Dakwa M’sia Bersekongkol Adalah Penghinaan
Spread the love
JAWAPAN DARIPADA YB DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN, MENTERI LUAR NEGERI KEPADA KENYATAAN AKHBAR OLEH TYT DUTA BESAR REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT KOREA
KE MALAYSIA
BERKAITAN DENGAN KEMATIAN SEORANG RAKYAT
REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT KOREA DI MALAYSIA
1. Pada 20 Februari 2017, Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea ke Malaysia telah mengedarkan satu kenyataan akhbar. Kenyataan akhbar tersebut mengandungi beberapa tuduhan terhadap siasatan kematian seorang warganegara negara tersebut yang berlaku pada 13 Februari 2017.
2. Tuduhan-tuduhan tersebut, yang bersandarkan khayalan, pembohongan dan perkara yang hanya separuh benar, telah menjadi asas kepada kesimpulan Duta Besar tersebut bahawa “penyiasatan tersebut didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir” dan “penyiasatan yang dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan untuk mencari saspek, tetapi bermotifkan politik”.
3. Apabila Duta Besar dipanggil (summoned) oleh Kementerian Luar Negeri, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal-Ehwal Duahala telah menekankan bahawa penyiasatan tersebut telah dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa. Ia juga telah dijalankan mengikut undang-undang serta peraturan-peraturan Malaysia.
4. Apajua tohmahan yang dibuat yang menyangkal hakikat ini, ataupun apajua tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing merupakan penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia.
5. Penyiasatan polis tersebut adalah berdasarkan kesemua petunjuk (leads) yang ada. Petunjuk-petunjuk ini akan disiasat sepenuhnya. Petunjuk-petunjuk tersebut mungkin melangkau, dan di dalam sesetengah kes, tidak ada hubungkaitnya dengan maklumat yang diberi pihak kedutaan mahupun entiti-entiti lain.
6. Di mana-manapun negara yang bertamadun, adalah menjadi amalan bahawa kes sedemikian rupa akan disiasat secara sekomprehensif mungkin. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berbuat demikian. Pihak awam juga akan menuntut perkara yang sama. Oleh yang demikian, maklumat kepada umum telah diberi apabila perlu.
7. Adalah juga menjadi kelaziman bagi pihak kedutaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negara hos untuk memastikan bahawa penyiasatan yang dijalankan adalah serapi mungkin, dan bukannya untuk menimbulkan syak-wasangka terhadap penyiasatan tersebut.
Menteri Luar Negeri
PUTRAJAYA
20 Februari 2017
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment