Jangan Warnai PRU14 Dengan Perspesi
MUNGKIN ada yang menganggap catatan ini terlalu awal memandangkan teka-teki mengenai tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Negeri masih belum diumumkan.
Namun, hakikatnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir. Ramai meramalkan akan diadakan selewat-lewatnya sekitar awal tahun depan. Tidak kisah bilakah tarikhnya, yang penting segala persiapan perlu diatur mengikut bidang dan kapasiti masing-masing.
Sementara orang politik menghitung kerusi untuk ditandingi dan dimenangi, masyarakat umumnya juga perlu mempersiapkan diri untuk mengundi dengan menentukan nama tersenarai sebagai seorang pemilih yang berdaftar selain menentukan di mana pusat untuk mengundi.
Namun, apa yang lebih penting bagi menghadapi setiap pilihan raya atau lebih khususnya PRU-14 ini adalah agar tidak membuat penentuan salah. Pilihlah dengan cermat, rasional dan berhemat. Kelebihan satu undi boleh menentukan kemenangan kepada calon yang mewakili parti, manakala kelebihan satu kerusi boleh menentukan kuasa pemerintahan bagi negara atau negeri.
Keputusan mana-mana pilihan raya adalah muktamad. Dan walau apa pun keputusannya, pilihan raya tidak boleh diulangi keesokannya. Elak daripada berlakunya keadaan seperti di sesetengah negara Barat dan Asia Barat di mana sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan, rakyat terus membuat demonstrasi. Padahal tangan mereka juga baru menentukan undi.
Lalu timbullah persoalan: “Kenapa menyesali keputusan yang sudah ditentukan sendiri?”. Jawapannya ialah, ramai yang mengundi dengan dipengaruhi sentimen marah, benci atau geram. Mereka seolah-olah tidak rasional dan berfikir panjang. Rupa-rupanya menjelang tarikh pilihan raya diumumkan, hati rakyat sudah dijeruk dengan rasa benci, marah dan penuh dendam untuk menumbangkan kerajaan sedia ada bagi digantikan dengan sebuah kerajaan baharu yang kononnya diimpikan bersih, efisien, adil, berwibawa dan bermacam-macam ilusi lagi.
Sikap pengundi ini dipengaruhi oleh pihak-pihak yang mahu mengambil alih kuasa dari kerajaan yang sedia ada. Mereka adalah dari parti-parti yang mungkin sudah agak lama bertapak tetapi sukar mendapat sokongan majoriti rakyat. Atau parti-parti yang baharu ditubuhkan. ‘Senjata’ yang paling popular mereka gunakan ialah dengan pendekatan ‘keliru dan tawan’ atau confuse and conquer (C&C).
Dalam konteks semasa, pendekatan mereka ini banyak menggunakan media sosial. Malah, dibentuknya satu pasukan petugas khas (task force) untuk mengendalikan sebaran dan tularan melalui media sosial. Bahan-bahan yang disiarkan berbentuk propaganda, provokasi, tohmahan, dakwaan, putaran isu (spin), melaga-laga dan menyusun reka cerita (story-board) yang boleh mengeliru, membina persepsi dan membangkitkan kemarahan terhadap kerajaan.
Kecenderungan ini memang terdapat di Malaysia. Banyak hal dijadikan isu. Yang diterjah dan disondol saban hari adalah soalan tetapi mereka ini tidak pedulikan penjelasan dan jawapan. Mereka tidak berminat mendengar jawapan kerana apa yang dimahukan adalah terus mengelirukan pemikiran rakyat. Contoh jelas adalah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Isu Malaysia akan bankrap? Dahulu pun misalnya semasa kerajaan mahu membina Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Menara Kembar Kuala Lumpur (KLCC), propaganda pembangkang mengenai isu bankrap ini sudah lantang bergema. Namun, ekonomi Malaysia tetap stabil. Pertumbuhan tetap memberangsangkan. Jadi, apa masalahnya dengan projek-projek mega yang kerajaan rancang dan laksanakan?
Justeru rakyat negara ini perlu berwaspada agar tidak terperangkap dengan membuat tanggapan atau persepsi salah terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan. Sebaliknya bertindaklah dalam suasana pemikiran yang tenang, rasional dan terbuka dengan meneliti segala penjelasan sebaiknya sebelum membuat kesimpulan sendiri. Buat penilaian dan penetapan di fikiran melalui fakta yang tepat dan sahih. Jangan jadikan PRU-14 sebagai pilihan raya persepsi tetapi terjemahkan pendirian beralaskan realiti.
Bahayanya, jika sesuatu penilaian berasaskan persepsi itu sudah sebati dalam pemikiran, sukar untuk menerima penjelasan dan pencerahan yang sebenar. Apabila pemikiran sudah keliru, mereka senang tawan. Sebaik-baiknya pilihlah yang berbakti. Bukannya hanya pandai menganyam persepsi. Antara panduan paling mudah untuk membuat kesimpulan atau pilihan ialah:
• Asas ideologi parti yang jelas dan praktikal. Bukan berbaur perkauman, parti anak beranak, parti geram, benci, serpihan atau parti untuk survival peribadi.
• Berprinsip yang jelas. Pemuafakatannya berpaksikan konsensus, sederhana, inklusif dan adil.
• Barisan pemimpin yang berwibawa, berintegriti, bukan suka berdolak dalik atau terlalu mudah membuat pendirian secara ‘pusingan U’.
• Rekod keberkesanan dan kecemerlangan termasuk mengurus tadbir negara meliputi bidang-bidang ekonomi, sosial, politik serta gagah mendepani cabaran, selain kukuh dalam perkongsian.
Akhirnya, bertanyalah secara jujur pada diri sendiri, apa sebenar yang dicari? Jika maju, aman, selamat, sejahtera, berpadu, stabil, kekal bermaruah dan berdaulat yang diidami, maka sudah tiada lagikah elemen-elemen ini di persekitaran ini?
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
✍ Sumber Pautan : ☕ KAKI PALU
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2hSEInq
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment