UMNO LEBIH KUAT, PEMBANGKANG SEDANG KACAU BILAU, KATA NAJIB
KEDUDUKAN Umno kini semakin kukuh berbanding pakatan pembangkang yang berada dalam keadaan “kuchalana” akibat dilanda pelbagai masalah, kata Perdana Menteri Najib Razak.
Presiden Umno itu berkata, situasi itu membolehkan Umno menerusi jenteranya termasuk Biro Kebajikannya terus bergerak mendekati rakyat membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara terutama masyarakat luar bandar.
“Kita lihat pembangkang sekarang dalam keadaan ‘kuchalana’ biarlah dia terus ‘kuchalana’ namun kita parti Umno tetap terus kukuh dan komited membantu rakyat baik dalam keadaan susah mahupun senang,” katanya.
“Kuchalana” yang merupakan dialek Pantai Timur membawa maksud berserabut, kucar kacir atau tidak tersusun.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Program Umno Bantu Rakyat Fasa 2 dan Jom Simpan Bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di perkarangan Masjid Kampung Tanjung Medang, Pekan, Pahang hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia Dr Shamsul Anuar Nasarah dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar Mohamad Fakharuddin Mohd Arif.
Najib berkata, dalam setiap perkara yang dilakukan oleh parti itu mahupun kerajaan, keperluan dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dengan Biro Kebajikan Umno menjadi medium perantara antara parti dan rakyat.
“Parti ini begitu banyak berjasa dalam lipatan sejarah negara dan telah berakar umbi sejak 70 tahun lalu. Demi kelangsungan kekuatan Umno serta memastikan parti terus relevan sepanjang zaman, dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan dan parti juga mengikut peredaran zaman dan ia berjaya membuahkan hasil yang memberangsangkan,” katanya.
Najib yang juga anggota Parlimen Pekan dalam masa sama berkata, apabila kerajaan melaksanakan banyak program berimpak tinggi di kawasan bandar, ia tidak bermakna kerajaan melupakan pembangunan dan kebajikan masyarakat di luar bandar.
“Projek yang bersifat ikonik seperti Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang, kita laksanakannya supaya ekonomi lebih kukuh kerana apabila ekonomi tambah kukuh, negara akan menjadi lebih maju.
Maka bolehlah kita agihkan hasil itu kepada masyarakat di luar bandar dan golongan yang memerlukan. Kalau ekonomi negara tidak meningkat, maka kita akan kurang hasil dan kalau kurang hasil, kerajaan akan kurang kemampuan untuk bantu orang miskin dan sebab itu kita kena faham teori ekonomi ini,” kata Najib.
Pada majlis itu, lebih 3,000 murid Tahun Satu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dari 55 buah sekolah di parlimen Pekan menerima sumbangan deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM316,300.
Biro Kebajikan Umno turut mengagihkan 2,000 kit sumbangan kepada keluarga miskin dari parlimen Pekan.
– Bernama
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2mGBetd
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment