Asid Urik Berlebihan
Pembentukan batu karang dalam sistem urinari manusia akibat pengambilan dan penghasilan asid urik serta kalsium berlebihan adalah isu kesihatan biasa sering dialami kebanyakan rakyat Malaysia.
Berdasarkan kajian, penyakit batu karang lebih berisiko terjadi dalam kalangan rakyat di negara yang terletak di garisan khatulistiwa dan tropika, beriklim panas seperti Amerika Utara dan hampir semua negara di benua Asia termasuk Malaysia.
Faktor kurang pengambilan air sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter meskipun cuaca panas dikatakan satu daripada penyumbang kepada penyakit batu karang. Pakar Urologi, Dr Poongkodi Nagappan berkata sistem perkumuhan membabitkan urinari (kencing) manusia merangkumi kedua-dua ginjal (buah pinggang), ureter, pundi kencing dan uretra.
Ginjal berfungsi menapis sel darah merah dan menyingkirkan hasil perkumuhan melalui sistem urinari sebagai air kencing. Manakala ureter pula bertindak menyalurkan air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing.
Pundi kencing yang berfungsi menyimpan air kencing sebelum dikumuhkan daripada badan, kemudian dikeluarkan melalui uretra atau salur kencing. “Masalah batu karang boleh menimpaa mana-mana individu tanpa mengira faktor jantina dan usia sama ada dewasa mahupun kanak-kanak.
“Pembentukan batu karang terjadi apabila ginjal gagal menapis kehadiran bahan seperti kalsium, asid urik dan bakteria seperti Proteus, Psedomonas dan Klebsiella seterusnya melekat pada dinding buah pinggang.
“Pembentukan batu karang ini selalunya bermula daripada buah pinggang, seterusnya terjadi di dalam saluran ureter dan pundi kencing, apabila batuan itu terjatuh di kedua-dua bahagian berkenaan. Hasilnya, air kencing pesakit akan menjadi lebih pekat kerana air kencing bertakung dalam salur ureter dan pundi kencing.
“Di Malaysia, batu karang yang disebabkan asid urik adalah lebih tinggi iaitu 17 peratus berbanding hanya empat peratus di negara Barat. Ini menunjukkan gaya pemakanan antara faktor kepada penyakit batu karang berlaku di negara ini.
“Selain masalah metabolisma tubuh, asid urik didapati dalam makanan seperti makanan laut terutama kerang, sotong, ikan bilis dan ikan sardin. Tabiat suka makan organ dalaman seperti hati, paru-paru dan usus, pelbagai jenis kekacang dan ulaman yang mengandungi sumber protein tinggi turut menyebabkan pembentukan batu karang,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai tempoh pembentukan batu karang dalam sistem kencing manusia, beliau berkata proses itu tidak dapat dikenal pasti kerana ia bergantung pada kuantiti pengambilan makanan berasid urik dan kalsium tinggi, selain faktor metabolisma individu berkenaan.
Jelasnya, saiz batu karang boleh membentuk dengan ukuran panjang dan lebar sebanyak dua sentimeter malah memenuhi ginjal, justeru rawatan bagi batu karang ini ditentukan berdasarkan saiz dan lokasinya.
Kata Dr Poongkodi, batu karang boleh keluar sendiri bersama air kencing seperti berpasir dengan saiz kurang empat milimeter.
Mendedahkan terdapat dua kategori rawatan batu karang, sama ada bukan pembedahan seperti pengambilan ubatan bagi melarutkan batu karang ataupun rawatan Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy (ESWL) bagi batuan lebih kecil, kurang daripada 1.5 sentimeter.
Kategori kedua adalah menerusi pembedahan seperti endoskopi dan pembedahan yang sememangnya jarang dilakukan masa kini, melainkan batu karang terbentuk di kawasan yang kompleks dan sukar. Pembedahan endoskopi pula dilakukan mengikut kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah batu karang.
“Batu karang yang terdapat di pundi kencing selalunya dipecahkan menjadi cebisan batuan kecil menggunakan laser atau imbasan bunyi.
“Bagi batu karang di salur ureter, kita akan menggunakan ureteroscopy (URS) sebagai kaedah rawatan. Begitu juga, rawatan batu karang bersaiz kecil pada ginjal akan menggunakan URS lebih fleksibel, manakala kaedah percutaneous nephrolithotomy (PCNL) untuk batu karang bersaiz besar,” katanya.
Kata Dr Poongkodi lagi, pesakit batu karang yang berusia 35 tahun ke bawah dikategorikan pesakit berisiko tinggi dan perlu mengikuti rawatan susulan kerana mereka berisiko mendapat penyakit ini berulang. Penyakit batu karang berulang terjadi disebabkan masalah saluran kencing abnormal, kadar metabolisma tubuh yang menjurus kepada tahap keasidan air kencing yang tinggi.
Antara gejala awal batu karang termasuk rasa sakit sekiranya batu karang berada di salur ureter, mikroskopik hematuria (kencing berdarah), sakit di bahagian belakang dan pinggang, kesukaran untuk kencing dan jangkitan kuman.
Saranan beliau, masyarakat perlu mengamalkan tabiat minum air sekurang-kurang dua liter sehari bersamaan enam hingga lapan gelas atau kekerapan ke tandas pada skala lima hingga enam kali sehari.
Tegasnya juga, pengambilan kalori seimbang diperlukan tubuh antara 2,000 (perempuan) dan 2,500 (lelaki) sehari juga penting, seiring dengan faktor berat badan, usia dan kadar metabolisma tubuh. Selain itu, masyarakat perlu mengawal kadar diabetes, obesiti dan mengurangkan tabiat pemakanan yang mengandungi asid urik tinggi.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2wt1zA2
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment