Dah Ada Empat Hero, Datuk K Inginkan Baby Girl Pula
Sentiasa berusaha dan akhirnya Allah mengabulkan doa. (Pic: Mohamad Bakar)
Sudah ada empat anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu, suami tersayang Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa secara peribadi berharap dikurniakan anak perempuan pula menerusi kehamilan isterinya kini mencecah empat bulan.
Akhirnya rezeki menyebelahi Siti selepas melakukan rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta di Kota Damansara.
Ditemui pada majlis doa selamat dan kesyukuran Jumaat lalu di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa, lelaki yang mesra dengan sapaan DK (Datuk Khalid) itu mendedahkan gelagat serta perangai isterinya yang sedikit lain macam sepanjang tempoh kehamilan ini.
“Dia memanglah manja. Itu sudah biasa. Tak banyak kerenah mana pun dia ini. Cuma perhatian untuk saya berikan kepadanya itu memang nak kena lebih. Kalau boleh ibaratnya tak nak berenggang dengan saya. Dia tak saya mahu meninggalkannya dalam tempoh yang lama. Kalau keluar bekerja dan tiba jam empat petang, dia akan mesej dan bertanya di mana saya.
“Macam baru-baru ini saya ke London kerana menguruskan urusan universiti anak bongsu di sana, dia memang agak gelisah. Begitu juga ketika saya menunaikan haji beberapa bulan lalu.
“Dia akan pesan saya jangan pergi lama-lama kerana perlukan teman di sisinya. Macam ke London itu memang saya perlu pergi kerana anak memerlukan saya di sana,” katanya.
Ditanya sama ada isterinya mengalami alahan teruk, beliau sendiri sukar menafsir perkara itu.
“Cuma yang saya perasan dia ini memang cepat lapar. Paling maksimum selang dua jam. Kalau teringin nak makan sesuatu itu dia memang tampak beriya-iya. Tapi apabila sudah ada depan mata, yang dijamah tak banyak manapun. Kadang-kadang hanya secebis yang dimakan. Pernah jadi, tak dimakan langsung.
“Ibu saya sendiri pun kadang-kadang diminta Siti untuk memasak apa yang diingini. Dia pun pantang juga kalau ada yang sebut nak makan itu ini. Dengan dia sekali nak juga. Sebagai contoh baru-baru ini, dia teringin makan Nasi Kerabu. Seboleh-boleh nak cepat makanan berkenaan depan mata. Biasalah orang teringin, kita layankan,” katanya.
Kata Khalid lagi, setakat ini belum ada lagi permintaan pelik atau bukan -bukan daripada isterinya dalam soal makanan.
“Masih terkawal lagi. Cuma kebiasaannya dia memang suka makan pedas. Tapi apabila hamil ini, sebaliknya pula.
“Orang mengandung ini selalu suka benda atau makanan yang masam. Siti pelik pula, dia tak suka asam,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai fasa yang sedang dilaluinya kini bersama isteri, soal anak antara yang sering diharap pasangan ini sepanjang 11 tahun mereka berkahwin.
Pernah diuji dengan berita keguguran isterinya itu dua tahun lalu, rezeki mereka untuk sekali lagi menimang cahaya mata dimakbulkan Tuhan dan semua.
“Syukur Alhamdulillah. Memang kegembiraan yang kami sedang nikmati ini cukup indah. Paling utama Siti semestinya. Penantian ini begitu lama. Tapi saya tak terasa pun lamanya.
“Tapi akhirnya penantian itu sesuatu yang menggembirakan. Akhirnya kami sepakat untuk berkongsi berita gembira itu kepada semua selepas genap 120 hari. Ikut ajaran agama kita pun, genap hari itu rohnya diturunkan ke bumi.
“Saya hanya berharap semoga kandungannya kekal, sihat dan selamat. Sama-sama kita doakan anak kami nanti menjadi anak yang soleh,” katanya.
Khalid turut menegaskan jika boleh memang anak perempuan yang didambakannya daripada isteri.
“Itulah memang saya harap sangat dapat anak perempuan memandangkan saya sudah ada empat anak lelaki. Bagi Siti, dia tak kisah sangat sama anak lelaki atau perempuan. Tambah pula ini pengalaman pertamanya untuk bergelar ibu.
“Alhamdulillah, ini adalah anugerah yang tidak ternilai. Selama 11 tahun kami menanti, Allah berikan rezeki ini. Berkat kesabaran, Allah makbulkan doa kami,” katanya.
Khalid menegaskan selama berkahwin dengan Siti, mereka sudah banyak berusaha demi mendapatkan anak. Berkahwin dengan Siti pada 21 Ogos 2006, memang ramai yang mahu melihat rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata.
Hakikatnya bukan mudah untuk isterinya berbadan dua kerana pelbagai usaha sudah habis dilakukan.
“Memang ada yang cakap kami ini banyak duit, kenapa tak berusaha itu dan ini. Tapi orang bukan tahu apa yang kami lakukan dalam usaha untuk dapat anak. Selepas fasa dua tahun perkahwinan kami pun, macam -macam usaha dilakukan. Cuma ia tak diberitahu umum saja.
“Siti kini pun sejak kandungan mencecah empat bulan, sudah boleh bergerak lancar. Kalau pada trimester pertama kehamilannya, dia memang banyak berehat di rumah. Sebab itu dia jarang ke acara hiburan atau membabitkan khalayak yang ramai.
“Pernah gugur sebelum ini pada Disember 2015 juga buat dia lebih berhati-hati. Awal trimester lalu pun nak naik atau turun tangga pun saya kena angkat dia. Ketika itu dia nak berjalan pun susah dan terpaksa membongkok,” katanya.
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2kOosZ2
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment