Perang Mogadishu, Jasa Tentera Malaysia yang Dinafikan
Kalau korang ni kaki wayang, mesti korang pernah tengok filem Black Hawk Down yang diterbitkan pada tahun 2001. Filem ni berdasarkan kisah benar mengenai operasi menyelamat tentera Amerika Syarikat yang terkepung semasa melakukan operasi.
Tapi yang tak besnya, filem ni hampir keseluruhannya hanya memaparkan penglibatan tentera Amerika Syarikat dalam pertempuran dengan kumpulan militia Somalia. Walhal tentera Malaysia yang turut terbabit dalam pertempuran tu langsung tidak diberi kredit dalam filem tersebut. Melalui penulisan ni, kami nak mengupas mengenai kisah sebenar jasa tentera Malaysia dalam pertempuran tu.
Penglibatan Malaysia sebagai pasukan pengaman
Pasukan tentera kita ni boleh dikatakan aktif terlibat sebagai tentera pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dan sebab tu Malaysia dari tahun 1960 dah menyertai pelbagai misi sebagai tentera pengaman di 35 buah negara.
Antaranya seperti Congo, Lubnan, Sahara,Uganda dan Senegal dengan melibatkan sejumlah 29000 anggota polis serta tentera. Ini termasuklah menghantar pasukan Malaysian Battalion(MALBATT-1) ke Somalia dalam usaha menjaga keamanan negara tersebut.
Somalia sudah bergolak sejak merdeka
Somalia ni merupakan negara yang sentiasa bergolak dan selalu berlaku perang saudara sejak mendapat kemerdekaan pada 1960. Disebabkan Somalia ni ada terlalu banyak puak, dorang ni sentiasa berperang antara satu sama lain. Kiranya tiada persefahaman dan kerjasama langsung antara setiap puak.
Tak lama selepas merdeka, pada tahun 1969 Mohamed Siad Barre telah bertindak merampas kuasa dan melantik diri dia menjadi Presiden sehingga tahun 1991. Tapi pemerintahan dia tak kekal lama apabila telah digulingkan oleh kumpulan United Somali Barre (USC).
Selepas presiden Somalia digulingkan, kumpulan USC ini telah berpecah kepada dua kumpulan yang diketuai oleh Ali Mahdi Muhammad dan Mohammad Farrah Aidid. Melalui perpecahan kumpulan ini, muncul pula gerakan kumpulan militia yang lebih kecil mendorong berlakunya perang saudara di Mogadishu mengakibatkan 20000 nyawa melayang.
Situasi semakin meruncing, ramai mati kebuluran
Perang saudara yang berlaku ni menyebabkan kemusnahan banyak kawasan pertanian dan menyebabkan bekalan makanan terputus. Keadaan ni menyebabkan ramai rakyat Somalia kebuluran dan mati. Saki-baki bekalan makanan yang ada disimpan oleh kumpulan militia untuk kegunaan dorang sendiri.
Situasi bekalan makanan yang semakin buruk di Somalia menyebabkan masyarakat antarabangsa bertindak untuk menyalurkan bantuan. Tapi sumbangan ini hanya sia-sia apabila kumpulan militia ni pula merampas bantuan makanan yang di salurkan.
Dan apa yang menyedihkan, bantuan makanan yang disalurkan ni 80% daripadanya dirampas kumpulan pemberontak. Kumpulan pemberontak ni gunakan makanan yang dirampas untuk buat pertukaran senjata api dengan negara lain. Disebabkan sumbangan bekalan makanan yang disalurkan dirampas kumpulan pemberontak, lebih 300 ribu orang mati kebuluran dari tahun 1991 hingga 1992.
Pada Ogos 1992, pasukan tentera pemerhati di bawah panji-panji PBB dihantar ke Somalia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan dan operasi ini dinamakan Operation Provide Relief (UNOSOM-1). Tapi malangnya bantuan makanan yang dihantar pun turut dirampas kumpulan militia.
Amerika Syarikat menghantar pasukan tentera ke Somalia
PBB yang melihat situasi di Somalia semakin buruk meminta negara anggotanya untuk menhantar lebih ramai pasukan pemantau dan ini dipersetujui oleh Amerika Syarikat(AS) dengan menghantar seramai 25 ribu orang tentera
Operasi ni dinamakan sebagai Operation Restore Hope bertujuan untuk memantau penghantaran bekalan makanan dengan selamat. Tak lama lepas tu keadaan di Somalia agak stabil, Presiden Amerika Syarikat yang baru Bill Clinton pun mengurangkan kehadiran tentera dorang dan minta PBB mengambil alih operasi kemanusiaan di sana.
Sebaik saja PBB ambil alih operasi kemanusiaan pada Mac 1993, PBB membuat rancangan untuk membina kembali Somalia, memastikan rakyat Somalia mematuhi peraturan dan memilih kerajaan baru. Operasi ini dinamakan sebagai UNOSOM-2.
Bill Clinton pada Jun 1993 memerintahkan tentera AS dikurangkan kepada 1200 orang di Somalia dan mimpi buruk kembali melanda apabila 24 orang tentera Pakistan dibunuh oleh pemberontak semasa membuat pemeriksaan tempat simpanan senjata militia. Pembunuhan tentera Pakistan ini dikatakan didalangi kumpulan militia yang diketuai oleh Mohammad Farrah Aidid lantas AS menawarkan ganjaran 25 ribu dollar sehingga tertangkapnya Aidid.
Kemudian PBB dan AS melancarkan operasi pemburuan Aidid dan melancarkan beberapa serangan di Mogadishu. 4 orang wartawan Barat malangnya dibunuh oleh kumpulan perusuh semasa cuba membuat liputan serangan tersebut. 8 Ogos 1993 kemudian, 4 orang polis tentera AS pula terbunuh akibat letupan periuk api dan 6 orang tentera cedera dua minggu kemudian.
Operasi Pemburuan Mohammad Farrah Aidid
Disebabkan kes pembunuhan ke atas tentera pengaman PBB dan orang awam, PBB meminta AS melancarkan operasi pemburuan Mohammad Farrah Aidid dan orang bawahan dia dengan menghantar pasukan elit Delta Force dan Army Rangers. Pada 3 Oktober 1993, AS mendapat maklumat bahawa Aidid akan bermesyuarat di sebuah bangunan 2 tingkat bersama orang bawahan dia yang terletak di Bakara Market.
Serentak dengan tu, pasukan Delta Forced dan Army Rangers dihantar bersama helikopter AH-1 Cobra, UH-60 Black Hawk dan Little Birds. Delta Force ditugaskan untuk menyerbu bangunan untuk menangkap Aidid dan orang bawahan dia manakala Army Rangers ditugaskan untuk mengawal keselamatan di luar bangunan. AS memandang mudah operasi ni apabila menjangka operasi ni dapat dilakukan dalam masa 30 minit bermula 3.00PM tapi sikap pandang rendah operasi ni membawa bencana besar kat dorang.
Helikopter AH-1 Cobra memulakan serangan ke arah bangunan tu dengan melancarkan peluru berpandu menyebabkan keadaan menjadi panik dalam kalangan penduduk tempatan. Dalam serbuan tersebut seramai 24 orang berjaya ditahan, tapi kelibat Aidid langsung tidak kelihatan.Orang bawahan Aidid yang berjaya ditahan tu dibawa keluar menggunakan trak menuju keluar dari lokasi serangan. Disebabkan orang tahanan terlampau ramai, separuh pasukan elit ni terpaksa berjalan kaki sambil mengawal keadaan.
Tak lama selepas serangan tu, penyokong Aidid bersama penduduk tempatan yang lengkap bersenjata melancarkan serangan balas. Dorang menyasarkan helikopter Black Hawk dan berjaya menembak helikopter pertama dengan roket RPG sehingga terhempas. Pemandu dan pembantu juruterbang helikopter tu mati dan serangan tu mencederakan 5 orang tentera dan tak lama kemudian seorang mati sebab cedera parah. Pasukan elit yang terselamat masa helikopter tu terhempas malangnya dikepung oleh orang bawahan Aidid.
Malang pasukan tentera AS berterusan apabila Black Hawk kedua pun turut terhempas selepas ditembak roket RPG semasa nak menuju ke tempat helikopter pertama terhempas. Lebih malang juruterbang helikopter tu ditawan oleh anggota militia.
Pasukan elit yang lain diarahkan untuk selamatkan kawan dorang yang cedera tu di kawasan helikopter pertama dan kedua terhempas tapi untuk pergi ke kawasan tu je dorang menerima tembakan bertalu-talu menyebabkan perhubungan antara Army Rangers dan Delta Force terputus dan terpisah kepada beberapa kumpulan kecil.
Kumpulan bantuan pasukan elit yang ditugaskan untuk menyelamatkan kawan dorang cedera tu sampai di kawasan helikopter pertama terhempas tapi dorang dah terkepung oleh geng Aidid yang semakin ramai. Menjelang malam, seramai 90 pasukan elit tu yang ada di situ terpaksa mempertahankan diri walaupun kekurangan peluru dan tentera yang cedera semakin bertambah. Keadaan yang semakin buruk menyebabkan AS menghantar pasukan bantuan dan terpaksa meminta bantuan pasukan pengaman Malaysia dan Pakistan. Tentera Malaysia ditugaskan untuk menyediakan kereta perisai Condor manakala tentera Pakistan ditugaskan membawa kereta kebal.
Kisah sebenar jasa tentera Malaysia
Pasukan MALBATT-1 bersiap sedia untuk menyertai misi menyelamat selepas mendengar insiden tentera elit Amerika terperangkap semasa melakukan operasi. Dalam penulisan artikel daripada situasi tentera Malaysia, banyak merujuk buku penulisan Syed Othman Syed Omar bertajuk 19 RAMD Mekanis di Somalia (1995).
Pegawai Pemerintah MALBATT-1, Kolonel Abdul Latiff telah memilih seramai 11 pegawai dan 102 anggota Lain-Lain Pangkat(LLP) untuk terlibat bersama melakukan operasi dengan tentera Amerika dan Pakistan. Tentera Malaysia sangat bersemangat untuk menyertai operasi tersebut walaupun berdepan kemungkinan pulang menjadi mayat.
Salah seorang anggota yang terlibat, Leftenan Kamal bertindak selaku ketua platun terpaksa memilih anggota yang dibawanya kerana tidak semua anggota akan terlibat dalam operasi tersebut.
“Saya hendak pergi bertempur, siapa yang hendak menuruti saya biar kita pergi dan mati sekali. Kalau kita dapat balik, bertuahlah!” Dipetik daripada 19 RAMD Mekanis di Somalia.
Lt. Kamal pada mulanya hanya mahu membawa anggota yang bujang saja mengikuti operasi tersebut, tetapi anggota yang telah berkahwin membantah kerana berpendapat anggota bujang masih kurang berpengalaman.
Konvoi operasi menyelamat ni dibahagikan kepada 3 kumpulan, Team Charlie(Kompeni A) diarahkan menyelamatkan juruterbang helikopter kedua yang terhempas, Team Alpha(Kompeni B) ditugaskan untuk menyelamatkan anggota Rangers yang terkepung dan krew Black Hawk pertama yang terhempas manakala Team Bravo yang merangkumi anggota Rangers ditugaskan membantu kedua-dua pasukan tersebut.
Operasi menyelamat yang menguji keberanian tentera Malaysia
Mengikut perancangan operasi tersebut, tentera Pakistan akan mendahului pergerakan diikuti Team Alpha, Charlie dan Bravo tapi pada separuh jalan tentera Pakistan berpatah balik disebabkan tiada alat penglihatan malam.Masa tentera Pakistan ni berpatah balik, dorang berada kat kawasan luar killing zone. Tentera Malaysia walaupun tidak mempunyai alat penglihatan malam, tetap meneruskan operasi tersebut. Ketiga-tiga konvoi ini berpecah mengikut kumpulan masing-masing selepas sampai di check point Strong Point 207 mengikut tugas yang diberikan.
Tak lama lepas tu, anggota konvoi Alpha telah diserang anggota kumpulan Aidid menyebabkan dua buah kereta perisai rosak teruk dan mencederakan anggota 5 orang anggota termasuk seorang cedera parah yang kemudiannya dirawat oleh seorang anggota Rangers. Pada masa itu, kereta kebal milik tentera Pakistan telah pun meninggalkan kawasan pertempuran.
Walaupun menerima serangan yang bertali arus, tentera Malaysia meneruskan pergerakan ke lokasi anggota Rangers yang terperangkap. Sebaik sahaja sampai, anggota Rangers yang cedera dimasukkan ke dalam kereta perisai manakala yang telah meninggal diletak atas kereta perisai. Kumpulan Alpha ni kemudian bergerak menuju ke lokasi helikopter terhempas untuk mengambil mayat krew helikopter yang telah meninggal.
Konvoi Charlie pula terdiri daripada 3 platun diketuai Mejar Ab. Aziz Ab. Latif bergerak menuju ke lokasi helikopter turut menerima serangan berterusan sehingga 3 anggota tentera cedera selepas keluar dari kereta perisai.
Selepas tu puak pemberontak ni menembak roket RPG kearah kereta perisai sehingga menembusi pintu kiri kereta perisai menyebabkan seorang anggota cedera. Kemudian kereta perisai kedua turut menjadi sasaran apabila roket tu menembusi cermin hadapan dan membunuh pemandu kereta perisai, Prebet Mat Aznan dan mencederakan seorang lagi anggota.
Komander MALBATT-1 kemudian menghubungi Mejar Ab. Aziz dan diarahkan berundur tetapi ditolak memandangkan tentera AS masih terperangkap di lokasi helikopter terhempas. Mej. Ab. Aziz kemudian mengarahkan Platun 1 bergerak terus ke hadapan bagi menggantikan Platun 2 yang hanya tinggal 2 kereta perisai Condor yang masih elok.
Pengunduran dari kawasan pertempuran
Akhirnya selepas menerima serangan yang beterusan, Mej Ab. Aziz menghubungi Kapt. Zawawi bagi membincangkan plan berundur bersama Ketua Kompeni Rangers Capt. White Stone. Dorang membuat perancangan berundur selepas mendapat maklumat ada sebuah kereta perisai milik negara pengaman lain 1000 meter dari tempat dorang berlindung.
Anggota dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu anggota Rangers berada di hadapan, anggota Rangers yang cedera dan MALBATT-1 berada di tengah dan dibelakang anggota Rangers lain. Semasa proses pengunduran tu, kumpulan dorang sekali lagi diserang dan terpaksa bertahan selama sejam sebelum kumpulan platun 3, Kompeni A datang membantu. Konvoi tu berjaya sampai ke Stadium Mogadishu iaitu kem tentera Pakistan menjelang subuh.
Pertempuran yang meragut banyak nyawa
Di pihak tentera Malaysia, hanya seorang tentera saja yang meninggal iaitu Pbt. Mat Aznan B. Awang dan mencederakan 9 yang lain. Manakala pihak AS seramai 18 orang tentera elit dorang terkorban masa petempuran tersebut dan mencederakan 84 orang. Walaupun tiada rekod rasmi jumlah puak militia dan penduduk awam Somalia yang mati masa pertempuran tu, tapi dijangka beratus-ratus nyawa telah melayang.
Pertempuran yang memakan masa hingga 17 jam ni menjadi pertempuran yang memalukan bagi pihak AS selepas Perang Vietnam hinggakan Presiden Clinton mengarahkan tentera dorang berundur dari Somalia. Apa yang berlaku semasa Perang Vietnam nampaknya masih tidak menjadi pengajaran buat AS apabila memandang rendah ancaman puak militia ni.
Penghargaan buat pasukan MALBATT-1
Selepas insiden pertempuran tu, Pbt. Mat Aznan yang terkorban telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa serta dinaikkan pangkat kepada korporal. Mej. Ab. Aziz pula dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani bersama dengan anggota lain yang terlibat dalam operasi tersebut. Dan cukup membanggakan buat kali pertama pegawai ATM dipilih menjadi force commander UNOSOM-2 iaitu Jeneral Abu Samah selepas PBB melihat keupayaan dan keberaniaan tentera Malaysia masa pertempuran tersebut.
Hanya pada tahun 2013 iaitu 20 tahun selepas insiden pertempuran yang meragut banyak nyawa tu barulah AS mengiktiraf sumbangan besar Malaysia apabila Pemangku Penolong Setiausaha Negara Biro Hal Ehwal Politik Tentera AS, Tom Kelly secara rasmi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan ATM khususnya.
Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian dan keberanian anggota keselamatan negara walaupun dalam filem Black Hawk Down sumbangan tentera negara kita tidak ditonjolkan. Fakta dan sejarah sebenar tidak dapat ditutup dengan menerbitkan filem dan umum tahu AS suka menonjolkan kehebatan tentera dorang dengan mengabaikan fakta penting.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2o7oVqm✍ Sumber Pautan : ☕ SOSCILI
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment