Warga KL perlu manfaatkan ‘I Love My Strata’ – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR: Penghuni unit strata di sekitar ibu negara diminta memanfaatkan kempen ‘I Love My Strata’ yang dijalankan di projek perumahan rakyat (PPR) bermula semalam bagi menyelesaikan masalah perumahan sekali gus memupuk semangat keharmonian dalam kalangan mereka.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kempen yang dijalankan kerajaan dengan kerjasama syarikat Skyworld itu bakal memanfaatkan kira-kira 1.2 juta penduduk strata melibatkan 40 PPR dan 5,000 pembangunan strata termasuk pangsapuri dan kondominium di sekitar ibu kota.
Katanya, kempen itu dijalankan selama satu setengah tahun merangkumi tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan PPR dan pangsapuri kos rendah, fasa kedua iaitu pangsapuri kos sederhana manakala fasa ketiga iaitu kondominium mewah.
“Melalui kempen itu, jawatankuasa PPR, persatuan penduduk dan pihak pengurusan pangsapuri swasta akan bekerjasama dengan kerajaan dalam memupuk kesedaran komuniti strata dengan menitikberatkan soal kebersihan, memantau aktiviti vandalisme dan penjagaan harta benda awam di dalam kawasan PPR.
“Ia juga dapat meningkatkan kualiti taraf hidup dan hubungan sosial sesama penduduk dengan menekankan nilai murni yang sederhana,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Transformasi Minda ‘I Love My Strata’ di Cheras di sini, semalam.
Tengku Adnan berkata Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB), DBKL dan wakil Skyworld akan memantau kawasan PPR yang terlibat dalam kempen itu dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran kempen itu.
“Mereka akan memberi garis panduan dan penerangan tentang kempen itu kepada wakil penduduk strata dan persatuan penduduk serta membantu mengedarkan poster di sekitar kawasan PPR bagi meningkatkan kesedaran penduduk.
“Satu portal dan laman sosial seperti Facebook akan diwujudkan bagi memberi maklumat terkini mengenai kempen itu dan buku panduan juga akan diedarkan kepada penghuni strata sebagai garis panduan dalam mewujudkan komuniti ceria dan harmoni,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Skyworld Datuk Ng Thien Phing berkata pihaknya memperuntukkan sejumlah RM3 juta sebagai tanggungjawab sosial korporat bagi menjayakan kempen itu.
“Kami akan berusaha menjadi pemaju hartanah lebih kreatif dan inovatif dalam membangunkan sesebuah kediaman strata bagi mewujudkan komuniti strata yang harmoni dan bersatu padu,” katanya.
-BERNAMA
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1TPMJad
Post a Comment