Hi! Welcome Back and Stay Tune! Apakah Melayu haprak itu Zahid Hamidi? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Apakah Melayu haprak itu Zahid Hamidi?

Monday, July 31, 2017
SESUDAH SUBUH
Tindakan Zahid kepada Dr Mahathir keterlaluan?

Dalam hati saya selama ini masih mengharapkan Ahmad Zahid Hamidi menjadi pengganti kepada Najib Razak. Alasan utama saya ialah kerana beliau berasal dari orang kampung, di masa kecilnya dia pernah melalui hidup susah pernah menjual aiskrim dan kupas kelapa. Latar hidup itulah menarik hati saya. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu melihat lagi anak bangsawan meneruskan legasi kebangsawanan sebelum ini menjadi perdana menteri Malaysia.

Peluang yang Allah berikan kepadanya hari ini cukup baik, dengan menjadi timbalan perdana menteri. Zahid tidak merancang sampai ke situ, tetapi Allah sudah membuka jalan buatnya. Sepatutnya dia mesyukuri sedalam-dalamnya anugerah yang tidak ternilai itu. Menjaganya seperti menatang minyak yang penuh, atau persis membawa turun madu tualang dari dahan yang tinggi.

Jawatan itu hanya selangkah lagi akan menempatkan beliau di kerusi keramat PM. Zahid diharap menjadi anak kampung, golongan marhaen pertama untuk menjadi PM Malaysia. Sesuailah untuk Malaysia kalau mempunyai PM dari kalangan orang kampung setelah ia dimulai dengan keturunan raja - feudal, (Tunku Abdul Rahman) kemudian kelas menengah dan teknokrat (Razak Hussein dan Hussein Onn), anak pendidik Dr Mahathir Mohamad, cucu ulama Abdullah Ahmad Badawi kemudian anak bangsawan moden, Najib Razak hari ini. Itu yang hati kecil saya harapkan.

Sesungguhnya harapan saya secara peribadi lebih besar kepada beliau berbanding dengan bekas-bekas TPM sebelum ini, Musa Hitam, Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin. Walaupun dari segi ketinggian dan upaya minda politik Zahid jauh lebih rendah dari mereka itu, adakalanya sekelas dengan siasah Pak Pandir sahaja, tetapi saya meletakkan harapan itu kepadanya. Biarlah dia melengkapkan dirinya dengan "profesionalisme" ketika dia menjadi PM kelak. 

Biarlah kalau Zahid tidak mempunyai pengetahuan politik, pentadbrian, diplomatik bertaraf antarabangsa, atau pun rangkaian seluas mereka itu, tetapi Zahid ada nilai dan darjah lain pada dirinya untuk mengatasi kekurangan itu. Beliau tidak ada landasan ilmu dan pernah terlibat dalam medan perjuangan untuk membentuk dirinya menjadi pemimpin seperti mana Musa Hitam atau Anwar Ibrahim. Beliau tidak menyertai gerakan sosial bertaraf dunia, tetapi dia ada aset lain yang menarik.

Beliau mempunyai pendidikan ilmu agama yang agak kemas kerana pengajiannya dalam bidang Islam. Sebagai anak orang kampung mengambil berat kepada masalah agama, akhlak dan tahu serba sedikit hukum beliau dibentuk dalam lingkungan itu. Dia arif mengenai bau selut dan hamis seludang pinang dan sawit yang mereput. Inilah nilai diri yang ada kepadanya diharap dapat dipergunakan menjadi perisai untuk menghiasi dirinya bila jadi pemimpin nombor satu agar tidak lupa dunia.

Kerana latar belakang pendidikan itu Islam, bukan Barat seperti PM sebelum ini, beliau banyak mengetahui istilah-istilah Arab, tahu menyebut dua tiga patah perkataan dalam bahasa Arab, termalogi Islam dan tahu memetik sepatah dua hadith-hadith Nabi yang sering diajar di Taksi dan Pasti. Kebolehan dan kepetahannya ini jauh dibandingkan dengan orang lain termasuk juga Najib Razak. Bahkan saya mendapat tahu di zaman pemuda Umno dahulu semasa Zahid mendamping Najib dalam gerakan itu kesilapan sebutan al Fatihah Najib dibetulkan olehnya.
Itulah kelebihan yang ada kepada si Zahid, walaupun belum nampak jelas apakah idealisme Islam yang hendak dibangukan dalam pentadbiran negara menerusi kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri kini. Apa yang berlaku kini beliau hanya meretorikkan Islam tetapi tidak mengamalkannya. Falsafah Islam yang syumul belum dikuasai sepenuh dan semantapnya. Kita tidak menemui apa-apa penulisan mengenai falsafah kepimpinan Islam olehnya untuk dijadikan acuan atau pun panduan umum.
Pun begitu kerana latar belakang agama itu menyebabkan orang seperti saya dan mereka yang mudah terpasung dengan perwatakan dan keperiabdian Islam, tertarik kepadanya. Kita berharap Islam akan menyubur dalam praktikalnya seiringan dengan kedudukkannya, dan akhirnya dia akan melaksanakan apa yang menjadi impian semua itu.

Saya pernah menegaskan hujah saya, kenapa saya mahu Zahid berbanding dengan Hishamuddin Hussein. Sebabnya ialah kerana Zahid orang bawahan, berbanding Hishmuddin sebagai orang ada-ada. Golongan marhaen kalau dia jadi pemimpin, lebih memahami masalah rakyat di bawah. Hanya jauhari mengenali maknikam.

Berbeza dengan orang ada-ada, bangsawan dia tidak memahami keperitan hidup orang bawah. Kesusahan rakyat dia tahu melalui pembcaaan dan menonton filerm dokumentari sahaja, atau mendengar cerita-cerita ringkas semasa melawat orang sakit di hujung kampung sewaktu pilihan raya. Tetapi mereka tidak alami dan meniduri sendiri kesusahan itu. Jadi pedih dan sakitnya tidak sampai ke tulang hitam.

Situasi itu sangat berbeza sekali, di antara penderitaan rakyat yang dibaca oleh Najib Razak atau Hishmuddin dalam buku-buku atau novel dengan apa dialami oleh Lahuma dan Jeha dalam vovel Rantau Panjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Lahuma mengalami sendiri penderitaan dan kemelaratan hidup sebagai petani, berjuang membangunkan sawah, melawan ketam, burung ciak, tertikam duri dan onak nibung dan sebaganinya kerana ingin membesarkan anak-anak.

Betapa dhaifnya kehidupan Jeha sebagai seorang petani. Kesusahan dan kemelaratanya tidak pernah dirasai Najib dan Hishamuddin. Dia tidak tahu sepanjang hidup Jeha tidak pernah memakai seutas atau sebesar janggut undang pun gelang tangan dan kaki, tidak seperti Rosmah Mansor yang memiliki beg tangan bernilai jutaan ringgit dan juga dituduh memiliki berlian berwarna merah jambu bernilai RM128 juta.

Berbanding Zahid dengan Hishamuddin, dia sebagai anak kampung Bagan Datoh, yang hidup dalam kebun kelapa tentu tahu mengupas kelapa, kukur kepala untuk dimakan dengan ubi kayu. Tetapi kerja-kerja dan aktiviti ini haram dari dilakukan Najib dan Hishamuddin. Kalau tidak percaya cuba anjurkan pertandingan kupas kelapa dan kukur kelapa di antara mereka, tentu Zahid akan menang. Kejaguhan Zahid dari sisi inilah menarik hati saya untuk melihat dia menjadi PM.

Realiti hidup beliau itulah menjadikan rakyat Malaysia yang sudah berada di bawah pemerintahan golongan bangsawan atau sistem feudual serik untuk berketuakan orang bangsawan. Orang bangsawan tidak pernah berasa susah, tidak pernah tidur di atas gelegar buluh, beratapkan rumbia bahkan tilam dan bantalnya terbena dari timbunan wang ratusan juta. Dalam konteks Umno hari ini tentulah selepas ini Hishamuddin akan menjadi PM apabila Najib sudah mempersiapkan pintu untuk sepupunya itu masuk ke Puterajaya.

Tetapi sayang seribu kali sayang, beberapa karektor dan perangai yang dipamerkan Zahid ia mengecewakan hati saya dan orang lain juga. Apa diharapkan sesuatu yang baik lahir daripada orang yang berpendidikan agama sepertinya, seperti menanti mentari di malam hari dan mengharap sinar bulan panas di waktu siang sahaja. Kecewa dan hampa. Zahid mengecewakan ramai orang dengan apa yang beliau tunjukkan disebabkan keisengan politik. 

Banyak yang beliau sudah membuat silap dan tidak menjaga keperibadian Islam yang dicapkan kepada dirinya. Sikap dan perangai itu merosakkan keperibadian murni miliknya selama ini.

Tindakan terbaharu beliau ialah mempersolkan status kewarganeraaan Dr Mahathir Mohamad semalam cukup dikesali dan memalukan. Tidak sepatutnya orang sepertinya berbuat demikian. Semasa merasmikan persidangan Umno di sebuah bahagian, beliau telah membangkitkan mengenai keturunan Dr Mahathir sebagai bukan Melayu asal, bertujuan memalukan bekas PM itu dan berharap agar orang Melayu menolaknya. Kita tahu ia sekadar perang saraf tetapi tindakannya melampaui apabila perbuatan itu mungkin jatuh ke dalam sukma Dr Mahathir dan pendukungnya. 

Zahid mendedahkan yang Dr Mahathir bukan Melayu tulen, berdasarkan kepada salinan Kad Pengenalan lama Dr Mahathir yang tertulis perkataan "anak lelaki (a/l" bukannya "bin" sepertinya. Kata Zahid perkara itu menjadi bukti kenapa Dr Mahathir boleh mengungkap Melayu mudah lupa, kerana beliau (Dr Mahathir) bukan orang Melayu. Zahid mempertikaikan keMelayuan Dr Mahathir.

Sejejar itu juga Zahid menyebut-yebut perkataan "Kutty", yakni keturunan Dr Mahathir. Kutty adalah salah satu pecahan kaum atau keturunan India. Baginya Kutty suatu keturunan India yang sangat jijik dan hina. Di sini berlaku penghinaan Zahid kepada Dr Mahathir yang sangat tidak wajar.

Apabila Zahid galak membangkitkan hal ini ia menunjukkan beliau sendiri kurang arif apakah maksud dan pengertian "anak lelaki" dan "bin" itu. Walhal perkataan itu mempunyai sama makna dan erti cuma beza pada sebutan dan amalan.

Tidak ada guna kalau Zahid bangga dan megah kerana dia pakai "bin" tetapi Dr Mahathir pakai "a/l" kerana maksud dua perkataan itu sama sahaja, ia adalah sistem patronimik untuk menamakan anak-anak dari keturunan bapa, bukan matronimik dari susul galur ibu. Itu sahaja. Masakan ilmu ini pun tidak ada kepada seorang bakal perdana menteri.

Zahid lupa barang kali kepada apa yang si Kutty itu buat selama 22 tahun. Kutty menjadi PM selama 22 tahun dan segala jasa serta budinya diiktiraf oleh rakyat Malaysia dan dunia juga. Keberadaannya dalam Umno juga adalah kerana Dr Mahathir berjaya mengutuhkan parti nasionalis itu. Kalau Zahid insaf akan itu semua dia tidak akan tergamak mencemar dirinya dengan mempersendakan Dr Mahathir dengan penggilan Kutty. Dalam "maqasid" dan fekah Islam, kalau pun benar Dr Mahathir itu "Kutty" tetapi beliau tidak bersalah, seperti mana tidak bersalahnya anak yang dilahirkan si ibu dan ayah yang tidak bernikah.

Melepas dendam.

Kalau pun beliau berdendam dan benci kepada Dr Mahathir kerana tidak melantiknya menjadi anggota Kabinet semasa beliau jadi Ketua Pemuda Umno, Zahid tidak sepatutnya terlanjur begitu jauh sekali. Kerja-kerja provokasi dan menghina begitu hanya layak dilakukan oleh para vendelimse politik dalam Umno. Sejarah sedih beliau dengan Dr Mahathir bukan untuk diungkit tetapi mematangkan politiknya. Itu sepatutnya. 

Lagi pun perkara ini pernah menjadi isu suatu ketika dahulu, pada masa berlaku perlawanan antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan Dr Mahathir, identiti Dr Mahathir berdasarkan kad pengenalan itu sudah dibangkitkan, semua perwakilan Umno menyedari akan latar belakang keturunan Dr Mahathir itu. Tetapi akhirnya Dr Mahathir menang juga dalam perlawanan itu. Apakah ketika itu Zahid sudah pun mempertikaikan keturunan Dr Mahathir? Kalau dia mempertikaikan keturunan Dr Mahathir berasal dari India itu kenapa pula dia betah dengan Anwar Ibrahim yang juga berasal dari benua India? 

Sebagai orang yang digelar orang berpengetahuan agama dan mempunyai tertib tinggi, Zahid tidak tanggung mempersoalkan asal keturunan. Perkara paling pokok untuk beliau lihat dan membuat penilaian kepada Dr Mahathir dan sesiapa jua ialah agamanya. Apakah dia lupa kepada pesan Tuhan mengenai perkara ini. Perkiraan akhir bagi Tuhan sama ada orang itu akan dikirim ke syurga atau neraka, bukan bangsanya, bukan kekayaannya, bukan darjat keturunannya, tetapi agamanya, ketakwaan dan keimanannya. Apakah Kutty milik Dr Mahathir itu tiada termasuk dalam golongan beriman dan bertakwa?

Suatu tahap Zahid sudah melakukan yang baik untuk negara ini dan meletakkan dirinya sebagai orang yang mempunyai nilai tersendiri sebagai bakal perdana menteri Malaysia apabila beliau dilihat sebagai warak dan berperwatakan mesra alam peka kepada aktviti keagamaan. Tetapi dengan apa yang beliau lakukan semalam, tindakan itu mengcabut segala nilai-nilai baik itu. Apa yang beliau lakukan itu juga menyebabkan orang teringat kepada sikap gengsterisme yang pernah beliau lakukan kepada seorang pemuda Kelantan kerana menganggu anaknya yang sudah janda. 


Sebenarnya tindakan Zahid yang melampau dan kebudak-budakkan yang penuh emotif itu bukan sekali sahaja. Telah berlaku dalam ucapan-ucapan awamnya beliau melakukan gurau politik yang tidak manis dan tidak beradab. Ada kalanya boleh sampai orang yang diguraukan itu terarasa hati dan sedih. Dia bergurau biawak mungkin semasa kecilnya Zahid suka memintas biawak?

Dalam suatu perhimpunan agung Umno beliau pernah bergurau biawak dengan bekas Adun Lenggeng, Ismail Ishak, kalau tidak silap. Beliau pernah menawarkan wang RM 2 ringgit kapada Ishak sebagai upah jika Ismail dapat menjawab pertanyaanya. Saya dah lupa kenapa dia sampai menyebut perkara itu. Tawaran RM2 itu beliau telah menjatuh dan meletakkan nilai bekas Adun berkenaan RM2. Penghinaan secara tidak langsung kepada member itu. 

Sikap lain yang beliau pamerkan dalam perhimpunan agung Umno yang bertentangan dengan gelar yang dia dapat ialah menjadi promoter kepada Rosmah Mansor. Beliau tidak pernah akan lupa mengajak para perwakilan bangun dan memberi tepukan gemuruh kepada Rosmah. Cara beliau ini untuk membodek dan mengambil hati wanita paling berkuasa itu, yang mana tanpa dia sedar ia menunjukkan dirinya tidak layak untuk berada ditempatnya kini. Seorang pembodek tidak dapat jadi pemimpin yang baik.

Sesiapa pun tidak dapat menerima apa yang dilakukan Zahid kepada Dr Mahathir semalam. Ia sangat kontradik dengan personaliti yang dilihat kepadanya sebagai seorang pemimpin berpendidikan agama. Agama tidak membenarkan penganutnya menghina dan mengutuk orang lain sehingga terkeluar dari batas-batas yang dibenarkan. Apakah Zahid sudah berasakan dia hebat, berkuasa apabila dia menjadi TPM dan menjadi menteri dalam negeri? Jangan terlalu takabul dan bongkak sdr kerana hari perhitungan berada di depan bukan di belakang.

Bagi saya, siri-siri pengutukan Zahid kepada Dr Mahathir adalah sebahagian daripada ulah dan fiilnya untuk mengambil hati orang Umno agar melihat dia lebih berani untuk mengganti perdana menteri berbanding dengan seteru senyapnya kini Hishamuddin. Apakah Zahid ini jenis Melayu haprak yang pernah dikatakan Dr Mahathir?

Apa berlaku kepada Zahid itu sesungguhnya memberi laba dan untung kepada Hishamuddin. Dalam apa jua sudut hari ini kalau Zahid berniat untuk mengatasi Hishamuddin dia akan gagal kerana Hishamduddin sudah dihias pakaian pengantin bakal PM oleh Najib. Zahid kena insaf dia hanya kini tukang mengejar kerbau terlepas untuk disembelih pada hari "persandingan" Hishmuddin sahaja. [wm.kl.7:09 am 31/07/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 9:32:00 AM 


✍ Sumber Pautan : ☕ mountdweller88

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tQFIwO

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.