BN PULAU PINANG PERLU JADI PEMBANGKANG YANG KUAT: TPM
TASEK GELUGOR – BN Pulau Pinang perlu keluar dari zon selesa dan menjadi pembangkang yang kuat di Pulau Pinang bagi memastikan rakyat negeri ini kembali kepada BN, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden itu berkata walaupun Umno dan BN menjadi pembangkang di negeri ini, namun sifat sebagai pembangkang itu tidak diterjemahkan dengan sebaiknya.
“Kita terpukul dua kali dalam pilihan raya umum yang lepas. Sifat kepembangkangan belum dirasai rakyat Pulau Pinang. DNA Umno, Gerakan, MCA, MIC dan parti-parti komponen BN masih lagi berasa selesa kerana mempunyai kiblat di Putrajaya (kerajaan pusat) yang dikuasai BN dan Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi perdana menteri.
“Sudah tiba masanya kita bangkit, bersatu di dalam saf kepimpinan dan rampas semula Pulau Pinang. Kita ditekan dengan kepelbagaian isu, kita diasak ke dinding dengan pelbagai permasalahan.
“Saya lihat kita yang berada di dalam DNA BN kita bersabar (tapi) sabar ada hadnya, ada batasnya,” katanya merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tasek Gelugor dan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun BN hanya mempunyai 10 kerusi Dun dan tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang, namun ia boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk parti terus bergerak dan bekerjasama dengan NGO bagi mengembalikan negeri ini kepada BN.
Ahmad Zahid berkata, banyak jasa BN di negeri ini yang telah dinafikan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP dan sudah tiba masanya untuk BN bangkit menggunakan isu-isu itu menyerang semula pakatan harapan demi membela rakyat Pulau Pinang.
“Terlalu banyak isu yang menyentuh kerajaan negeri terdahulu telah dinafikan oleh kerajaan negeri dan rakyat terpinggir. Mereka menikmati buah kepada kerja keras Gerakan, tonggak kita telah dinafikan kerajaan negeri. Sudah tiba masa kita bangkit, bangun, berlari, bergerak untuk merampas kembali…tak ada jalan lain,” katanya.
Beliau berkata, Umno juga tidak pernah lupa mengenang jasa orang lama dan tidak pernah menafikan sumbangan yang telah diberikan.
“Apabila zaman seseorang telah lepas, lepaslah. Kami hormat pada orang lama tapi orang lama perlu sayang pada orang baru. Apabila depa (mereka) bagi peluang kepada orang selepas depa tentu jasa itu tetap jasa, kita kenang jasa,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun untuk kekal dihormati, orang lama juga jangan menafikan jasa, sumbangan dan perubahan yang dilakukan orang baru sehingga merosakkan pemikiran rakyat.
Ahmad Zahid menyifatkan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai contoh terbaik pemimpin kerana tidak pernah menikam Umno dan BN dari belakang selepas tidak mempunyai jawatan.
Beliau turut mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak melaga-lagakan beliau dengan Najib kerana perkara itu tidak akan menjadi kenyataan.
“Wala’ saya tak payah siapa pertikai. Saya ada dalam Umno pegang jawatan dalam Pemuda kerana Datuk Seri Najib. saya dah lama dengan Datuk Seri Najib bermula 1 Okt 1987 apabila saya dilantik menjadi setiausaha politik Datuk Seri Najib. Insya-ALLAH, wala’ itu akan tetap hingga ke hujung nyawa,” katanya.
Mengulas mengenai Parlimen Tasek Gelugor, Ahmad Zahid menganggap Parlimen itu sebagai simpanan tetap kepada BN dan menggesa barisan kepimpinan Umno Bahagian Tasek Gelugor untuk meningkatkan jumlah majoriti pada PRU14.
Beliau berkata, prestasi jumlah undi yang diperoleh Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri kawasan itu sejak pilihan raya umum 2004 semakin menurun dan keadaan itu perlu diperbaiki pada PRU14.
Katanya Pakatan Harapan meletakkan Tasek Gelugor sebagai sasaran untuk dimenangi pada PRU14.
– Bernama
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2wZXCiF
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment