Hi! Welcome Back and Stay Tune! Umur baru 9 tahun, namun sepanjang hidupnya dia tidak pernah bersekolah - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Umur baru 9 tahun, namun sepanjang hidupnya dia tidak pernah bersekolah

Keluarganya bukan senang, sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di kala rakan-rakan sepermainannya berada di sekolah, dia pula berada di rumah bersama dua orang adik beradiknya. Hati anak kecil bernama Khairul ini teringin hadir ke sekolah untuk mendapatkan ilmu. Namun oleh kerana keluarganya tidak berkemampuan, dia hanya mampu melihat rakan-rakannya sahaja. 
Kisah Khairul yang diceritakan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh, mengundang rasa sebak di hati. Bantulah keluarga yang berada dalam kesusahan ini agar Khairul dan abangnya dapat diberi persekolahan. Semoga ramai pihak yang tampil membantu Cikgu Mohd Fadli Salleh dalam usaha membantu keluarga susah ini. 
ANAK YANG SANGAT MERINDUKAN SUASANA PERSEKOLAHAN
Khairul, umurnya baru 9 tahun. Namun sepanjang hidupnya, dia tidak pernah bersekolah. Setiap hari melihat kawan-kawan pergi sekolah menuntut ilmu, hatinya meronta-ronta ingin turut serta. Kawan-kawan sepermainan bercerita betapa seronoknya alam persekolahan. Dia hanya boleh memendam perasaan.
Ayahnya kerja kontrak sahaja. Gaji RM45 sehari. Ibunya membantu mengemas rumah jiran-jiran. 
Semalam, jirannya hadiahkan keluarga ini sepasang pakaian sekolah terpakai milik anak mereka. Ibu Khairul bawa pulang baju itu dengan gembira. Tanpa berlengah, Khairul terus mencuba. Padan elok dengan susuk tubuhnya. Semangat dan keinginan ingin ke sekolah makin membara. Kali ini dia nekad. Dia ingin ke sekolah dan belajar, menulis dan membaca.
Maka dalam diam, Khairul berpakat dengan kawannya Farhan yang berumur 10 tahun. Farhan murid sekolah aku, yang juga jirannya. Dia membuat perancangan untuk mengikut Farhan pergi ke sekolah hari ini.
Maka, pagi tadi dia bangun awal pagi dengan rancangan yang ibu ayahnya pun tidak tahu. Dia memakai seragam sekolah lusuh pemberian jiran. Senyap-senyap dia keluar rumah dan berjumpa dengan Farhan di tempat pertemuan yang telah dirancang. Mereka berdua berjalan kaki menuju sekolah. Kegembiraan Khairul membuak-buak. Setelah 9 tahun, akhirnya hasrat hati yang terpendam lama tercapai. 
Sampai di sekolah, dia ikut Farhan masuk kelas, duduk dan belajar. Duduk merasai pengalaman yang tak pernah dia alami. Silih berganti guru masuk ke kelas perasan akan kehadiran Khairul. Sangkaan mereka, Khairul murid baru berpindah. Sehingga Cikgu Ibrahim Yusof selaku guru kelas berasa pelik.
Cikgu Ibrahim tidak dimaklumkan pun ada murid baru. Maka disoal siasatnya Khairul. Khairul tergagap-gagap dan mula mereka-reka cerita yang berbelit-belit dan tidak masuk akal. Masa ini muka Khairul pucat. Dia ditangkap!
Ketakutan melanda hati. Entah apa hukuman bakal diberi. Bila Cikgu Ibrahim dapat tahu Khairul masuk ke sekolah secara curi-curi, dia maklumkan pada pentadbir. Pentadbir kami arahkan Cikgu Ibrahim hantar Khairul pulang. Adalah satu kesalahan dan satu risiko menerima murid tanpa tahu asal usul. Mungkin saja murid lari dari rumah atau pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Khairul dengan pasrah terpaksa mengikut Cikgu Ibrahim. Dalam masa yang sama, dia takut ibu dan ayah marah padanya. Ye lah, keluar rumah tanpa izin, pergi ke sekolah curi-curi. Ketakutan dimarahi ibu ayah membuatkan Khairul menipu Cikgu Ibrahim. Dia tunjuk jalan yang salah untuk pulang ke rumah. 3 buah rumah Cikgu Ibrahim pergi, Khairul menegaskan itu rumahnya. Sedangkan bukan.
Cikgu Ibrahim buntu. Khairul tidak menunjukkan rumahnya. Maka terpaksa bawa pulang Khairul ke sekolah. Pihak pentadbir turut buntu. Langkah terakhir adalah menghubungi pihak polis. Pegawai polis Gombak segera datang. Melihat pegawai polis berpakaian lengkap, Khairul ketakutan. Dia tidak lagi berani menipu alamat rumahnya.
Maka dengan bantuan pihak polis dan diiringi Cikgu Ibrahim, Khairul dihantar pulang ke rumahnya. Ibunya terperanjat besar apabila polis berkunjung ke rumah membawa anak tersayang. Setelah penerangan dari pegawai polis dan Cikgu Ibrahim, ibunya menarik nafas lega. Terima kasih polis Gombak!
Sebentar tadi aku menziarahi keluarga ini. Duduk mendengar cerita mereka. Ayah Khairul orang Kulim, Kedah. Ibunya warga Indonesia. Jawa Barat. Ayah dan ibunya kedua-dua mereka buta huruf. Ayahnya kenal si ibu sewaktu menjadi jaga (pengawal keselamatan) di tapak pembinaan. Mereka berkahwin di rumah kongsi sahaja, tanpa surat nikah yang disahkan oleh negara kita.
Keluarga ini dikurniakan tiga orang anak. Yang sulung berumur 10 tahun, yang kedua Khairul, 9 tahun dan yang bongsu anak perempuan berumur 6 tahun. Baru datang ke Kuala Lumpur enam bulan yang lalu setelah tidak mampu mencari pekerjaan yang elok di Kedah. Mujur ada insan baik hati memberi mereka duduk di rumah ini secara percuma.
Aku masuk ke dapur tadi, tiada apa. Tiada stok makanan yang disimpan untuk dimasak hari esok. Mujurlah sebelum pergi tadi aku sempat beli beberapa barang dapur untuk disedekahkan. Khairul dan abangnya tak punya surat beranak. Mereka tidak pernah daftar buku 'pink'. Lahir pun di rumah secara bidan kampung. Adik bongsunya sahaja yang ada surat beranak.
Tanpa surat beranak, sukarlah hendak mendaftar sekolah. Lagi pun ibu dan ayahnya buta huruf. langsung tak tahu membaca. Maka anak-anak terbiar tanpa pelajaran. Sedangkan si anak begitu ingin belajar. Sama seperti kawan-kawan dia yang lain.
Gambar ini, Khairul menyorok malu di balik langsir. Masa ini aku tanya tentang nombor. Aku buka 4 jari dan tanya berapa. Dia pandai membilang walau tidak ke sekolah. Aku uji tambah pula. 4+2 soalku padanya. Dia buka empat jari kanan dan dua jari kiri, mengira di sebalik langsir malu-malu sebelum memberi jawapan tepat.
Anak ini, jika dihantar ke sekolah sejak darjah 1 aku yakin dia mampu mengikuti pelajaran dengan baik. Namun nasib diri dan keluarganya menjadikan dia mangsa.
Di sini, aku dengan rendah diri menyeru pada sahabat yang boleh membantu perkara berikut :-
  1. Sahkan sijil nikah mereka mengikut undang-undang negara kita.
  2. Bantu Khairul dan abangnya untuk dapatkan surat beranak.
  3. Daftarkan persekolahan bagi dua anak-anak ini.
  4. Dapatkan bantuan zakat kerana keluarga ini memang layak.

Sesiapa sahaja yang boleh bantu atau kenal orang yang boleh bantu, tolonglah panjangkan. Aku ini guru biasa yang tiada kenalan orang dalam melainkan kalian yang merupakan sahabat aku. Tolonglah anak-anak ini agar dapat merasai suasana persekolahan seperti murid lain. Sesungguhnya Khairul dan abangnya sangat dahagakan ilmu. Sesungguhnya anak-anak ini merindukan sekolah. Bantu mereka, tolong! :(
Sebelum pulang, aku sempat selit kiriman zakat yang sahabat amanahkan aku untuk sampaikan. Juga aku berjanji pada Khairul dan abangnya untuk beri mereka satu set seragam sekolah lengkap, beg sekolah, kasut serta alat tulis.
"Awak nak tak kalau cikgu bagi awak beg, baju dan seluar sekolah baru, kasut dan alat tulis? Nanti awak boleh pergi sekolah."
"Nak, nak. Nak cikgu," balas Khairul dan abangnya bersungguh-sungguh. Jelas terpancar di mata keinginan dan kerinduan yang dipendam lama. Seolah cita-cita dan impian mereka selama ini bakal jadi kenyataan.
Bantulah aku merealisasikan hasrat anak-anak ini sahabat. Tolong ya. Kalau kita rasa kita susah, sebenarnya lebih ramai orang lain yang hidup mereka diuji lebih besar. Sentiasalah pandang ke bawah, barulah kita menjadi insan yang bersyukur.




✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2z7HgG5

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.