Prestasi V Shem- Wee Kiong Diuji Lagi
PEMAIN beregu Malaysia, Goh V. Shem (belakang) dan Tan Wee Kiong, sekali lagi menjadi tumpuan di Terbuka Singapura Rabu ini. – Foto Nadim Bokhari
KUALA LUMPUR: Prestasi turun naik beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan sekali lagi menjadi tumpuan di Terbuka Singapura Rabu ini, selepas aksi hambar di Terbuka Malaysia yang berakhir hari ini.
Tanpa jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, sandaran pastinya diletakkan kepada tiga acara beregu – lelaki, wanita dan campuran – untuk menghasilkan sesuatu di Singapura di kala cabaran perseorangan lelaki dan wanita nampak sukar.
Undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk kejohanan bermula 11 hingga 16 April ini, tidak menjanjikan laluan mudah buat V Shem-Wee Kiong apabila menentang beregu Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin di pusingan pertama.
Berdasarkan rekod pertemuan, V Shem-Wee Kiong hanya menang sekali daripada tiga pertemuan itu dan ia tentunya bukan sesuatu yang melegakan selepas gandingan negara turut kecundang di pusingan pertama Terbuka Malaysia.
Malah dua kejohanan terdahulu iaitu di Seluruh England dan Terbuka India, mereka sekadar mara sehingga ke suku akhir sahaja.
Satu lagi wakil negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan membuka cabaran menentang lawan yang mara dari pusingan kelayakan, dan jika melepasinya mereka dijangka berdepan pilihan keempat dari China, Li Junhui-Liu Yuchen.
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula menarik diri berikutan kecederaan tangan yang dialami Liu Ying dan harapan terbaik tentunya disandarkan kepada Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Kian Meng-Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan kelapan dijadual menentang Bodin Isara-Savitree Amitrapai dari Thailand pada pusingan pertama.
Malaysia turut diwakili Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang akan menentang pasangan Australia, Sawan Serasinghe-Setyana Mapasa.
Beregu wanita diwakili Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen
Bagi perseorangan lelaki pula, hanya Zulfadli Zulkiffli menjadi wakil tunggal negara dalam undian utama dan akan membuka cabaran menentang Hsu Jen Hao dari Taiwan sebelum pilihan ketiga Viktor Axelsen menantinya di pusingan kedua.
Dua lagi pemain veteran, Chong Wei Feng dan Liew Daren pula akan mengharungi pusingan kelayakan.
Bekas juara dunia remaja perempuan, Goh Jin Wei pula berdepan tugas berat apabila harus menentang pilihan kedua, Sung Ji Hyun dari Korea Selatan untuk aksi pembukaannya. – BERNAMA
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2oSIvGh✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment