Apakah Nasib Parti Pheu Thai?
BANGKOK – Apabila Yingluck hampir pasti menyertai abangnya Thaksin yang kini hidup dalam buangan, pelbagai persoalan berbangkit mengenai impak ke atas parti Pheu Thai, yang sekian lama dikaitkan dengan keluarga mereka.
Adakah anggota keluarga Shinawatra mengambil langkah memimpin parti “tanpa peneraju” itu, apabila ia bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum, yang dijangka diadakan tahun depan?
Seorang ahli sains politik terkenal di Thailand meragui bahawa mana-mana anggota keluarga kaya berkenaan akan cukup berani untuk menyertai politik, sekurang-kurangnya sekarang dan berdepan risiko diburu dengan tindakan undang-undang dan kemungkinan hukuman penjara.
“Tiada seorang dalam keluarga Shinawatra yang ingin menyertai politik sekarang,” kata Thitinan Pongsudhirak, seorang profesor sains politik di Universiti Chulalongkorn yang berprestij, semasa perbincangan panel mengenai keputusan ke atas Yingluck di Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) , baru-baru ini.
Minggu lepas yang menyaksikan mahkamah tertinggi Thailand menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas perdana menteri wanita pertama negara ini atas kecuaiannya dalam skim jaminan berasaskan beras, beliau berkata, peristiwa itu telah mengukuhkan kedudukan kerajaan yang dipimpin tentera.
Dengan Yingluck yang berada di luar negara dan kemungkinan muncul semula dalam politik agak kecil, Thitinan menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, namun menegaskan bahawa perkara-perkara tertentu akan menjadi lebih jelas selepas upacara persemadian diraja akhir bulan ini dan pertabalan Raja Vajiralongkorn.
“Tentera mempunyai kelebihan sekarang dan ada kemungkinan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi,” katanya mengenai pilihan raya, yang akan menandakan Thailand kembali kepada demokrasi, selepas lebih tiga tahun selepas tentera mengadakan kudeta untuk menggulingkan kerajaan awam.
Thitinan berkata, hukuman penjara ke atas Yingluck dan tindakannya melarikan diri dari Thailand bulan lepas selepas tentera memberi tekanan baru ke atas Pheu Thai akan melemahkan pengaruhnya, dengan para anggota dan pemimpin parti itu dijangka berpaling tadah dan “melompat” ke parti lain.
Ahli sains politik itu meramalkan keadaan politik semasa memberikan peluang kepada parti Demokrat, yang dipimpin pelajar lulusan Oxford dan bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.
Seorang lagi ahli panel dalam perbincangan itu, Phongthep Thepkanjana, bekas timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Yingluck, yang juga memegang pelbagai portfolio kementerian semasa pemerintahan Thaksin, menolak ramalan pengkritik mengenai masa depan Pheu Thai.
Parti Pheu Thai menurut beliau, telah bertahan begitu banyak krisis sebelum ini dan akan mengatasi halangan terkini, malah muncul lebih kukuh dan mendapat pengaruh lebih besar selepas ini.
Beberapa pemerhati politik Thailand juga berkata jika parti Pheu Thai pandai mengatur langkah selepas tempoh penghakiman ke atasYingluck, parti itu boleh meraih lebih banyak sokongan dan mendapat undi simpati yang penting daripada bukan penyokongnya.
Pheu Thai menurut Phongthep, mempunyai banyak pemimpin berkebolehan yang boleh diharapkan bagi mengambil alih kepimpinan dan mengatasi krisis terbaru. Beliau menegaskan Yingluck tidak duduk di dalam jawatankuasa eksekutif parti yang menangani hal ehwal parti.
“Pheu Thai bukan hanya mengenai Yingluck, Kami mempunyai banyak pemimpin berkebolehan,” katanya yang juga bekas hakim Mahkamah Agung, sambil menambah parti itu tidak boleh menunjukkan “tangan” secara terbuka sekarang berikutan larangan aktiviti politik yang dikenakan oleh kerajaan yang dipimpin tentera.
Tambahan pula,Thaksin dan adik perempuannya, kata beliau, masih mengekalkan pengaruh dan sokongan yang kuat di kalangan parti itu terutama di kubu kuatnya di sebelah utara dan timur laut negara ini, walaupun kedua-dua penyokong setia parti itu harus memerhatikan politik Thai dari jauh.
Thaksin, bekas usahawan ulung telekom kekal sebagai tokoh popular di Thailand dan dengan mudah boleh “menarik beberapa juta undi kepada parti”, satu perkara bagi pengkritik untuk pertimbangkan sebelum menolak mengenai masa depan Pheu Thai, kata Phongthep. – BERNAMA
Loading...
✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2xPSsbl
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment