Hi! Welcome Back and Stay Tune! Mengapa 'Mad Max Fury Road' Merupakan Salah Satu Filem Aksi Paling Penting Abad Ini - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Mengapa 'Mad Max Fury Road' Merupakan Salah Satu Filem Aksi Paling Penting Abad Ini

mad max fury road max dan furiosa

Aku cukup teruja dengan filem Mad Max - Fury Road.

Filem ini bagi aku satu filem yang mampu aku tonton beberapa kali. Harus aku akui dahulu, sudah beberapa kali aku habiskan tontonan filem ini dan sehingga kini, aku belum pernah jemu. Ada sesuatu yang cukup berlainan di antara filem ini dengan filem-filem aksi lain.

Filem aksi zaman moden selalunya digarap terlalu menjaja aksi koreografi yang divisualkan sebagai 'slick' atau lancar. Siri filem Fast and Furious misalnya memerlukan pelakon dengan kereta melakonkan aksi tak masuk akal. Filem-filem arahan Zack Snyder seperti 'Sucker Punch' atau '300' menggambarkan aksi yang dibingkaikan menggunakan teknik gerak perlahan dan cantik sinematografinya. Filem John Wick memaparkan aksi tembak menembak yang kasar tetapi 'tariannya' masih ada pada lakonan serta aksi yang dipertontonkan.

Tak perlulah aku sebut tentang filem superhero - kerana jelas benar Marvel dan DC ada acuan filem yang dikitar semula setiap kali dengan visualnya saja berbeza. Semua itu 'slick.' Berkilat. Cantik. Koreografinya tersusun. Kita tengok dengan rasa teruja tapi dalam kepala kita tak dapat kita gambarkan risikonya.

Jangan teruskan membaca kalau anda masih lagi berminat untuk menonton Mad Max Fury Road buat kali pertama kerana jalan ceritanya akan dibuka secara terang-terangan.

KEBURUKAN ACUAN THE MATRIX

neo menahan peluru

Letupan filem 'The Matrix' era hujung sebelum milennium membuatkan banyak pengarah filem mengambil pendekatan serupa dalam mempersembahkan filem aksi. Kita boleh nampak elemen serupa dalam filem aksi Christian Bale "Equlibrium", siri filem aksi ringan tunjangan Mila Jovovich 'Resident Evil' mahupun filem adaptasi anime Jepun 'Ghost in the Shell' lakonan Scarlett Johannsen. Bukannya bosan - tetapi semuanya sudah boleh diagak bagaimana. Kejutan pula ada dalam bentuk 'plot twist' yang membuatkan kita terkedu sebentar, tetapi tidak lama.

Terlalu banyak filem aksi dipaparkan dalam keadaan waktu malam di mana semua elemen kelihatan lembap, licin dan berkilat. Bosan sebenarnya pada satu era apabila filem aksi 'moden' memenuhi pawagam dengan watak heroin wanita 'stylish' dipaparkan ketika Resident Evil, Underworld dan Ultraviolet memenuhi pawagam. Watak-watak itu tidak menarik pada aku kerana pada aku, mereka terlalu bergaya.

watak doof bermain gitar berapi

Keberanian filem "Mad Max - Fury Road" adalah kebanyakan aksi dipaparkan pada waktu suria terang, dengan aksi waktu malam dikhaskan kepada adegan yang lebih tenang, berbanding kekecohan sebenar yang lebih kerap berlaku pada waktu terang benderang. Dengan meletakkan majoriti filem ini pada waktu siang, 'Fury Road' menjadi satu filem yang lebih mudah diikut aksinya kerana semuanya jelas berlaku.

Bagiku, 'Fury Road' menjadi kerana filemnya kering. Mentah. Kita seolah boleh rasa pasir gurun memasuki tekak ketika menontonnya. Itulah beza filem ini dengan filem-filem aksi lain. Filem ini pada aku mentah dan kering bukan kerana lokasinya sahaja, tetapi kerana itu yang cuba dipertontonkan pada kita. Orang putih kata 'visceral' tetapi 'visceral' nya bukannya sekadar visual darah atau ganas. Lain sekali bentuk 'visceral' nya.

MUSNAHNYA INTERCEPTOR

mad max fury road kereta mad interceptor

Bagi mereka yang mengharapkan berlakunya sinambungan kisah legenda Max Rockatansky dari trilogi terdahulu lakonan Mel Gibson - impian kita hancur lebur pada awal filem lagi. Adegan pertama filem itu saja cukup berani memaparkan kereta Max yang menjadi teman setianya yang dinamakan 'Interceptor' diletupkan tanpa mempedulikan pandangan dan persepsi penonton. Itu petanda pertama filem yang bakal kita tonton akan menyajikan sesuatu yang berlainan dari biasa.

Aku cukup suka dengan keberanian George Miller menyembunyikan wajah Tom Hardy dengan topeng sepanjang beberapa puluh minit pertama filem ini. Lagipun, Tom Hardy memang cukup terkenal sebagai pelakon yang mampu berlakon dengan baik walaupun wajahnya ditutup. Banyak filem rosak apabila wajah pelakon tidak ditutup kerana kekuatan star power pelakon tersebut. Tidak bagi 'Fury Road'; tidak juga bagi Tom Hardy yang memang kerap berlakon dengan wajah tertutup.

Kebanyakan aksi dilakukan secara praktikal dan bukan dengan janaan komputer. Hasil daripada kerja secara tradisional ini jelas tampak kesannya bila kita dapat merasai risiko yang dihadapi pelakon-pelakon ketika melakukan aksi bahaya. Realisme yang ingin ditonjolkan pula, memerlukan watak dilakonkan oleh mereka yang mempunyai kebolehan dalam melakukan aktiviti lasak dan mencabar. Ini antara kejayaan paling besar filem ini.

Ramai orang memuji rekaan kenderaan dalam filem ini. Secara peribadi, aku kurang berminat sangat dengan rekaan kenderaannya walaupun aku akui kenderaan yang dipaparkan dalam filem ini mempunyai rekaan yang cukup unik dan segar. Mungkin kerana dalam hidup aku sendiri, kereta hanyalah satu mesin yang mampu membawa aku dari lokasi A ke lokasi B.

IMMORTAN JOE TUHAN THE CITADEL

mad max fury road watak immortan joe

Begitupun, aku cukup suka watak-watak yang diolah dalam filem ini terutamanya watak Immortan Joe yang diangkat sebagai Dewa/Tuhan kepada masyarakat The Citadel serta watak-watak War Boys yang mengidolakan Immortan Joe. Kali pertama aku lihat detik-detik terakhir seorang War Boys sanggup mati mengejar Valhalla imaginasi mereka, lalu menyedut serta menyembur semburan cat berwarna perak pada muka,menjerit-jerit mahukan perhatian Immortan Joe - aku terbayangkan mampukah manusia dijadikan obses sebegitu rupa jika perlu.

Persoalan bagaimana minda seseorang mampu keluar daripada konteks kewarasan tidak mengejutkan benar-benar berlaku - namun aku cukup berminat hendak mengetahui apa akan berlaku pada seseorang individu yang lahir-lahirnya terus dididik dengan perkara-perkara sesat. Seperti apa yang berlaku pada pemuda-pemuda War Boys yang sanggup mati demi seorang lelaki bernama Immortan Joe yang dianggap Tuhan mereka.

nux sembur mulut dengan aerosol

Watak Nux lakonan Nicholas Hoult mempunyai jalan cerita tersendiri yang menarik - bagaimana seseorang War Boys yang obses dengan Tuhannya mengenal kasih sayang daripada seorang wanita sehinggakan pada penghujung nyawanya - dia sanggup melupakan Tuhannya, agamanya, kaumnya dan segala kepercayaannya selama ini untuk memastikan Max serta rombongannya terselamat.

Dari perspektif penonton, kita dapat melihat watak Nux sebagai watak protagonis tambahan yang pada penghujungnya kembali ke jalan yang benar namun aku tak dapat lari daripada memikirkan apa yang akan difikirkan oleh seseorang yang tahu hidupnya selama ini sia-sia, pada detik terakhir nyawanya.

Sesuatu yang aku tak jangkakan ketika menonton filem 'Fury Road' ini sebenarnya adalah helah George Miller, yang menggunakan nama filem 'Mad Max' tetapi hanya menjadikan Max sebagai watak pembantu. Entah berapa patah perkataan yang diucap oleh Max dalam filem ini. Semua peminat filem ini pasti mengakui watak sebenar dan kekuatan filem ini datangnya daripada watak Imperator Furiosa, lakonan Charlize Theron, yang banyak kali menyelamatkan Max daripada kecelakaan.

Filem ini seperti memaksa kita menyaksikan sendiri jalan cerita kebangkitan Furiosa, daripada salah seorang bekas isteri Immortan Joe, yang kemudian diangkat menjadi jeneral The Citadel dan akhirnya diangkat menjadi ketua baru kepada komuniti The Citadel, dengan Max hanya bertindak sebagai 'pemandu pelancong' kepada kita.

KEBANGKITAN FURIOSA

imperator furiosa

Filem Hollywood kebelakangan ini agak gemar mengangkat wanita sebagai teraju utama sesebuah filem, tetapi Mad Max berjaya keluar daripada kepompong 'damsel in distress' yang kerap kali dijual pada penonton sehingga kita loya melihatnya. Jika hendakl dibandingkan watak Furiosa ini dengan watak-watak lain, wataknya lebih sesuai dibandingkan dengan watak-watak wanita dalam filem tahun 80-an dan 90-an seperti Ellen Ripley atau Sarah Connor, yang tidak bergantung dengan seksualiti untuk jadi popular.

Aku akui Charlize Theron memang cantik tapi sepanjang filem ini berjalan, sikit pun aku tak anggap ada daya tarikan seksual daripada watak Furiosa kepada Max mahupun aku yang menonton. Dia tidak memerlukan lurah dada atau punggung untuk mencari jalan keluar seperti apa yang kerap dilakukan dalam filem-filem barat lain. Tak segan aku nak katakan Imperator Furiosa adalah 'Mad Max' sebenar yang lebih gila daripada Mad Max sendiri dalam filem ini, berikutan rancangannya membawa lari kelima-lima isteri Immortan Joe menggunakan War Rigs kepunyaannya.

Tidak aku dapat pastikan adakah mesej-mesej feminisme yang diselitkan ke dalam filem ini sebenarnya berkait dengan keperluan wanita membebaskan diri daripada kongkongan lelaki atau agama, mungkin juga Tuhan - kerana Immortan Joe dianggap Tuhan oleh mereka. Aku lebih gemar memilih mesej yang cuba disampaikan berkait dengan isu penderaan wanita yang dilakukan oleh lelaki-lelaki yang tidak punya rasa simpati pada pasangan mereka.

mad max fury road adegan aksi

Daripada satu adegan ke satu adegan, 'Fury Road' bergerak pantas dan hanya memberikan kita beberapa ketika untuk berehat sebentar sebelum kejar-mengejar kembali berlangsung. Para pengkritik filem ini memandang negatif filem ini sebenarnya hanyalah satu adegan kejar mengejar yang berlangsung selama beberapa hari, tetapi pada aku, di situlah kekuatan filem ini terletak.

Kebanyakan filem terpaksa menghabiskan masa dalam filem selama beberapa hari, tahun atau kurun bagi menyampaikan jalan ceritanya, namun bagi 'Fury Road' - kisahnya dipastikan kompak bagi memastikan penonton sedar dalam 2 jam durasi filem ini, terlalu banyak perkara yang mengubah dunia mereka telah berlaku, dalam masa yang terlalu singkat.

Lega aku apabila pembikin filem 'Fury Road' berjaya mengelakkan cliche lelaki dan wanita pasti jatuh cinta pada akhir filem, kerana cliche itu sudah terlalu biasa kita lihat. Hubungan di antara Max dan Furiosa berlaku secara semula jadi atas dasar kepercayaan yang terbina perlahan-lahan, dengan Furiosa menjadi pemandu kepada Max pada awalnya - sebelum Max menjadi penyelamat Furiosa pada penghujung filem. Itupun dengan cara yang kurang maskulin.

TIDAK PERLU GIMIK TAMBAHAN

tom hardy penamat filem

Tidak ada babak ciuman terakhir, tidak ada kata-kata manis mengimbau memori yang diucap mereka berdua. Furiosa naik menggantikan tempat Immortan Joe dan Max memberikan penghormatan terakhir pada tuan punya baru The Citadel, lalu menghilangkan diri di kalangan orang ramai. Kebanyakan filem mahukan penonton ternanti-nanti sambungannya atau buat orang tertanya-tanya, tetapi pada aku 'Fury Road' berjaya membuatkan aku puas menonton filem. Cukup!

Mesej filem ini juga cukup jelas pada akhirnya - sesiapa saja boleh meneruskan hidup sebagai seorang yang sentiasa meletakkan dirinya sebagai seorang mangsa seumur hidup. Furiosa pada awalnya juga menjadikan dirinya mangsa, hanya berniat menyelamatkan diri sendiri serta isteri-isteri Immortan Joe.Namun pada penamat cerita, Furiosa berpatah balik ke Citadel bukan lagi sebagai hamba tetapi sebagai seorang raja, selepas tersedar harapannya patut diusahakan dengan kudrat tangan, bukan dengan berlari dan hanya memasang impian.

Sama ada akan ada atau tidak sambungannya, aku tak kisah. Aku puas. Perjalanan Max dan Furiosa dari tertangkapnya Max hingga naiknya Furiosa menjadi raja baru The Citadel berakhir dalam satu filem, tertutup kemas dan rapi. Tidak perlu gimik pada hujung cerita, tidak perlu petunjuk diberi untuk filem akan datang atau babak selepas kredit yang kini jadi kemestian filem adiwira.

Itu, adalah kejayaan paling besar filem ini. Jarang aku dapat rasa sebegitu selepas menonton sesebuah filem.



✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2jTGCEG

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.