MALAYSIA MUDA LAWAN MALAYSIA TUA
AKU tak pernah dewasa. Setidaknya itulah kepercayaan yang aku pegang. Mungkin sekitar 2005, aku tak meningkat usia. Aku kekal pada umur mental 21, walaupun kepala yang kian botak serta perut yang kian boroi membuktikan andaian aku itu salah saban hari.
Tidak sendirian, golongan seperti aku ini wujud di antara gerombolan yang memanggil diri mereka millennial, generasi semua nak cepat – YouTube lambat loading boleh mengamuk bawa golok; dan mereka yang habis SPM sekitar awal 2000 juga, namun bergegas mahu menikah beranak-pinak. Sekarang bilangan bini dan anak sudah sama banyak.
Kami tak ramai, tapi kami ada. Dan kami tersepit di celah fabrik masyarakat dan ‘uruf sosial tentang kelaziman manusia normal supaya berkeluarga, membeli rumah, berkerjaya, membeli insuran, punya hobi memancing, bawa keluarga makan angin setahun sekali dan sebagainya.
Kami juga tersepit di celah dua generasi. Meminjam istilah kawan-kawan, marilah kita melabel generasi pertama sebagai ‘Malaysia Muda’ dan yang kedua sebagai ‘Malaysia Tua’.
Perlawanan muda-tua bukan perkara baru. Ketika negara bertatih menuju merdeka, pertembungan Kaum Muda dan Kaum Tua turut berlaku.
Pada zaman itu, gerombolan Kaum Muda juga bergerak melalui penulisan, membina organisasi dan berwacana. Sama sepertimana anak-anak muda kini menghasilkan zine, menyusun gerakan dan bikin forum berbincang nasib bangsa di auditorium Dewan Perhimpunan Cina.
Kaum Tua pada waktu itu juga sama dengan orang tua-tua zaman ini. Atau apa yang disebut sebagai ‘League of Extraordinarily Old Men’ oleh seorang sahabat saya dalam kolumnya baru-baru ini. Mereka punya gambaran dan idea berasaskan pengalaman, lalu membawa wacana hasil endapan pengalaman dan idea itu.
Atuk Nenek lawan Cucu Cicit
‘Liga Atuk-Nenek’ di Malaysia ini sekarang sedang diasak cucu-cicit mereka yang tidak puas hati dengan banyak hal. Hasil rasa tidak puas hati itu, khabarnya kini generasi Malaysia Muda mahu terus jadi apolitikal, tidak memihak dan tidak mahu terlibat dalam pilihanraya.
Hakikatnya mereka berhak untuk bertindak demikian. Malaysia yang kian melingkup hari ini adalah hasil karya Malaysia Tua. Siapa lagi yang patut mereka marah, kan?
Malaysia Muda hari ini berdepan masalah mencari kerja; kalau pun ada kerja, gaji pula tidak cukup. Gaji yang tidak cukup itu menjadikan mereka tidak mampu berkeluarga – kos sara hidup tinggi, sewa rumah mahal; apatah lagi mahu membeli rumah.
Keluar universiti sahaja sudah terbeban dengan hutang. Hutang yang ditanggung demi sebuah pendidikan yang khabarnya akan menjamin pekerjaan. Penyudahnya terpaksa memilih untuk jadi pemandu Uber. Maka pandulah kereta yang hak miliknya dituntut bank.
Kebetulan bertemu kekasih ketika memandu Uber, maka gatal mahu menikah. Ambil pinjaman peribadi. Bakal isteri mahu hantaran sembilan dulang, satu dulang khas untuk sebiji playstation. Nak jadi cerita, bakal isteri kaki main game. Nah, sekarang sudah bertambah risiko mahu tergolek muflis.
Dasar dan kebijakan hasil usaha Malaysia Tua lah yang membawa akibat yang kini ditanggung Malaysia Muda. Maka tidak hairan kenapa mereka menyampah dengan orang politik di kedua-dua belah pihak. Apatah lagi kalau orang politik itu bukan tergolong sama miskin dan bergelut mahu hidup.
Pun begitu, adakah bertindak tidak memihak itu jalan bijak untuk menunjukkan jari tengah kepada orang politik?
Kita pernah remaja
Sepuluh tahun lalu, ketika tsunami politik 2008 membadai negara dan merubah segala-galanya; aku antara ramai anak muda yang memilih untuk tidak pulang mengundi meski layak dan telah mendaftar. Menurut aku, pilihan yang ada ketika itu adalah seperti Pepsi dan Coca Cola. Ya, bukan baru tahun ini orang buat perbandingan itu.
Adakah pilihan yang aku buat itu tepat? Kerana tidak mahu memilih Pepsi dan Coca Cola maka aku memilih untuk tidak minum air. Bila tercekik, nak menyumpah siapa selain diri sendiri?
Zaman telah berubah. Coca Cola pun sudah ada banyak jenis. Tetapi generasi Malaysia Muda masih ada yang enggan ambil peduli, sama seperti sepuluh tahun lalu. Wacana ketidakpedulian anak muda terhadap politik adalah wacana yang tidak pernah berhenti selagi ada langit dan bumi.
Selagi belum merasa perit mencari duit dan kemudian melihat duit itu mengalir keluar ke poket kerajaan, selagi itu lah anak muda akan terus tidak peduli dengan politik. Aku tahu ini benar. Aku pun lalui perkara sama, terutamanya ketika sudah berkereta dan menyumpah setiap kali mengisi minyak.
Sikap tidak berpihak dan tidak peduli memang kombinasi padu yang memberi nyawa kepada sebuah rejim yang tidak mahu mati.
Akan jadi kelakar kalau hari ini kita memilih untuk tidak memihak dan tidak peduli, apabila nanti anak cucu kita pula menyumpah seranah kehidupan mereka yang kita rosakkan, hasil aksi kita untuk tidak memihak dan tidak peduli.
– http://ift.tt/2pAR1dR
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2A3GJYF
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment