu autisme?” soal saya lagi.
“Saya tahulah tapi awak tu tak jaga anak awak!” dia masih tidak berpuas hati memarahi saya dengan menunding jari sejak dari mula menyerang saya.
“Saya tak kira, kalau terjadi di depan mata saya dan saya di sini tadi, memang saya dah pukul anak awak ini!”
Astaghfirullahalazim. Bayangkan seorang lelaki dewasa yang normal boleh ada niat nak melakukan perbuatan sedemikian pada kanak-kanak. Kata-kata dia benar-benar menarik rasa malu saya di depan orang ramai semalam.
“Encik tahu tak anak saya itu, autisme?!”
“Tak kiralah, awak tu yang tak jaga anak awak!” jawabnya.
“Meh sini kamu! Meh sini, aku nak tanya kamu kenapa kamu tumbuk anak aku?!” dia menggamit Daaris yang sedang bermain dengan muka yang tak puas hati.
“Encik faham tak yang anak saya itu autisme?! Dia tak pandai bercakap!” naluri keibuan saya terus disentap-sentap.
Suami yang baru terperasan dengan situasi itu terus datang dekat. Bila suami saya sampai, terus lelaki itu mengajak anaknya beredar. Semasa lelaki itu beredar, dari jauh saya kata,
“Encik! Bersyukurlah awak dikurniakan anak-anak yang normal..”
Lelaki itu agak terkejut apabila mendengar kata-kata saya sambil diperhatikan oleh ibu bapa yang lain memerhatikan kami sejak awal kejadian.
Suami terus menenangkan saya yang sudah hampir meletup. Kami terus rujuk dengan pihak AEON untuk mendapatkan cerita sebenar dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Berdasarkan CCTV, memang ada terjadi sedikit perebutan tetapi perkara yang tidak keterlaluan. Ianya lebih kepada situasi kanak-kanak bermain.
Sementara menunggu keputusan CCTV, suami saya berjumpa dengan lelaki tersebut bagi bertanyakan hal sebenar. Memang gaya dan cara lelaki itu agak ‘kerek’ dan tidak mahu mengaku silap.
Apabila keputusan CCTV telah diperolehi, saya ingin berjumpa semula dengan lelaki tersebut untuk beritahu kisah sebenarnya yang berlaku namun dia telah beredar.
Nana bersama tiga anaknya | Foto – Nana |
Di sini saya terfikir, apa yang akan terjadi sekiranya saya tiada berhampiran dengan Daaris? Berkemungkinan Daaris dipukul seperti yang dikatakan lelaki itu? Kata-kata lelaki itu juga saya anggap sebagai ancaman terhadap keselamatan anak saya.
Saya juga beranggapan dia seorang yang tidak matang kerana sanggup menyerang wanita dan kanak-kanak hanya kerana hal kanak-kanak berebut bermain. Saya terfikir juga untuk buat laporan polis demi keselamatan anak saya. Sedih dengan masyarakat kita yang masih dengan minda kelas ke-3.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment