Mati hidup balik pun, saya takkan jumpa lelaki sepertinya-Nora
Mati hidup balik pun, saya takkan jumpa lelaki sepertinya-Nora|Hujan renyai yang membasahi bumi Lembah Kelang awal pagi tadi seakan turut berduka dengan berita pemergian komposer dan penulis lirik tersohor negara, Johan Nawawi ke rahmahtullah.
Wajah ahli keluarga, sahabat, rakan-rakan artis, tokoh kenamaan dan pengamal media masing-masing sugul. Sebilangan besarnya barangkali sangat tergamam kerana di awal pagi penghulu segala hari, Jumaat, Allah menjemput hambaNya untuk bermastautin di negeri abadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun iaitu usia yang rata-rata sahabat berpendapat terlalu awal untuk seorang insan yang memiliki pekerti, budi bahasa dan keperibadian yang menawan.
Penulis turut tergamam sebaik membaca mesej mengenai berita sedih pemergian Johan yang saling tidak ubah seperti seorang abang.
Namun, siapa kita untuk melawan takdir Allah. Sudah tertulis di loh mahfuz bahawa kehidupan beliau di dunia untuk tempoh itu sahaja.
Justeru, ketika memandu kereta membelah Lebuhraya Persekutuan menuju Masjid Kampung Tunku di Petaling Jaya pagi tadi, satu persatu momen-momen bersama Allahyarham yang sangat mesra disapa Abang Johan bermain di mata.
Beliau antara seniman tanah air yang tidak pernah kedekut dengan senyuman. Jumpalah di mana sekali pun atau dalam apa sahaja acara, Abang Johan tidak pernah lupa bertanya khabar.
Kemanisan bersahabat dengan Allahyarham bermula di awal penglibatan penulis sebagai wartawan hiburan di akhbar Pancaindera (Mingguan Malaysia) sekitar pertengahan tahun 1990-an.
Kami sering berhubung setiap kali ada keperluan mengenai kerja. Dan arwah Abang Johan tidak pernah gagal daripada memberikan komitmen yang baik dalam apa sahaja keperluan demi tuntutan kerja penulis.
Persahabatan berpanjangan sehinggalah penulis bertugas di Jakarta, Indonesia pada 2011 hingga 2014 apabila setiap kali berkunjung ke kota itu, Abang Johan tidak pernah lupa untuk menghubungi penulis sama menelefon atau mengirim mesej melalui telefon bimbit atau di Facebook.
Sesiapa sahaja yang mengenali Allahyarham pasti akan merumuskan beliau memiliki keperibadian yang terlalu menawan.
Hampir kesemua sahabat Allahyarham yang menulis nota di laman-laman sosial peribadi masing-masing menggambarkan Johan yang mereka kenali tidak pernah mengecewakan sesiapa.
Antara sahabat Allahyarham Johan yang terkesan dengan pemergian beliau ialah pelakon Wafa Abdul Kadir yang memberitahu penulis, dia kehilangan sahabat paling akrab.
Kata Wafa, dia dan Allahyarham Johan merupakan rakan di sekolah yang sama dan hubungan persahabatan antara mereka berpanjangan selepas masing-masing mempunyai keluarga sendiri.
“Apabila arwah tahu saya sakit (kanser), arwah selalu datang berjumpa saya membawa ubat penawar untuk kesakitan saya. Sesibuk mana sekalipun, beliau akan telefon dan datang ke rumah menziarahi saya.
“Bila saya dapat berita beliau meninggal dunia, saya seperti tidak percaya. Saya yang sakit tetapi beliau pergi dahulu. Saya benar-benar tergamam,” kata Wafa dalam nada sebak.
Bagi penghibur ternama, Datuk Sheila Majid pula, Allahyarham Johan memiliki kehebatan luar biasa dalam menghasilkan lagu dan lirik.
Kerana kehebatan itu juga, ujar Sheila, amat sukar untuk industri muzik tanah air mendapat pengganti sehebat Allahyarham.
Seperti mana di mata sahabat, Johan adalah sahabat budiman, di mata isterinya, Nora Ariffin pula, suaminya itu adalah lelaki terbaik yang pernah hadir dalam kehidupannya.
Selama 25 tahun hidup bersama, tiada sebarang kenangan pahit yang mampu diingatinya melainkan semuanya manis belaka.
Lelaki bernama Johan, kata Nora, telah memberikan kebahagiaan buat dia dan empat orang anak mereka.
“Mati hidup balik pun, saya takkan jumpa lelaki sepertinya. Dia lelaki yang baik pernah saya kenali. Cuma, saya sangka saya yang akan pergi dulu, tetapi Tuhan lebih sayangkan dia. Saya reda,” jelas Nora dalam nada sebak.
Abang Johan, pemergianmu telah menoktahkan segala-galanya. Kamu pergi membawa bersama kasih sayang, senyuman, kebahagiaan dan kehormatan yang tiada galang gantinya.
Isteri, anak-anak, kaum keluarga dan sahabat-sahabat akan merindui kamu Abang Johan.
Percayalah abang, karya-karyamu akan terus menjadi inspirasi buat para karyawan.
Dan kepada penulis, Allahyarham Johan akan kekal abadi di hati sebagai seorang sahabat dan abang yang terbaik.
Selamat jalan dan selamat berehat di negeri abadi.
Al-Fatihah buat Johan Mohamed Nawawi. –Penulis utusan
The post Mati hidup balik pun, saya takkan jumpa lelaki sepertinya-Nora appeared first on Eberita.org.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2neLNAJ✍ Sumber Pautan : ☕ Eberita.org
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
r>r>
Post a Comment