FLORIDA – AMERIKA SYARIKAT. Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Syria mungkin diinspirasikan daripada menonton filem Star Wars, lapor media antarabangsa.

Menurut Metro.co.uk, perkara itu disahkan oleh wartawan yang ‘menyerbu’ Trump di atas pesawat Air Force One untuk mendapatkan liputan tentang serangan senjata kimia yang digunakan ke atas rakyat Syria.

Media melaporkan, Trump dikatakan sedang menonton filem terbabit ketika ditemui wartawan.

Difahamkan, keputusan untuk melancarkan serangan 59 peluru berpandu tomahawk ke Syria itu dibuat selepas beliau menonton filem tersebut.

Malah, jurukamera turut merakamkan paparan aksi daripada filem tersebut ketika Trump sedang memberikan kenyataan berhubung isu serangan di Syria.

“Saya rasa apa yang berlaku di Syria adalah penghinaan kepada manusia sejagat. Saya rasa sesuatu perlu dilakukan,” Trump berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menonton filem Star Wars di dalam pesawat tersebut.

AS melancarkan peluru berpandu ke pangkalan udara Syria sebagai tindak balas kepada serangan senjata kimia ke kawasan dikuasai pemberontak.

Pentagon berkata, 59 peluru berpandu tomahawk dilepaskan pada 4.40 pagi waktu Syria .
Dalam ucapan televisyen, Trump berkata, serangan itu adalah susulan serangan senjata kimia.

Berpuluh-puluh orang awam, termasuk kanak-kanak meninggal dunia dalam serangan gas yang disyaki pada Selasa di bandar Khan Sheikhoun di wilayah Idlib.