5 ‘S Pembunuh’ Remaja Muslim Tanpa Anda Sedari
Zaman remaja adalah suatu tempoh masa yang agak mencabar. Ini kerana, golongan remaja yang berumur sekitar 13-25 tahun sedang mengalami fasa pembentukan dirinya sendiri.
Bahkan, tempoh ini jugalah yang banyak mendorong seseorang remaja itu untuk cenderung ke arah yang mereka minati.
Dalam erti kata lain, tempoh ini adalah masa untuk mencari identiti diri yang sewajarnya tempoh untuk membangunkan diri untuk berjaya.
Justeru, dalam perjalanan mencari diri dan erti hidup inilah mereka menemui pelbagai macam ragam manusia serta tingkah laku yang kadang mengheret mereka ke arah yang tidak sepatutnya tanpa disedari.
Hari demi hari kita dipaparkan dengan pelbagai berita mengenai gejala serta salah laku yang melibatkan remaja Muslim antaranya pergaduhan, pergaulan bebas, rokok, dadah, mencuri dan merogol.
Jika diperhati serta diperhalusi sekeliling, dapat kita simpulkan bahawasanya ada 5 ‘S’ yang secara tidak sedar telah pun meracuni pemikiran serta ‘membunuh’ remaja Muslim hari ini. Antaranya seperti berikut;
#1 – Song (Lagu)
Benar, dalam Islam tiada salahnya untuk berhibur. Apa jua jenis muzik yang didengar itu kadang boleh menginsafkan atau memberi kesedaran pada seseorang tentang kehidupan, bergantung pada liriknya.
Namun, sedarkah kita terdapat lagu mahupun muzik ciptaan Barat yang mengajak para pendengar untuk melanggar akidah kita?
Sebagai contoh, Lady Gaga yang terkenal dengan lagunya, Born This Way, Alejandro, Judas, sinonim dikaitkan dengan golongan Iluminati, Freemason, pemuja syaitan dan penyokong LGBT.
Hal ini berdasarkan pemakaian, lirik lagunya, simbol, gaya, karakter dan ideologinya. Mungkin, ada yang berpandangan, “Itu lagu je… bukan ape pun. Best dengar muziknya, tak salah kan?”
Betul, hanya lagu. Cuba perhatikan pula pada lirik lagunya. Setiap satu lirik lagunya ada maksud tersembunyi yang secara tidak sedar boleh menggugat akidah dan akhlak seseorang.
Bukankah akidah kita juga boleh terlucut melalui kata-kata? Walaupun tiada niat, tetapi adalah lebih baik sekiranya kita dapat mencegahnya lebih awal dan sentiasalah berwaspada.
Apa kata, lepas ni dengar pula muzik atau lagu yang lebih memotivasikan diri ke arah yang lebih baik.
#2 – Sport (Sukan)
Arena sukan juga tidak terkecuali dalam hal ini. Sedarkah kita, kadang sukan juga boleh melalaikan seseorang.
Benar, dalam Islam aktiviti sukan amat digalakkan. Bahkan Rasulullah S.A.W turut mengesyorkan para ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka bersukan seperti sabdanya yang bermaksud;
“Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah.”Riwayat Bukhari Dan Muslim
Namun, apa yang menyedihkan apabila aktiviti sukan ini lebih diutamakan sehingga mengabaikan kewajipan lain sebagai seorang Muslim.
Sebagai contoh, apabila adanya perlawanan bola sepak dunia atau apa jua aktiviti sukan, ada dalam kalangan mereka yang mengabaikan solat ketika perlawanan berlangsung.
#3 – Smoke (Rokok)
Dunhill, Marlboro, PallMall, Mild Seven, Peter Stuyvesant, Winston, Salem dan pelbagai lagi jenis dan jenama rokok di pasaran. Tahukah anda, rokok juga suatu ancaman besar buat golongan muda-mudi.
Di zaman remaja, merokok seakan menjadi satu trend. Bahkan, ada yang turut mencabar rakan-rakan mereka dengan merokok, dan apabila berjaya melepasinya mereka dianggap ‘hero’ atau ‘macho’.
Pelbagai kempen pencegahan rokok diadakan sehinggakan pada bahagian kotak rokok tersebut turut dipaparkan peringatan. Namun hanya segelintir saja yang mengambil berat mengenainya.
Terbaru, industri rokok melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan rokok elektronik atau vape yang dikatakan boleh mengurangkan ketagihan rokok. Ini juga turut menjadi trend anak muda masa kini.
Sejauh mana keberkesanannya untuk mengurangkan ketagihan itu, wallahua’lam.
Apa yang pasti, selain membazir wang, aktiviti merokok ini turut mengakibatkan pelbagai penyakit kepada diri perokok dan orang sekeliling, yang akhirnya akan membawa kepada ‘kematian segera’.
#4 – Style (Gaya)
Bergaya atau berfesyen tiada salahnya, asalkan ia tidak melangkaui batas dan hukum yang telah ditetapkan dalam Islam.
Tidak dinafikan, dunia fesyen banyak mempengaruhi gaya hidup remaja masa kini. Ini kerana pada masa ini, mereka mempunyai perasaan ingin mencuba dalam segala perkara termasuklah dari sudut gaya pemakaian.
Selain itu, mereka turut dipengaruhi dan terikut-ikut dengan gaya pemakaian artis atau idola mereka supaya kelihatan up to date dan tidak dikatakan ketinggalan zaman dalam kalangan rakan sebaya.
Lebih membimbangkan, apabila gaya pemakaian tersebut secara tidak sedar mempunyai unsur yang mengugat akidah seseorang atau melambangkan budaya dan agama lain.
Sebagai contoh gaya punk, skin head, black metal yang menjurus kepada pemujaan syaitan, menolak kewujudan Tuhan, menggalakkan seks bebas dan sebagainya.
Juga, trend menggayakan rambut dengan mencukur separuh atau dalam Islam disebut sebagai qaza’. Bagi wanita pula, ada yang menggayakan pemakaian tudung mereka ada seakan menyerupai agama lain.
#5 – Sex (Seks)
Sedarkah kita, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sering dipaparkan serta dipertontonkan di khalayak umum terutama di kaca televisyen.
Hal ini secara tidak langsung menjadi ikutan kepada para penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur antaranya remaja yang baru merangkak mencari diri mereka.
Bukankah Nabi kita, Muhammad S.A.W sudah memperingatkan bahawa apabila lelaki dan perempuan berdua-duaan tanpa ditemani mahramnya, ada yang akan menjadi ‘orang ketiga’ iaitu syaitan yang tugasnya untuk menyesatkan manusia.
“Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.”Riwayat Ahmad
Justeru itu, diharapkan melalui kupasan 5 ‘S’ ini dapatlah kita semua membuka mata terutama golongan remaja agar lebih berwaspada dan berhati-hati dalam ‘memilih’ jalan hidup agar kita selamat dunia dan di ‘sana’ nanti.
Bahkan perlunya para remaja kini mencontohi tokoh remaja Islam yang hebat dalam sejarah Islam.
Transformasi diri perlu dilakukan sebelum umur kita meningkat tua dan sebelum ajal menjemput kita.Wallahua’lam.
Sumber : tazkirah.net
✍ Sumber Pautan : ☕ Islam Itu Indah
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2ztOjHV
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment