Ruminah Sidek : Hampir 50 Tahun Dalam Bidang Seni
PELAKON versatil, Ruminah Sidek, 70, atau lebih dikenali sebagai Mak Mah mengakui tidak menyangka sudah hampir 50 tahun bergelar anak seni dan masih lagi aktif sehingga ke hari ini.
Menceritakan kembali awal penglibatannya dalam bidang seni, kata Mak Mah, segalanya bermula apabila dia sering didedahkan oleh bapanya untuk lebih mengenali seni kebudayaan Melayu.
“Kalau diikutkan, Mak Mah waktu kecil-kecil dulu memang tak minat langsung bidang seni, tapi terpaksa sertai pelbagai acara kebudayaan kerana desakan ayah.
“Bila sudah selalu terlibat aktiviti seni, lama-lama jadi biasa, apatah lagi sering dapat undangan persembahan di pelbagai majlis keraian sehingga turut dapat perhatian banyak pihak termasuk RTM.
Tambahnya lagi, dia setuju hadir ke sesi uji bakat kerana menghargai usaha wakil RTM yang sanggup datang ke rumahnya di Meru, Klang semata-mata untuk menawarkan peluang itu kepadanya.
“Alhamdulillah Mak Mah lulus uji bakat tu, berbaloilah perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur yang mengambil masa selama hampir dua jam untuk sampai dengan tambang bas RM1.50 pada 1967 tu.
“Keluarga Tompel merupakan program radio pertama melibatkan Mak Mah dan dari situlah Mak Mah mula masuk bekerja dalam bidang seni secara serius dan profesional,” katanya yang ketika itu baru sahaja menginjak usia 21 tahun.
Setahun kemudian, rezeki sekali lagi menyebelahinya apabila dapat tawaran berlakon filem dan lebih menarik tawaran itu datang daripada seniman tersohor, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Anak Bapak filem pertama lakonan Mak Mah dan kemudian filem Gerimis di mana kedua-duanya arahan P Ramlee sendiri pada 1968.
“Alhamdulillah, Anak Bapak dapat sambutan hangat ketika ditayangkan di pawagam dan nama Mak Mah juga mula dikenali ramai menerusi filem komedi itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, selepas kematian suaminya, Allahyarham AR Tompel, pelakon yang cukup dikenali kerana komitmen dan disiplin yang tinggi mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia seni.
Malah ketika berumah tangga kembali dengan suami barunya, Mak Mah mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.
“Suami baru bukan orang seni, jadi Mak Mah takut dia tidak faham, namun sebaliknya berlaku apabila suami mahu Mak Mah teruskan kerjaya seni.
“Jadi Mak Mah kembali aktif bidang seni sehinggalah ke hari ini di mana orang masih lagi sudi beri peluang Mak Mah berlakon di kaca TV dan layar perak,” katanya.
Berkongsi kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar anak seni, kata Mak Mah semestinya saat diberi pengiktirafan.
“Anugerah bukanlah sesuatu yang kita kejar, namun penghargaan itu sangat besar ertinya buat anak seni.
“Paling manis ketika dinobat Pelakon Wanita Terbaik pada anugerah yang mengiktiraf kerja anak-anak seni,” jelasnya.
Selain itu, kata Mak Mah kenangan ketika bersama peminat juga menjadi antara detik manis yang akan dikenang sampai bila-bila.
“Ingatkan tidak ada peminat, tetapi ketika orang RTM datang jumpa pujuk Mak Mah, mereka bawa banyak surat peminat mahu Mak Mah kembali berlakon.
“Masa zaman tengah popular dulu, setiap kali pergi makan dan nak bayar mesti tuan kedai beritahu ada peminat dah bayarkan tanpa pengetahuan kami,” ceritanya.
✍ Sumber Pautan : ☕ KAKI PALU
Kredit kepada pemilik laman asal dan untuk meneruskan bacaan di laman asal sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2pc2O0E
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment