Pembangkang Tubuh Pakatan Harapan Sarawak Untuk Hadapi PRU14
KUCHING: DAP Sarawak, PKR Sarawak dan Parti Amanah Negara Negeri Sarawak (Amanah Sarawak) hari ini mengumumkan penubuhan gabungan dikenali sebagai ‘Pakatan Harapan Sarawak’ sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menjadi jurucakap gabungan itu, berkata mereka juga telah memuktamadkan rundingan mengenai peruntukan kerusi.
“Pada asasnya, persetujuan yang dicapai ialah bagi PRU14, parti berkenaan akan bertanding di kerusi Parlimen yang mereka tandingi pada PRU13.
“Amanah akan mendapat kerusi yang ditandingi oleh PAS dahulu,” katanya pada satu sidang media bersama di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan Pengerusi Amanah Sarawak, Fidzuan Zaidi.
“Mungkin akan terdapat beberapa perubahan, tapi ia tertakluk kepada persetujuan dua hala antara parti terlibat.
“Sekiranya konsensus tidak dicapai, kami akan kembali kepada aturan bahawa parti yang bertanding di sesuatu kerusi pada PRU13 akan mempertahankannya pada PRU14,” kata Chong.
Chong, yang juga Anggota Parlimen Bandar Kuching dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, berkata ketiga-tiga parti itu juga membentuk sebuah sekretariat dianggotai dua wakil daripada setiap parti.
Katanya, sekretariat berkenaan akan menyelaras aktiviti dan kerjasama antara parti berkenaan serta bertanggungjawab untuk merangka manifesto bersama Pakatan Harapan Sarawak untuk PRU14.
Chong berkata gabungan itu mungkin bertanding di kesemua 31 kerusi Parlimen.
Sementara itu, Baru berkata beliau mungkin tidak menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
— BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mEQPo3✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment