Macam mana kematian seorang juruaudit membongkar Skandal BMF
Sejak beberapa tahun kebelakangan ni, kita selalu dengar cerita pasal skandal 1MDB. Skandal ni jugaklah yang jadi punca utama kenapa pemerintahan Datuk Seri Najib Razak ni dibenci sangat oleh Tun Dr Mahathir. Tapi nampaknya ada suara-suara baru yang membangkitkan isu-isu lama di zaman Dr Mahathir.
Antara isu tersebut adalah pasal skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang meletop lepas 2 tahun beliau jadi Perdana Menteri. Isu ni mula timbul bila Agensi Perisikan Pusat (CIA) dedahkan dokumen berkaitan skandal ni. Skandal BMF ni jugak dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang juruaudit Malaysia, Jalil Ibrahim.
Jadinya, ramailah pihak yang mendesak Dr Mahathir bagi penjelasan, malah ada yang nak dia disiasat. Oleh tu, kali ni kami SOSCILI akan cuba terangkan sedikit sebanyak pasal kes yang melibatkan BMF ni.
BMF bagi pinjaman yang sangat besar pada syarikat Hong Kong
Bumiputra Malaysia Finance (BMF) adalah anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB). BMF ditubuhkan pada 1974 dan mula beroperasi kat Hong Kong pada 1977. Pada tahun 1980, BBMB dapat RM 50 juta sebulan dari PETRONAS hasil dari perjanjian untuk meningkatkan simpanan bank tu. Mungkin kerana tu jugaklah, bank ni jadi bank kedua terbesar di Asia Tenggara ketika itu.
Macam biasa matlamat asal bank ni adalah untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu, supaya para peniaga Melayu dapat buat pinjaman dan simpanan kat bank ni tanpa risau dan ragu-ragu. Tapi skandal dan masalah mula timbul bila BMF yang kat Hong Kong tu buat hal.
BMF didapati dah bagi pinjaman mudah dengan nilai yang sangat besar kepada beberapa syarikat di Hong Kong. Antara syarikat tu adalah Carrian Group dan dua syarikat berkaitan iaitu Eda Group dan Kevin Hsu Group. Carrian Group ni sebenarnya diasaskan oleh seorang jurutera awam Singapura bernama George Tan.
Pada awal tahun 1980, Carrian Group terlibat dalam banyak bidang perniagaan termasuklah perkapalan, hartanah, kewangan, katering, insuran, dan macam-macam lagilah. Syarikat ni jugak berjaya luaskan perniagaan diorang kat Malaysia, Taiwan, Jepun, New Zealand, Australia dan sebagainya.
Tapi apa yang megejutkan adalah bila George Tan beli menara Gammon House (sekarang Menara Bank of America) dengan nilai HK$1 bilion pada Januari 1980. Tapi dia jual balik bangunan tu dengan harga HK$1.6 billion pada Oktober. Disebabkan perkara tu, George Tan jadi ‘budak ajaib’ dalam dunia korporat Hong Kong secara sekelip mata je.
Tapi masalah mula muncul bila pasaran hartanah Hong Kong merosot dan jatuh mendadak pada 1982. Perkara ni terjadi bila ada perbincangan antara pihak British (masih menjajah Hong Kong masa tu) dan pihak China tentang masa depan negara itu. Perkara ni dah buatkan Carrian Group hadapi masalah kewangan.
Hal ni sekaligus dah buatkan BMF rugi bila peminjam tak dapat bayar balik pinjaman mereka. Perkara ni jadi lebih serius bila BMF jadi sumber utama kewangan Carrian Group ketika itu. Akhirnya pada 1983, Bursa Saham Hong Kong menggantung saham Carrian Group.
Terbongkarnya skandal BMF
Bila perkara ni jadi, pihak Bank Negara hantar pasukan pemeriksa ke Hong Kong pada 12 Julai 1982 untuk menyiasat perkara sebenar. Dalam tahun yang sama, pihak BBMB jugak hantar juruaudit dalaman diorang ke Hong Kong untuk menyiasat.
Hasil dari siasatan mendapati yang Carrian Group dapat sumber dana dari beberapa buah bank, tapi sumber kewangan terbesarnya datang dari BBMB melalui BMF. BMF dikatakan dah belanjakan dana sebanyak RM 2.5 bilion untuk dijadikan pinjaman kepada Carrian Group dan dua syarikat berkaitannya (Eda Group & Kevin Hsu Group).
BMF dipercayai dah bagi dana tersebut dari 3 Julai 1979 sampai 3 October 1983. Pihak Bank Negara (BNM) mendapati adanya kecacatan serius dalam urus tadbir BMF. Gabenor BNM jugak mengaku yang BMF dah lakukan perkara yang luar dari kebiasaan sebuah bank lakukan.
Pada Julai 1983, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri akhirnya bersuara mengenai isu ini. Dr Mahathir mengakui yang tindakan BMF bagi pinjaman tu adalah langkah yang tak bijak. Beliau jugak kata yang kerajaan akan lakukan tindakan kalau siasatan buktikan adanya penyelewengan dalam pengurusan.
Beberapa bulan kemudian, Dr Mahathir dalam satu sidang media bagitau yang 5 orang atasan dan pegawai BMF dah terima ‘consultancy fee’ sebanyak HK$ 3.3 juta. Beliau sifatkan perkara tu sebagai pengkhianat.
“Ketika seorang pemberita mengemukakan nama-nama bekas Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputra, Tan Sri Kamarul Ariffin; Pengerusi BMF, Encik Lorraine Esme Osman; Pengarah Bank Bumiputra dan BMF, Datuk Hashim Shamsuddin; Pengurus Besar Kanan BBMB (juga Pengarah BMF), Dr Rais Saniman dan Pengurus Besar BMF, En. Ibrahim Jaafar sebagai mereka yang turut terlibat,
Datuk Seri Dr Mahathir hanya menjawab: ‘Saya tak mahu cakap ya atau tidak’.” – Utusan Malaysia, 12 Oktober 1983.
Bagaimanapun, diorang tak didakwa atas kesalahan dapat ”consultancy fee’ tu, sebabnya walaupun benda tu tak bermoral, tapi ia masih tak menyalahi undang-undang dan diorang tak boleh didakwa. Oleh itu, kerajaan tak boleh buat apa-apa melainkan diorang sedar sendiri dan berenti.
Juruaudit Bank Bumiputra ditemui mati dibunuh
Beberapa bulan sebelum pendedahan Dr Mahathir tentang 5 orang atasan BMF tu, sebenarnya ada tragedi buruk yang jadi kepada salah seorang juruaudit BBMB. Jalil Ibrahim yang dihantar ke Hong Kong untuk menyiasat BMF ditemui mati dibunuh. Mayatnya ditemui di sebuah kebun pisang, kat New Territory, Hong Kong pada 19 Julai 1983.
Mayatnya ditemui dalam keadaan takde dompet dan kad pengenalan diri, cuma apa yang dijumpai adalah duit syiling Malaysia dalam poketnya. Sebelum itu, Jalil dah serahkan laporan auditnya sepanjang berada di Hong Kong kepada pegawai-pegawai atasannya yang berada di KL.
“Jalil ketika itu semakin bimbang dan risau tentang cara wang yang dipinjamkan kepada Carrian dan dia mahu menghentikannya.” – Philip Bowring, wartawan kewangan.
Mengikut siasatan, bila Carrian Group dalam keadaan tenat, syarikat tu ada mintak pinjaman tambahan $4 juta dari BMF. Tapi Jalil tolak permintaan pinjaman tu sebab permohonan tu masih belum dapat kelulusan dari bank induk (BBMB di Kuala Lumpur). Ni kerana Jalil adalah orang yang bertanggungjawab untuk meluluskan apa juga jenis pinjaman, disebabkan BMF tengah dalam proses diaudit ketika itu.
Hasil siasatan polis Hong Kong, dorang berjaya menangkap seorang ahli perniagaan Malaysia yang berniaga di Hong Kong bernama Mak Foon Than. Tapi bila ditangkap, Mak kata yang dia tak bunuh Jalil, tapi dia cuma orang yang masukkan mayat Jalil dalam beg dan buang mayatnya tu kat kebun. Dia kata pembunuh sebenarnya adalah seorang lelaki Korea bernama ‘Mr Shin’.
Dia jugak kaitkan pembunuhan ni dengan George Tan pengasas Carrian Group. Bermula dari situlah, kes ni jadi perhatian dunia. Tapi ada benda pelik yang jadi masa kat mahkamah. Dokumen keterangan Mak, tak sampai ke Mahkamah dan hilang begitu je sampai sekarang.
“Kenyataan 24 halaman yang dibuat oleh Mak yang mana dia memberi keterangan ke atas George Tan dan saya rasa beberapa orang lain di Malaysia hilang secara misteri dan sehingga hari ini tiada sesiapa yang tahu apa yang berlaku padanya.” – Winsome Lane, wartawan mahkamah.
Jadinya, peguambela terus kaitkan pembunuhan tu dengan ‘Mr Shin’ yang Mak kata sebelum tu. Akhirnya, pihak polis Hong Kong dengan kerjasama kerajaan Korea Selatan berjaya jumpa ‘Mr Shin’ tu dan rakam kenyataannya. Hasilnya, orang Korea tu berjaya buktikan yang dia takde kat Hong Kong pada masa Jalil dibunuh.
Mahkamah akhirnya membuat keputusan yang Mak Foon Than bersalah dan dia dijatuhkan hukuman mati. Hukuman itu kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup. Bagaimanapun, kes pembunuhan Jalil sehingga sekarang masih menjadi kontroversi kerana ia pernah dikaitkan dengan skandal Carrian Group dan BMF. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin
Petronas ambil alih hutang BMF
Disebabkan BMF dah bagi pinjaman yang sangat besar kepada syarikat-syarikat Hong Kong tu, dan syarikat-syarikat tu pulak tak dapat bayar bila diorang sendiri nak bankrup. Maka BMF dan BBMB lah yang menanggung kerugian. Jadinya pada Julai 1983, Permodalan Nasional Berhad (pemegang 70% saham BBMB) dah menyuntik RM 600 juta kepada syarikat itu.
Lepas tu, ramai pihak cuba mendesak kerajaan supaya tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasat skandal ni. Bagaimanapun, cadangan ni ditolak kerajaan dengan alasan BMF ditubuhkan kat Hong Kong dan berada luar dari perundangan Malaysia. Jadinya RCI tak boleh dilaksanakan.
Tapi kerajaan tubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan untuk siasat skandal ni. Mereka yang dilantik adalah:
- Tan Sri Ahmad Noordin (Ketua Audit Negara)
- Ramli Ibrahim (akauntan kanan dr Syarikat Peat Marwick & Mitchell)
- Chui Man Sor (Peguam dari Syarikat Chooi)
Bagaimanapun, laporan siasatan ni tak didedahkan kepada umum pada mulanya. Tapi lepas didesak, kerajaan setuju keluarkan 2000 salinan laporan, yang setiap satunya dijual dengan harga RM 250 (yang banyak beli salinan ni sebenarnya BBMB sendiri). Pada Mac 1986, kerajaan akhirnya keluarkan laporan Kertas Putih berkenaan skandal ni.
Kertas Putih tu menyatakan kerugian kewangan BMF & BBMB, tapi tak nyatakan sebarang salah tadbir urus atau sebarang unsur rasuah. Polis jugak tak jalankan sebarang tindakan walaupun terbukti ada unsur jenayah.
“Menurut peguam Negara, Abu Talib Othman, hasil Jawatankuasa Siasatan tak boleh dijadikan asas untuk tindakan undang-undang kerana hanya siasatan polis yang boleh diambil kira. Beliau juga kata yang beliau tidak dapat menahan atau mendakwa sesiapa kerana pesalah BMF tak boleh didakwa di Malaysia bagi kesalahan yang dilakukan di luar negara.” – Dipetik dari thesis Employee Fraud in Malaysia: A Case Study, juga tersiar di Star pada 30/11/1984.
Pada akhir tahun 1983, semua pinjaman bermasalah BMF dah diserahkan kepada BBMB yang berjumlah RM 2.225 bilion. Kerajaan gunakan Petronas untuk ambil alih hutang BBMB pada September 1984. Petronas beli saham BBMB yang bernilai RM 933 juta termasuk jugak pinjaman bermasalah BMF sebanyak RM 1.255 bilion. Akhirnya, Petronas jugak yang jadi mangsa.
Apa jadi kepada mereka yang terlibat?
Skandal BMF ni dah jadi liputan media antarabangsa bila ia dikaitkan dengan sebuah syarikat ternama Hong Kong, Carrian Group. Kes ni bertambah hangat bila kes pembunuhan Jalil Ibrahim juga dikaitkan dengan skandal ni.
Jadi siasatan dilakukan di Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom. Mereka yang terlibat tu mula disiasat dan dibicarakan:
George Tan (Pengerusi & pengasas Carrian Group)
Syarikatnya Carrian Group jatuh bankrup pada 1983. Dia didakwa atas kesalahan menipu kewangan dan dibicarakan dua kali pada 1986 dan 1992. Akhirnya dia mengaku bersalah pada 1996 dan dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun.
Dia keluar dari penjara pada 1999. Perbicaraan kes ni antara yang terlama di Hong Kong dan menelan kos jutaan dolar Hong Kong.
Lorrain Esme Osman (Pengerusi BMF)
Lorrain melarikan diri ke London pada 1983 untuk elak dari diekstradisi ke Hong Kong atas tuduhan rasuah. Pada Disember 1985, polis berjaya menahannya. Dia dipenjara selama 7 tahun di England sebelum dia diekstardisi ke Hong Kong untuk jalani hukuman penjara 2 bulan.
Beliau seterusnya hidup dalam buangan di London dan meninggal dunia pada 2011. Sehingga akhir hanyatnya, Lorraine masih mempertahankan dirinya tidak bersalah.
Datuk Hashim Shamsuddin (Pengarah BBMB dan BMF)
Masa Lorrain ditangkap kat London, Hashim jugak ditangkap sama. Dia akhirnya mengaku terlibat dalam aktiviti penipuan BMF melibatkan HK$ 1.05 bilion. Dia juga mengaku dah terima rasuah sebanyak HK$ 15 juta.
Dia dihukum penjara 4 tahun setengah di Hong Kong pada 1987. Tapi lepas tu Mahkamah Rayuan, tambah lagi hukuman 10 tahun penjara kepadanya.
Dr Rais Saniman (Pengarah BMF)
Dr Rais melarikan diri ke Perancis untuk elakkan diri dari diekstradisi ke Hong Kong. Pada 1987, dia ditahan pihak berkuasa Perancis. Setelah melalui banyak proses undang-undang, akhirnya dia diekstradisi ke Hong Kong pada 1994. Di Hong Kong dia didakwa atas kesalahan 2 kes rasuah dan dia mengaku bersalah. Dia dihukum penjara 5 tahun.
Bagaimanapun, Kamarul Ariffin (Pengerusi BBMB) dan Ibrahim Jaafar tidak didakwa. Kamarul akhirnya hanya meletak jawatan dan dia jugak mendakwa yang dia tak tahu sama sekali pasal pinjaman yang besar itu. Dia jugak menafikan ada terima apa-apa ‘consultancy fee’.
Ibrahim pulak tak dibicarakan walaupun dia mengaku terima rasuah. Ini kerana dia jadi ‘crown witness’ dalam kes Carrian Group dan ditawarkan kekebalan dari pendakwaan jenayah oleh pihak berkuasa Hong Kong. Lepas tu, dia masih dibenarkan mengekalkan jawatannya dalam BMF/BBMB. Rasuah yang dia mengaku terima tu tak pernah dikembalikan.
Kes skandal Carrian Group adalah kes jenayah paling lama dalam sejarah kehakiman Hong Kong iaitu mengambil masa 17 tahun dengan kos bernilai HK$ 210 juta.
Takde bukti nak kaitkan Dr Mahathir dengan skandal ni
Disebabkan tembelang skandal ni pecah masa zaman Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri, jadinya adalah pihak yang seolah-olah menyalahkan atau mengaitkannya dalam skandal ni. Bila difikirkan balik, rasanya Dr Mahathir masa tu pun rasa agak tercabar jugaklah, ye lah kan, baru je pegang jawatan PM 2 tahun, ada pulak isu yang tak manis macam ni.
Berdasarkan cerita dari Datuk Kadir Jasin (bekas Ketua Pengarang NST), skandal ni bermula sejak zaman Tun Hussain Onn sebagai Perdana Menteri dan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan ketika itu. Sebelum dilantik jadi Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh adalah pengerusi BBMB.
Disebabkan skandal tu jugaklah Tengku Razaleigh dah dipindahkan dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Jawatan Menteri Kewangan seterusnya diambil alih oleh Tun Daim Zainuddin.
Seorang wartawan bebas dan juga bekas wartawan The Star, M Krishnamoorthy juga kata yang Dr Mahathir sebenarnya nakkan siasatan penuh dalam skandal BMF ini. Bekas Pengerusi BMF, Lorrain Esme Osman jugak kata yang dia takde bukti untuk kaitkan Dr Mahathir dalam kes ni.
Jadinya dari sini jelas menunjukkan yang Dr Mahathir tak terlibat dalam skandal BMF. Cuma mungkin sebab masa tu yang tak berapa baik, bila kes ni terbongkar masa Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri.
Isu ni muncul sebab nak alih perhatian dari 1MDB?
Skandal BMF ni dah lebih 33 tahun berlalu, tapi secara tiba-tiba isu ni dibangkitkan kembali. Agak pelik sebenarnya, isu ni timbul bila Dr Mahathir dah keluar UMNO dan jadi orang paling lantang mengkritik pentadbiran PM Najib Razak. Persoalan ni jugak dibangkitkan oleh Peguam Haniff Khatri Abdullah.
“Taktik ini dapat dilihat dengan percubaan untuk salah kait isu skandal BMF dengan Dr Mahathir semata-mata. (Ia) kerana skandal itu didedahkan pada era kepimpinan Dr Mahathir walaupun asal-usul skandal itu bermula sebelum zaman kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.” – Haniff Khatri Abdullah, dipetik dari Malaysiakini.
Dalam pada itu, Dr Mahathir jugak nafikan yang dia terlibat dalam skandal ni berdasarkan dokumen CIA yang didedahkan.
“Laporan CIA sendiri mengakui Perdana Menteri tidak terlibat, secara peribadi atau secara langsung dengan isu BMF. Ini boleh didapati pada muka surat 4 laporan itu di bawah tajuk ‘Menilai Kesan Politik’, yang menyatakan: ‘Sehingga kini hubungan langsung antara (Dr) Mahathir dan rasuah di BMF tidak dapat dipastikan…’” – Tun Dr Mahathir Mohammad, dipetik dari chedet.cc.
Jadi kesimpulannya, isu berkaitan skandal BMF ni bukanlah isu mudah difahami oleh kita semua. Mungkin kalau Hong Kong masa tu tak hadapi kemerosotan ekonomi, keadaan BMF selepas tu mungkin juga akan berbeza. Tapi akhirnya, sejarah telah mencatatkan segala galanya dan kita sebagai generasi sekarang akan terus belajar dan ambil iktibar darinya.
[Artikel ini banyak merujuk buku – Skandal BMF: Pedih dan Memalukan (tulisan Zakry Abadi) dan thesis – Employee Fraud in Malaysia: A Case Study (Yik Koon Teh)]
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2m2lJ9U✍ Sumber : ☕ SOSCILI
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment