Prosiding ditangguh selepas Mahathir bidas Najib
Alyaa Azhar Hari ini, 2:04 tengahari
LANGSUNG Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditugaskan untuk mengkaji kerugian berbilion ringgit oleh Bank Negara Malaysia dalam pertukaran asing.Malaysiakini menyiarkan prosiding itu secara langsung.
12:50pm: Mahathir tidak melepaskan peluang bagi membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Hasrat utama kerajaan dalam membentuk RCI, katanya, tidak lain adalah untuk menimbulkan tekanan kepada dirinya, Anwar, dan pengkritik Najib berhubung dengan skandal 1MDB.
"Dalam erti kata lain, kerajaan sedang cuba mengalihkan tumpuan rakyat dari imej negatif yang dihadapi oleh kepimpinan kleptokrat Najib yang telah menjadi bahan ketawa di seluruh dunia."
Dakwaannya itu, kata Mahathir adalah berdasarkan fakta-fakta kronologi yang telah menjadi asas dalam permohonan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk membentuk RCI menyiasat 1MDB.
1.10pm: Prosiding ditangguhkan dan akan diteruskan pada jam 2.15 petang.
12:35pm: Mahathir merujuk kenyataan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Clifford Herbert yang yang mendakwa beliau sebagai berkata "kadang-kadang kita untung, kadang-kadang kita rugi" apabila diberitahu mengenai kerugian urus niaga bank pusat itu.
"Walaupun saya tidak ingat sama ada saya berkata atau tidak 'kadang-kadang kita untung atau rugi’ saya tidak fikir ini pelik kerana pada tahun 1980-an, Jaffar memaklumkan bahawa dagangan forex pada masa itu telah membantu dalam mengimbangi rizab negara."
Namun, Mahathir mendakwa bahawa beliau tidak diberitahu mengenai kerugian RM30 bilion itu.
"Apa yang pasti, jika saya berkata demikian, ini meyakinkan saya bahawa kerugian RM30 bilion itu tidak disebutkan kepada saya.
"Jika itu disebut, mustahil bagi saya berkata demikian," katanya.
12:20pm: Dr Mahathir mengakui bahawa beliau pernah dijemput oleh Jaffar ke bilik urus niaga forex Bank Negara.
"Sepanjang masa saya sebagai perdana menteri, saya pergi ke sana hanya sekali kerana Jaffar ingin tunjukkan ruang urus niaga forex.
"Saya berada di sana selama setengah jam, saya berada di sana untuk memenuhi jemputannya,” katanya.
Merujuk pertemuan dengan Jaffar itu, Mahathir berkata beliau dimaklumkan secara lisan oleh gabenor bahawa rizab negara dan ringgit boleh diperkukuhkan melalui perdagangan forex.
Bagaimanapun, katanya keputusan Jaffar supaya negara aktif dalam perdagangan forex, tidak dibuat dengan pengetahuannya.
12:15pm: Giliran Mahathir memberi keterangan.
Membaca kenyataan saksi beliau, Mahathir berkata bahawa Bank Negara beroperasi secara bebas sebagai sebuah badan yang dicipta di bawah Ordinan Bank Negara Malaysia dan mempunyai struktur sendiri dan dipimpin oleh seorang gabenor.
"Gabenor mempunyai tugas untuk melaporkan kegiatan Bank Negara dari semsa ke semasa kepada lembaga pengarahnya.
“Sebagai perdana menteri, saya tidak pernah terlibat dalam pentadbiran Bank Negara dan saya percaya bahawa saya tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk terlibat dalam dasar dan urusannya."
Mahathir, bagaimanapun, berkata ini tidak bermakna bahawa gabenor tidak pernah bercakap mengenai Bank Negara secara umum.
"Tetapi semua perbincangan itu hanya normal tanpa butiran berhubung dengan aktiviti khusus Bank Negara," katanya.
11:00am: Daim berkata beliau pastinya akan menghentikan urusniaga forex bank pusat itu jikamengetahui tentang kerugian yang ditanggung.
Sidek, sebelum itu merujuk kenyataan P Kanason Pothinker yang merupakan bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara yang mempersoalkan kesahihan kegiatan forex bank pusat.
"Kanason bersusah payah, dia menjalankan tanggungjawabnya dengan serius. [...]
"Kamu, seorang menteri (ketika itu), (tetapi) tidak tahu, saya dapati ini sangat pelik," katanya.
Daim bagaimanapun berkata bahawa beliau tidak boleh bersetuju kerana beliau "tidak tahu apa-apa" tetapi dicelah oleh Sidek yang berkat "tetapi semua orang tahu!"
Daim sekadar berkata, beliau akan menghentikan aktiviti forex jika mengetahuinya.
"Sekiranya saya tahu, saya akan hentikannya, tidak mungkin saya membenarkan perkara ini berlaku, saya akan pecat (mereka yang bertanggungjawab)," katanya.
10:40am: Daim menegaskan bahawa Bank Negara adalah bebas dan beliau tidak dimaklumkan tentang urusannya.
"Sebagai Menteri Kewangan dari Julai 1984 hingga Mac 1991, saya tidak mempunyai sebarang obligasi untuk memantau operasi/perjalanan Bank Negara.
“Bank Negara bebas dari segi kawalan dan operasi. Menteri Kewangan tidak mempunyai sebarang obligasi ke atas operasi BNM.
"Bank Negara sebahagian daripada kerajaan tapi bebas dari segi operasi. Lembaga Pengarah Bank Negara yang bertanggungjawab ke atas operasinya, " katanya.
Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bagaimanapun, berkata, walaupun bank pusat itu adalah bebas, undang-undang mengkehendakinya memaklumkan sebarang urusan kepada menteri yang bertanggungjawab.
"Tetapi itu adalah tugas mereka, bukan kerja saya," kata Daim.
Merujuk tempoh perkhidmatannya sebagai bekas ketua setiausaha negara, Sidek (foto, kanan) mengakui bahawa beliau tidak mengharapkan untuk mengetahui segala-galanya.
"Tetapi perkara yang mempengaruhi dan memberi impak kepada negara, saya tentu mahu dimaklumkan.
“Jika mereka memilih untuk tidak memberitahu, apa yang boleh saya lakukan, tetapi jika ini dilaporkan di akhbar?"
Daim, bagaimanapun, menegaskan bahawa tidak ada cakp-cakap mengenai perkara itu pada masa tersebut.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel RCI, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, bahawa Daim mesti menyedari trend dan perubahan berhubung dengan dagangan forex.
"Kamu berkata bahawa kamu tidak dimaklumkan, adakah ini bermakna bahawa gabenor melapor terus kepada perdana menteri?" soalnya
Daim, bagaimanapun, berkata jika ia sedemikian, maka ini adalah satu keingkaran di pihak bank pusat.
10:38am: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Kehakiman dan terus menuju ke kamar prosiding.
Mahathir tiba lima minit kemudian, dan beliau diarahkan untuk terus ke kamar saksi.
10:20am: Giliran Daim memberi keterangan Beliau adalah menteri kewangan dari 1984 hingga 1991. Katanya, Bank Negara mula aktif dalam perdagangan forex pada tahun 1988.
Daim juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah membincangkan kegiatan forex bank pusat dengan perdana menteri.
Malah, katanya, Jaffar, juga tidak pernah membincangkan secara terperinci dengannya tentang urusan forex.
9:30am: Othman berkata mesyuarat pada bulan November 1994 yang dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara (Othman tidak ingat siapa timbalan gabenor ketika itu), Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Clifford Herbert dan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid memutuskan bahawa penjualan saham milik kerajaan hendaklah dilakukan “secara senyap-senyap"
Othman dan pesuruhjaya RCI, Datuk Kamaluddin Md Said kemudiannya bertikam lidah berhubung penualan saham secara senyap-senyap itu.
Kamaluddin: Penjualan saham dibuat senyap-senyap.
Othman: Mungkin daripada perbincangan diadakan.
Kamaluddin: Saya tak minat dengar fakta-fakta mungkin.
Othman: Saya based on ingatan sahaja.
Kamaluddin: Sama ada Datuk tau atau tak.
Othman: Setakat on ingatan saya sahaja.
Apabila Othman berkata beliau tidak pasti mengenai butiran yang berkaitan pelantikan Tan Sri Jaffar Hussein sebagai Gabenor Bank Negara, Kamaluddin meninggikan suaranya dan berkata bahawa Othman sepatutnya mengetahui perkara itu.
Walau bagaimanapun, Othman menjawap dengan mengatakan bahawa beliau tidak dapat mengingati segala perkara yang berlaku puluhan tahun lalu.
Othman: Tak semestinya (saya) ingat (atau) tahu semua yang berlaku puluh-puluh tahun lalu.
Saya tak ingat Jaffar ambil alih daripada...
Mintak maaf tak dapat bantu Inquirer ini, berasaskan ingatan saya...
9:00am: RCI bermula dengan bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan di Kementerian Kewangan, Datuk Othman Che Jusoh memberi keterangan.Beliau adalah saksi ke-22.
Ini bakal diikuti dengan Daim. Mahathir belum kelihatan di kompleks itu, dan dijadualkan memberi keterangan pada pukul 11 pagi.
Beliau dijangka menjadi saksi ke-24, selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil pada 7 September lalu sebagai saksi ke-21.
Sebelum ini, bekas perdana menteri itu hadir sebagai pemerhati semasa prosiding itu sebanyak dua kali.
Setakat ini, prosiding yang dijalankan menyaksikan kebanyakan saksi berkata bahawa mereka tidak membincangkan kerugian forex dengan Mahathir.
Antara mereka, termasuk bekas penasihat Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengakui bahawa beliau tidak pernah membincangkan transaksi forex pada tahun 1986 hingga 1993 dengan Dr Mahathir dan Anwar.
Seorang bekas peniaga forex dengan bank pusat itu juga mengakui bahawa Mahathir tidak pernah memasuki bilik urusan forex Bank Negara.
Skandal forex berlaku sekitar akhir 1980-an dan awal 1990-an semasa Mahathir adalah perdana menteri.
Ada pihak mendakwa RCI forex ditubuhkan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba membalas dendam terhadap seteru politiknya dan mengalihkan tumpuan ke atas skandal 1MDB.
Suruhanjaya dengan enam keanggotaan itu dipengerusikan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Anggota lain adalah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.
Selain itu, Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail, yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan berkenaan.
✍ Sumber Pautan : ☕ mountdweller88
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2xJFQUk
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment