Jamal Yunos dihalang masuk Sarawak
PETALING JAYA : Selepas beberapa pemimpin pembangkang dihalang masuk Sarawak, kini giliran pemimpin UMNO pula yang disekat masuk ke negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 11 Mei ini.
Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Yunos dihalang masuk ke negeri itu sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 11.30 pagi tadi.
Dia dipercayai pemimpin UMNO pertama yang dihalang masuk dan kemungkinan besar disebabkan kenyataan-kenyataannya yang bersifat perkauman.
Ketika dihubungi FMT, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau tiba di Kuching bersama tujuh rakannya tetapi empat termasuk dirinya dihalang masuk.
Tiga lagi rakannya yang dihalang masuk adalah Ariffin Abu Bakar, Rahim Ibrahim dan Razali Zakaria dan kesemua mereka terlibat dalam Gabungan NGO Melayu.
“Apa masalahnya kami nak masuk ke Sarawak? Kita pun rakyat Malaysia juga. Kita nak jumpa rakan-rakan NGO di sini.
“Kita datang bukan nak buat demo di Sarawak. Kalau NGO DAP, NGO Cina macam-macam boleh pula masuk,” katanya yang akan pulang ke KLIA menerusi penerbangan jam 2.40 petang ini.
Sebelum ini, beberapa tokoh bukan pembangkang turut dihalang memasuki Sarawak termasuk pensyarah dan penceramah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah dan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.
Kedua-duanya dipercayai dihalang masuk kerana sering membuat kenyataan kontroversi yang berbaur perkauman.
Dalam perkembangan terbaru, Jamal akan mengadakan sidang akhbar jam 4 petang ni di KLIA.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1V2RO0r
Post a Comment