Nilai hadiah RM30 bukannya isu di sini
Usaha dan semangat seseorang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Malah, ia tidak tidak sepatutnya diukur dengan wang lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak. Benarlah kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Beliau tidak menafikan nilai hadiah yang diterima pemenang program Junior Cycling Malaysia (JCM) adalah kecil, namun tetap dengan pendirian bahawa ia dibuat atas dasar tidak mahu bakal-bakal atlet negara itu terdidik dengan wang ringgit.
“Jika dari peringkat kanak-kanak kita sudah biasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupakan matlamat utama mereka berjuang dalam sukan,” tulis Khairy dalam status Facebooknya sebagai respon kepada netizen yang berpuas hati dengan nilai wang RM30 kepada pemenang Junior Cycling Malaysia (JCM).
Malah satu laporan portal Astro Awani mendedahkan negara-negara Barat tidak endah pun hal beri hadiah berupa wang tunai kepada pemenang sukan basikal junior (kategori kanak-kanak).
Ia mengambil contoh negara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang tidak memperuntukkan sebarang hadiah wang tunai. Sekali lagi saya akui rasionalnya perkara yang sama dilakukan di Malaysia.
Walau bagaimanapun, kalaulah anak saya sendiri yang memenangi pertandingan itu dan memperoleh mock cheque dari tangan Menteri Belia dan Sukan, yang tall, dark and handsome, dan dirakam pula lensa liputan media, pasti sakit hati saya melihat jumlah wang yang tertera itu.
Bagi saya amaun yang langsung tidak masuk akal dan lebih dari itu, agak menyesalkan.
Bukan bererti kita mementingkan wang. Cuma daripada memalukan nama penganjur yang terdiri daripada kementerian itu sendiri, mencetus perbahasan dalam laman sosial, mempamerkan amaun yang sangat kecil, eloklah dari awal lagi penganjur tidak menyediakan sebarang hadiah wang tunai sebagai hadiah.
Ya, baik langsung tiada!
Dalam hal ini, saya berpendapat ‘nothing better than something’ kerana ‘something’ itu umpama tidak membawa apa-apa motivasi atau semangat malah menyebabkan kementerian dan penganjur diseret ke pelbagai persoalan.
Lihat sahaja skandal penipuan wang berjuta-juta ringgit dan salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan dalam kementerian itu baru-baru ini. Justeru, ramai yang mempersoalan jika berlaku ketirisan dalam kejohanan JCW apabila kementerian dilapor memperuntuk RM2 juta untuk projek tersebut dan hanya RM7,600 yang disediakan sebagai pakej hadiah wang tunai untuk kesemua pemenang dari 18 kategori.
Saya tidak pasti sama ada ia relevan, tetapi sebagai rakyat biasa, saya agak terkejut dengan peratusan peruntukan itu.
Kalaulah penganjur menyediakan trofi, sijil sahaja atau mungkin hadiah berupa hamper atau berbentuk barangan seperti basikal (memandangkan ia pertandingan basikal), barangan berjenama (takkan JCM tidak boleh mencari sponsor untuk hadiah?) ataupun kursus percuma untuk memperbaiki lagi skill kesukanan, bukankah ia lebih relevan dan tidak mengundang rasa tidak puas hati?
Jangan memalukan nama kementerian dan menteri serta penganjur dengan memberikan amaun yang boleh mencetus kontroversi. Mungkin Khairy perlu memastikan perkara remeh seperti ini tidak berulang daripada terus mempertahan kesilapan yang telah dilakukan.
Bila saya beri ‘ang pau’ dua not merah kepada anak saya sempena Tahun Baharu Tamil pagi tadi, dia minta not biru (RM50) atau ungu (RM100). Budak-budak sekarang lebih tahu nilai wang daripada kita!
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1VXBPzp
Post a Comment